Wednesday, July 9, 2008

UMNO yang bukan lagi UMNO


Posted by Dr. Mahathir Mohamad at www.chedet.com on May 29, 2008 8:57 AM

Saya ucap terima kasih kepada beberapa ahli UMNO yang mahu saya kembali menjadi ahli.

Sebenarnya sejak saya melantik Dato Seri Abdullah Ahmad Badawi sebagai Perdana Menteri dan dianya mengisi jawatan itu, UMNO tidak pernah layan saya sebagai ahli UMNO, jauh sekali sebagai bekas Presiden UMNO.

Dari awal lagi Menteri-Menteri UMNO, pemimpin-pemimpin UMNO dilarang daripada berjumpa dengan saya atau menghadiri apa-apa majlis di mana saya mungkin berucap.
Menteri yang saya lantik dahulu, sekarang mengecam dan mengeluar kata-kata kesat kepada saya.

UMNO tidak dibenar menjemput saya dan jika sesiapa cuba jemput juga, mereka dipanggil oleh Menteri Besar dan juga polis supaya tarik balik jemputan. Selepas 14 jemputan dipaksa tarik balik tiada siapa yang berani jemput saya lagi. Ahli-ahli UMNO tidak dibenar hadir apa-apa majlis di mana saya akan berucap, dan mereka pun patuh akan arahan ini.

Ahli Bahagian Kubang Pasu yang saya menjadi ketuanya selama 22 tahun diarah dan disogok dengan wang supaya tidak mengundi saya sebagai wakil Bahagian ke Perhimpunan Agong UMNO 2006. Dan saya pun kalah.

Timbalan Perdana Menteri pun tidak dibenarkan berjumpa saya sehinggalah saya dedah perkara ini. Kemudian barulah beliau dibenar berjumpa saya.

Ada juga pemimpin UMNO yang mencadangkan saya disingkirkan daripada parti.

Sikap dan layanan terhadap diri saya selepas saya letak jawatan jelas menunjuk bahawa sebenarnya saya bukan sahaja bukan ahli UMNO tetapi saya adalah musuh UMNO.

Justeru itu keluarnya saya daripada UMNO hanya "merasmikan" kedudukan saya sebagai bukan ahli UMNO.

Ini semua tidak menjadi sebab saya keluar daripada UMNO. Sebab saya keluar ialah kerana kepimpinan UMNO sudah membawa parti keramat ini dan Kerajaan pimpinan UMNO keluar dari landasan asal perjuangan UMNO dan Barisan Nasional. Parti UMNO tunduk kepada negara-negara asing terutama Singapura. UMNO juga tunduk kepada tuntutan puak ekstremis kaum dalam negeri.

Barisan Nasional dan UMNO kehilangan pengaruh di kalangan pengundi, termasuk ahli dan penyokong kuat UMNO sehingga kalah dalam Pilihanraya Umum ke-12.

Pemimpin UMNO membiarkan negeri-negeri yang tidak pernah dikuasai oleh parti lawan jatuh ke tangan parti lawan - termasuk Kedah negeri saya sendiri. UMNO dan BN tidak menang 2/3 daripada kerusi Dewan Rakyat, UMNO tidak lagi dihormati oleh Raja-Raja Melayu dan bermacam-macam lagi.

Saya sedih kerana terpaksa keluar daripada parti yang dikenali sebagai UMNO tetapi sebenarnya sudah tidak lagi UMNO.

Arah tuju UMNO ditentukan oleh pemimpin tertingginya. Apa yang berlaku kepada UMNO mesti dipertanggung-jawabkan kepadanya.

Kerana saya percaya bahawa Dato Seri Abdullah bukan sahaja sudah rosakkan UMNO yang sebenar tetapi akan terus menghancurkannya, dan saya percaya ahli dan pemimpin UMNO yang lain tidak berani membetulkan UMNO maka saya terpaksa keluar daripada parti ini.

Saya sedih bukan sahaja kerana meninggalkan parti tetapi kerana ahli-ahli UMNO rela terima segala perbuatan Dato Seri Abdullah yang menjadikan Malaysia dihina oleh negara-negara lain termasuk negara-negara OIC (Pertubuhan Persidangan Negara-negara Islam - Organisation of Islamic Conference) dan NAM (Pergerakan Negara-Negara Berkecuali - Non Aligned Movement). Daripada negara yang menjadi contoh kepada negara membangun lain kita sudah dianggap sebagai negara sekutu Amerika Syarikat. Kita tidak lagi berani menegur kejahatan Barat, sebaliknya kita membisu.

Saya percaya selagi Dato Seri Abdullah memimpin UMNO, pengundi-pengundi UMNO dan penyokong UMNO tidak akan kembali menyokongnya walaupun mereka tidak akan mengaku secara terbuka pendirian mereka dan undi mereka pada parti lawan seperti yang berlaku dalam Pilihanraya Umum 2008.