Friday, July 11, 2008

PERALIHAN KUASA


Posted by Dr. Mahathir Mohamad at www.chedet.com on July 11, 2008 10:14 AM

Berkali-kali saya ditanya "saya orang biasa, saya hanya ahli biasa UMNO, saya hanya pemimpin kerdil UMNO dan sebagainya. Apa yang boleh saya buat?"

Selain daripada membuat komen dalam blog, kita boleh beritahu kepada ahli-ahli UMNO dan pemimpin cawangan dan bahagian UMNO, "Kami tak akan undi UMNO atau Barisan Nasional selagi ada Dato Seri Abdullah Ahmad Badawi dalam UMNO. BN akan kalah kerana undi kami undi penentu. Kekalahan UMNO akan lebih teruk kerana UMNO dan BN tidak lagi mewakili pandangan rakyat."

"Seperti yang berlaku kepada Menteri Besar Kedah, Perak dan Selangor, dan lain-lain pemimpin UMNO di Negeri-negeri ini, jawatan yang diharap Dato Seri Abdullah akan beri kepada kamu, tidak dapat diberi kerana UMNO dan BN kalah dan menjadi parti pembangkang."

"Demikian juga di peringkat pusat kerana tanpa undi kami yang kerdil, kamu akan kalah."

"Jika kamu boleh berfikir, fikirlah"

Ingatlah, untuk kalah atau menang undi penentu yang menentukan. Jumlah mereka tak perlu banyak. Hanya separuh daripada jumlah lebihan undi yang diperolehi 2008 untuk menang dalam sesuatu kawasan sudah memadai untuk menentukan kalah atau menang sesuatu calon.

Jangan anggap kerana yang berkata "ya" itu ramai maka kemenangan terjamin. Yang kata "ya" mungkin tidak akan undi calon parti. Yang tidak berkata "ya" pun sama. Jika semua mereka rosakkan undi atau undi parti lawan, jumlah undi parti lawan akan melebihi yang berkata "ya" dan undi parti BN.

UMNO dan BN yang tidak peduli pandangan ramai akan tersungkur.

Hanya UMNO dan BN yang mendokong kehendak dan kepentingan rakyat sahaja yang akan selamat.

Kehendak majoriti rakyat ialah untuk Dato Seri Abdullah Ahmad Badawi letak jawatan. Renunglah. Fikirlah.

Yang mampu selamatkan UMNO dan BN bukan Dato Seri Abdullah.

Yang mampu dan boleh ialah undi penentu.