Wednesday, July 9, 2008

SANUSI JUNID


Posted by Dr. Mahathir Mohamad at www.chedet.com on June 10, 2008 5:24 PM

1. Saya berasa amat sedih dengan tindakan untuk menamatkan khidmat Tan Sri Dato Seri Sanusi bin Junid dari menjadi Presiden Universiti Islam Antarabangsa.

2. Mungkin dia telah melakukan kesalahan yang besar yang tindakan ini perlu diambil. Tetapi secara kebetulan tindakan terhadap Presiden UIA ini diambil sejurus selepas dia keluar daripada UMNO. Apakah perbuatan beliau ini yang menyebabkan dianya disingkir?

3. Secara kebetulan juga sehari selepas dia berkempen untuk anak saya di Jerlun pejabat syarikat UIA Holdings Sdn Bhd milik UIA telah digeledah oleh Badan Pencegah Rasuah. Tidak ada apa-apa kesalahan dikesan yang dilakukan oleh Syarikat atau Tan Sri Sanusi.
4. Dua tindakan oleh Kerajaan ini menimbul tandatanya berkenaan dengan dasar yang diamalkan oleh Kerajaan / Barisan Nasional pimpinan Dato Abdullah Badawi.

5. Saya juga dengar cadangan supaya Dato Mokhzani yang telah keluar UMNO dipecat daripada menjadi Pengerusi Sepang International Circuit (SIC).

6. Ternampak seolah-olah Kerajaan Dato Seri Abdullah Badawi anggap bahawa jawatan-jawatan dalam Kerajaan dimiliki oleh partinya dan boleh diguna sebagai hadiah kepada yang menyokongnya dan menarik balik atau tidak diberi jika tidak patuh kepadanya.

7. Apakah hanya ahli UMNO sahaja yang boleh pegang jawatan dalam Kerajaan dan agensi Kerajaan? Saya faham ada orang bukan Melayu yang sudah tentu bukan ahli UMNO yang memegang jawatan dalam badan-badan Kerajaan. Jika kerana keluar daripada UMNO jawatan dalam Kerajaan akan dilucut, sepatutnya semua yang bukan ahli UMNO yang dilantik kedalam badan-badan Kerajaan patutlah dilucut juga.

8. Pemimpin Kerajaan nampak amat suka mendera siapa sahaja yang tidak kowtow kepada pihak tertentu. Ura-ura untuk mendera orang yang sabotaj Barisan Nasional dalam Pilihanraya Umum ke-12 nampaknya tidak jadi. Apakah kerana takut didera mereka akan kembali menyokong? Saya fikir tidak. Sebaliknya lebih ramai yang akan menolak kepimpinan yang suka hukum orang kerana kegagalan sendiri.

9. Saya harap sebab-sebab Tan Sri Sanusi hendak disingkirkan di jelas kepada rakyat. Jangan salahguna kuasa untuk kepentingan diri.

10. Kempimpinan Kerajaan Pusat Barisan Nasional harus ingat Barisan Nasional bukan lagi menguasai seluruh negara. Negeri-negeri dan Wilayah yang terkaya di Malaysia sekarang dikuasai oleh parti lawan. Mereka tidak bertindak melantik hanya ahli-ahli parti mereka sahaja dalam badan-badan Kerajaan. Sebaliknya mereka sanggup melantik tokoh dari parti-parti Barisan Nasional untuk mengisi jawatan badan-badan yang terletak dibawah Kerajaan-Kerajaan mereka.

11. Sikap mereka ini tentu akan menyebabkan lebih ramai ahli dan penyokong Barisan Nasional berpindah kepada parti mereka atau menyokong mereka.

12. Sikap suka balas dendam kepimpinan Barisan Nasional akan menghakis lagi sokongan kepadanya.

13. Fikirkan baik-baik wahai orang yang berkuasa. Tiap seorang tokoh mempunyai penyokong sedikit sebanyak. Mereka tentu berasa tersinggung dan akan bersimpati dengan mangsa kerajaan dan tidak menyokong Barisan Nasional lagi.

14. Fikirkanlah secara mendalam. Sesal dahulu pendapatan, sesal kemudian tidak ada gunanya.