Wednesday, July 9, 2008

LOMPAT


Posted by Dr. Mahathir Mohamad at www.chedet.com on May 21, 2008 11:51 AM

1. Kita banyak dengar tentang kemungkinan ahli parti Barisan Nasional lompat masuk parti lawan.

2. Jika 35 ahli masuk parti lawan, parti BN akan jatuh. Parti lawan akan menang dan akan dirikan Kerajaan.

3. Apa akan jadi pada wakil rakyat BN yang lompat? Mereka tidak akan jadi Perdana Menteri kerana sudah tentu pemimpin Pakatan akan jadi PM. Ahli-ahli Pakatan yang lain juga ingin jadi Menteri dan Timbalan Menteri.

4. Berapa tempat yang tinggal pada ahli BN yang lompat? Tentu tidak semua mereka akan dapat tempat. Mereka akan terus jadi pengikut Pakatan sahaja, seperti mereka mengikut Dato Seri Abdullah Ahmad Badawi sebelum mereka lompat.

5. Jika Ahli Dewan Rakyat BN keluar dari BN tetapi tidak masuk parti lawan mereka akan bebas menyokong atau menolak undang-undang atau dasar parti Kerajaan atau usul-usul parti lawan. Mereka bebas mengecam parti Kerajaan jika melakukan kesalahan, demikian juga apabila parti lawan membuat atau pun melakukan perkara yang salah.

6. Jika jumlah yang tinggal BN cukup untuk kurangkan penyokong Kerajaan supaya tidak ada majority lagi, Kerajaan pimpinan Dato Seri Abdullah akan jatuh.

7. Kerajaan baru hanya boleh didirikan jika dipersetujui oleh ahli-ahli yang keluar BN, kerana mereka memiliki cukup undi untuk menentukan BN atau Pakatan yang menjadi majoriti dalam Parlimen.

8. Jika BN ganti Dato Seri Abdullah dengan orang lain yang berani, kumpulan yang keluar dari BN boleh sokong BN semula dan BN akan kembali jadi Kerajaan.

9. Ini adalah satu cara untuk memaksa Dato Seri Abdullah letak jawatan. Kemudian semua yang lompat boleh masuk balik parti masing-masing.

10. Percayalah, mereka daripada parti komponen BN yang telah sokong parti lawan PRU 12 akan kembali sokong BN apabila Dato Seri Abdullah bukan lagi Perdana Menteri.