Monday, January 8, 2018

SURAT KEPADA PENGARANG UTUSAN MALAYSIA

7btc
As posted by Dr. Mahathir Mohamad at Che Det on January 04, 2018

*SURAT INI TELAH DIHANTAR KEPADA PENGARANG UTUSAN MALAYSIA PADA 3hb JANUARI, 2018*

Pengarang,
Utusan Malaysia

Utusan Malaysia tahu saya tidak kata mufti kafir. Tetapi sebagai media milik parti Kerajaan, Utusan perlu salah tafsir untuk selamatkan diri.

Apa yang saya kata ialah jika mufti tidak menolak dakwaan PAS dan amanat Haji Hadi bahawa orang Islam yang bekerjasama dengan orang kafir menjadi kafir, maka mufti juga akan jadi kafir kerana mereka tidak menyatakan penolakan mereka.


Mufti bukan sebarang orang. Mufti bertanggungjawab menasihat raja dan rakyat berkenaan agama Islam. Menjadi tanggungjawab mufti memberi pendapat samada dakwaan PAS dan Haji Hadi benar atau tidak. Amanat Haji Hadi dibuat kerana politik tetapi amanatnya memesongkan agama orang Islam.

Oleh kerana mufti tidak memberi pendapat tentang pengkafiran ini, walaupun sanggup menafikan ajaran sesat Arqam Ashaari, Ayah Pin dan beberapa tokoh lain, maka ramailah orang Islam percaya dan taksub dengan dakwaan Haji Hadi dan PAS sehingga ada yang mendakwa ibu bapa mereka kafir, ada yang berkahwin sekali lagi, yang tolak makan sembelihan orang UMNO sebagai haram, sembahyang berasingan imam, mendiri masjid sendiri dan bermacam lagi kerana kononnya Kerajaan Malaysia kafir dan orang yang tidak menyertai PAS kafir. Semua ini dilaporkan oleh Utusan dahulu.

Sehingga ke hari ini mufti tidak menolak dakwaan PAS dan Haji Hadi. Di Terengganu masih ada orang Islam yang percaya bahawa orang UMNO dan orang lain yang tidak menyertai PAS adalah kafir.

Mufti tidak harus terlibat dengan politik. Tetapi apabila agama diperalatkan untuk politik dengan mengelirukan orang Islam, amatlah penting dan menjadi tanggungjawab mufti memberi penjelasan samada pendapat orang politik itu benar-benar berasas kepada Islam. Sehingga sekarang belum ada pendapat atau penjelasan yang dibuat oleh mufti.

Hakikatnya ialah jika orang bukan PAS termasuk saya dianggap kafir, maka mufti juga boleh dikatakan kafir kerana tidak menyertai PAS. Jika amanat Haji Hadi diterima mufti bekerja dan menjadi pegawai dalam Kerajaan Kafir. Benarkah?

Saudara Pengarang,

Saya harap saudara akan masuk surat ini dalam akhbar saudara seperti saudara masuk laporan-laporan berkaitan isu ini sejak 30 Disember 2017.

Dr Mahathir bin Mohamad