Monday, January 8, 2018

TIDAK JAWAB

7btc
As posted by Dr. Mahathir Mohamad at Che Det on November 23, 2017

1. Pakatan Harapan (PH) tahu awal-awal lagi jika permintaan dibuat untuk berjumpa dengan Menteri Dalam Negeri, maka permintaan itu tidak akan dijawab, sama seperti surat dari PH untuk mengetahui apa sudah jadi kepada permohonan kelulusan bagi perlembagaan PH dan logo/simbolnya.

2. Ini adalah strategi Kerajaan Najib apabila berhadapan dengan tuntutan hak parti lawan yang ditakuti olehnya, jangan tolak dan jangan lulus. Diam sahaja.

3. Tidak menjawab boleh ditafsir dengan bermacam tafsiran yang tidak mendedahkan Najib kepada dakwaan menyalahguna kuasa dengan tidak melulus.

4. Tidak menjawab mungkin disebabkan tidak menerima, atau terima tetapi tidak menolak, atau tidak dapat memutus untuk menolak atau melulus kerana sebab-sebab tertentu, atau sedang dipertimbang.

5. Jika PH seperti biasa menghantar surat bertanya tentang kedudukan permohonan, sekali lagi jangan jawab.

6. Dengan cara ini berbulan-bulan berlalu tanpa PH mengetahui lulus atau tidak perlembagaannya dan simbol. Persiapan untuk PRU tidak boleh dibuat oleh PH. Persiapan mengambil masa yang panjang, sekurang-kurangnya tiga bulan. Selain dari membuat sepanduk dan bendera dengan logo/simbol yang diluluskan, penentuan kerusi dan calon juga mengambil masa. Simbol yang diguna di kertas undi amat penting. Pengundi perlu kenal simbol ini semasa mengundi. Jika tidak dikenali sekian lama sukar bagi pengundi mengundi PH. Mungkin simbol lain yang akan dipangkah.

7. Oleh itu melambatkan kelulusan perlembagaan PH dan simbolnya adalah cara menyalahguna kuasa Kerajaan untuk BN memenangi Pilihan Raya.

8. Selepas lima bulan berlalu tanpa jawapan dari Kerajaan, PH membuat keputusan untuk jumpa Menteri Dalam Negeri. Jika permohonan dibuat untuk maksud ini sudah tentu jawapan tidak akan diberi. Berbulan lagi akan berlalu dan semakin dekatlah Pilihan Raya, semakin pendeklah masa untuk PH membuat persiapan.

9. Oleh itu PH memutus untuk tidak meminta atau memberitahu tarikh rombongan PH akan berjumpa Menteri. Kesempatan untuk Menteri menghilang diri tidak dapat dilakukan.

10. Tetapi Kementerian dapat maklumat tentang perancangan PH. Maka hilanglah Menteri.

11. Inilah yang berlaku pada Isnin, 20 November.

12. Sekarang diketahui bahawa ada masalah dengan DAP dan PPBM. Tetapi maklumat diberi secara lisan. Tidak ada surat rasmi. Tanpa jawapan rasmi pembetulan tidak dapat dibuat. Maka terpaksa tunggu lagi.

13. Masa berlalu. Pilihan raya semakin dekat. Tanpa kelulusan rasmi persiapan tidak dapat dibuat. Tunggulah. Kerajaan tidak tolak. Tidak bermakna Kerajaan tidak lulus. Hanya tidak jawab.