Monday, January 8, 2018

AMANAT HADI

7btc
As posted by Dr. Mahathir Mohamad at Che Det on December 07, 2017

1. Ramai kita telah dengar berkenaan Amanat Hadi. Tetapi ramai yang tidak baca, lebih-lebih lagi menganalisa dan memahami isi kandungan amanat ini.

2. Saya telah siar amanat ini dalam blog saya. Tetapi ada baiknya saya perturunkan amanat ini sekali lagi:

Amanat Haji Hadi

“Saudara-saudara sekalian, percayalah. Kita menentang UMNO, bukan kerana nama dia UMNO. Kita menentang BN bukan kerana nama BN. Kita menentang dia kerana dia mengekalkan perlembagaan penjajah, mengekalkan peraturan kafir, mengekalkan peraturan jahiliyah. Oleh kerana itulah kita menentang mereka, oleh kerana itulah kita berjuang melawan mereka. Percayalah saudara-saudara, perjuangan kita adalah jihad, ucapan kita adalah jihad, derma kita adalah jihad dan kerana kita berjuang dengan puak-puak ini, kalau kita mati kerana berlawan ini mati kita adalah mati syahid, mati kita adalah mati Islam. Kita tidak payah masuk Yahudi, kita tidak payah masuk Kristian, kita tidak payah masuk Hindu, kita tidak payah masuk Budha, tetapi kita menjadi kafir dengan mengatakan politik suku agama suku”.

3. Perkataan-perkataan Hadi dalam amanatnya jelas merupakan hasutan terhadap pengikut-pengikutnya supaya sanggup mati dalam perjuangan menentang pemerintahan UMNO, BN yang didakwa “kafir”.

4. Kerajaan berhak menangkap dan memasukkan dalam tahanan Hadi kerana unsur hasutan dalam amanatnya. Tetapi Hadi mempunyai ramai pengikut yang fanatik yang boleh cetuskan huru-hara dan rusuhan diseluruh negara.

5. Sebab itu Hadi tidak dimasuk ke dalam tahanan.

6. Tetapi antara pengikut fanatik Hadi ialah Ibrahim Mahmud (Ibrahim Libya). Terpengaruh dengan ajaran dan amanat Hadi, Ibrahim merancang untuk menjatuhkan Kerajaan dengan pemberontakan bersenjata. Ia bercadang mengadakan pasukan-pasukan bersenjata ini ditiap-tiap negeri di Malaysia. Bahawa rancangan ini tidak mungkin berjaya tidak dipedulikan.

7. Kerajaan sanggup bertindak terhadap Ibrahim kerana tindakan terhadapnya dipercayai tidak akan mengundang reaksi sebesar tindakan terhadap Hadi. Lagipun jika dibiar, gerakan Ibrahim mungkin menjadi besar dan sukar ditangani oleh pihak berkuasa.

8. Tetapi jangkaan Kerajaan meleset. Persiapan Ibrahim untuk melawan polis sudah sampai ke tahap penggunaan senjata, seperti parang, buluh tajam dan senapang patah.

9. Apabila polis bergerak ke arah rumah Ibrahim, mereka diserang hendap dan empat anggota polis dibunuh dan seorang lagi cedera. Akhirnya polis menyerang balas dan 13 pengikut Ibrahim dan Ibrahim terbunuh.

10. Rusuhan bersenjata oleh Ibrahim dan pengikutnya sehingga sanggup mati ini dipengaruhi oleh hasutan Hadi dan amanatnya. Perkara seperti ini tidak pernah dilakukan oleh orang Melayu selepas merdeka. Ini bukan cara orang-orang Melayu. Kita boleh faham dan terima tindakan seperti ini di zaman British. Di zaman merdeka polis dapat bendung kegunaan senjata dengan rundingan dan pujukan. Ini telah dilakukan beberapa kali dengan jayanya. Tetapi di Memali amat jelas sikap yang ditunjuk oleh Ibrahim dan pengikutnya dipengaruhi oleh kepercayaan mereka berjihad mengikut ajaran dan amanat Hadi. Mereka percaya kematian mereka adalah syahid.

11. Dengan itu PAS telah menanam yang mati tanpa dimandi dan dikapan.

12. Sesungguhnya amanat Hadi dan ajarannya adalah punca tragedi Memali. Hadi patut kesal kerana dialah yang menyebabkan rusuhan dan kematian polis dan orang awam di Memali.
13. Walaupun PAS telah kafirkan musuh politik mereka lebih awal lagi tetapi tidak ada desakan dan hasutan supaya mereka mengganas dan membunuh dalam usaha mereka untuk kemenangan politik. Hanya Hadi sahaja yang membawa fahaman bahawa pembunuhan musuh politik oleh pengikutnya adalah disuruh oleh agama Islam dan kematian pembunuh adalah syahid.

14. Suruhanjaya Diraja perlu ditubuh. Hadi perlu dihadapkan ke suruhanjaya untuk disoal akan peranannya dan peranan amanatnya. Jika ada orang yang perlu disiasat berkenaan dengan Memali, orangnya ialah Abdul Hadi Awang, pemimpin parti Islam SeMalaysia (PAS).

15. Sekarang Hadi sanggup bekerjasama dengan UMNO dan Kerajaan pimpinan UMNO yang dahulu dikatakan kafir kerana mengekalkan perlembagaan penjajah, mengekalkan peraturan kafir, mengekalkan peraturan jahiliah.

16. Di satu masa Hadi mendakwa UMNO kafir. Bekerjasama orang kafir menjadikan UMNO kafir.

17. Sekarang, sebelum menolak Amanatnya bahawa UMNO kafir, Hadi menjadi penyokong kuat UMNO, kerana tindakan PAS bertanding dalam PRU 14 akan mengurangkan undi bagi Pakatan Harapan dan memberi kemenangan kepada Najib. PAS sendiri akan kalah.