As posted by Dr. Mahathir Mohamad at Che Det on December 01, 2014
1. Di zaman revolusi industri di Barat, pekerja ditindas oleh majikan. Upah amat rendah, keadaan dalam kilang tidak selesa, kemalangan kerap berlaku sehingga ada yang terbunuh, dan bermacam lagi.
2. Pemikir Barat berpendapat jika kilang dimiliki oleh Kerajaan, dan Kerajaan pula dikuasai oleh buruh, maka semua keuntungan akan diperolehi oleh Kerajaan dan diagih di antara pekerja. Sudah tentu pendapatan pekerja akan meningkat.
3. Inilah asas ideologi Sosialis dan Komunis. Seperti mana kita tahu sistem ini gagal. Sebabnya ia gagal ialah oleh kerana apabila upah dinaikkan kos pengeluaran turut naik dan harga jualan menjadi tinggi. Rampasan kuasa dan harta golongan kaya pula mengurangkan pasaran tempatan bagi barangan mewah. Tanpa pasaran mewah, walaupun pekerja dibayar gaji yang lebih, jualan tidak laris dan keuntungan berkurangan. Dayabeli pekerja tidak meningkat, iaitu mereka terus menerus miskin. Dalam pasaran dunia pula, barangan harga tinggi dari negara sosialis tidak dapat bersaing dengan barangan dari Asia Timur. Sekali lagi keuntungan menurun sehingga ada yang terpaksa gulung tikar.
4. Dengan itu industri yang dahulu memberi keuntungan yang banyak sudah tidak maju lagi selepas dimilik negara. Cukai untuk Kerajaan juga menurun. Tanpa perolehan cukai yang tinggi infrastruktur negara juga tidak dapat didirikan.
5. Maka merosotlah pembangunan negara apabila industri dimiliki Kerajaan. Akhirnya pemilikan oleh Kerajaan terpaksa dihentikan.
6. Apakah kelebihan bagi negara jika industri dimiliki dan diusaha oleh swasta. Yang pertama Kerajaan tidak perlu keluar modal barang satu sen pun. Tetapi 25% daripada keuntungan akan diperolehi oleh Kerajaan sebagai cukai korporat. Lesen dan aneka jenis permit akan dibayar kepada Kerajaan.
7. Cukai juga akan diperolehi semasa kilang didirikan dan daripada keuntungan kontraktor dan pengurus-pengurus mereka yang bergaji tinggi. Benar cukai-cukai ini akan dibayar oleh kontraktor dan pengurus jika kilang yang dibina milik Kerajaan. Tetapi bayaran kepada kontraktor dan lain-lain datang dari duit Kerajaan. Cukai sebenarnya dibayar oleh Kerajaan.
8. Pengurusan kilang memerlukan “operating cost” yang termasuk gaji, kos elektrik, bahan mentah, alat ganti dan lain-lain. Semua ini akan dibayar oleh swasta. Jika dimiliki oleh Kerajaan, semua perbelanjaan ini perlu ditanggung oleh Kerajaan.
9. Katakanlah untung 100% akan dimiliki oleh Kerajaan. Tetapi 25% adalah cukai yang akan diperolehi oleh Kerajaan jika bukan kilang Kerajaan pun. Sebenarnya Kerajaan dapat 75% sahaja daripada keuntungan, bukan 100%.
10. Jika rugi, Kerajaan akan tanggung 100% kerugian. Jika dimiliki swasta kerugian akan ditanggung oleh swasta. Tetapi cukai keatas gaji dan pendapatan pengurus yang bergaji tinggi masih didapati oleh Kerajaan walaupun kilang tidak untung.
11. Apabila Kerajaan hutang untuk membina dan memiliki kilang, bayaran faedah akan ditanggung oleh Kerajaan.
12. Walaupun kilang menjadi aset dan nilainya lebih dari hutang, tetapi nilai ini hanya bermakna jika kilang dijual dan pendapatan diguna untuk membayar balik hutang. Jika tidak dijual aset ini tidak akan kurangkan hutang. Kerajaan bukan sahaja terpaksa bayar faedah tetapi juga hutang pokok. Ini tetap mengurangkan keuntungan lagi.
13. Bila kilang rugi beban yang dipikul Kerajaan amatlah besar. Bukan sahaja tidak ada keuntungan bagi Kerajaan, tetapi hutang masih perlu dibayar.
14. Biasanya kilang yang dimiliki dan diurus oleh Kerajaan rugi atau tidak untung banyak. Ini adalah oleh kerana pemilik dan pengurusan tidak didorong oleh motif keuntungan. Sesungguhnya pemilikan kilang atau perniagaan lain oleh Kerajaan tidak berfaedah. Sebaliknya apabila syarikat dan khidmat Kerajaan seperti pos, telekom dan lain-lain lagi diswastakan pekerja Kerajaan dapat dikurangkan dan peruntukan untuk gaji diselamatkan untuk kegunaan lain.
15. Walau bagaimanapun Kerajaan perlu labur untuk kilang yang membawa masuk teknologi yang diperlukan oleh Negara, umpamanya teknologi canggih dan tinggi. Walaupun rugi tetapi teknologi yang didapati boleh memajukan negara kearah Wawasan 2020.
16. Sesungguhnya pemilikan perniagaan oleh Kerajaan tidak berfaedah dan tidak menyumbang kepada pendapatan Kerajaan.