As posted by Dr. Mahathir Mohamad at Che Det on October 10, 2016
1. Wang (tunai) itu Raja. Maka ramailah yang menyembah Raja ini.
2. Wang boleh diperolehi secara halal melalui gaji, upah dan keuntungan perniagaan.
3. Tetapi wang juga boleh didapati melalui pencurian, penipuan dan rasuah. Wang yang didapati dengan cara ini tidak halal, bahkan haram. Sudah tentu perolehan ini salah dari segi undang-undang.
4. Al-Quran menyebut berkenaan dosanya perolehan secara haram seperti mencuri, menipu (apabila menjual beli) dan sogokan kepada hakim.
5. Islam tidak melarang kekayaan asalkan kekayaan itu datang dari punca yang halal. Zakat mesti ditunaikan dari kekayaan yang diperolehi. Amal jariah dan sedekah juga digalakan.
6. Jika kekayaan itu adalah hasil dari pencurian atau rasuah, apakah yang haram boleh dihalalkan dengan membayar zakat atau membiayai kerja haji?. Alim ulama perlu kaji dengan teliti dan beri pendapat mereka atau keluar fatwa.
7. Apakah pula jika zakat yang diwajibkan tidak dibayar sama sekali dari perolehan haram?. Sekali lagi kajian perlu dibuat oleh alim ulama secara jujur berpandu kepada Al-Quran dan hadith.
8. Namun ramai orang Islam yang sanggup menerima wang rasuah (haram) dari wang yang didapati secara haram. Kalau pun punca wang itu halal tetapi jika diguna untuk rasuah, untuk sogokan, wang yang diterima tetap haram. Ini tidak boleh ditakrif sebagai rezeki. Apa kata alim ulama.
9. Manusia tamak. Walaupun sudah kaya, sudah jadi jutawan, sudah mendapat perolehan yang banyak, tetapi jika berpeluang menambah kekayaan, manusia tidak menolak.
10. Jika penambahan ini halal puncanya, ia tidak dilarang, tidak haram, tidak berdosa, asalkan zakat dibayar dan sedekah dibuat.
11. Tetapi jika tambahan kekayaan ini datang dari punca yang haram, dari hasil pencurian atau sogokan, ia dilarang, haram dan berdosa.
12. Di antara pendapatan yang haram ini, tidak ada yang lebih buruk dari sogokan. Ia merosakan masyarakat dan menjadi beban yang berat kepada anggotanya. Kehidupan menjadi amat tidak selesa.
13. Biasanya yang terlibat dengan jenayah sogokan ialah mereka yang berkuasa atau memiliki pengaruh yang amat berkesan. Lebih tinggi kuasa atau lebih besar pengaruh maka lebih besarlah sogokan. Tidak ada yang terlalu tinggi yang tidak boleh disogok. Hanya yang boleh membendung nafsu sahaja yang selamat dari rasuah.
14. Inilah yang kita lihat apabila terdapat orang yang percaya bahawa wang itu raja. Daif atau kaya, wang boleh mempengaruhi pendirian. Bangsa, agama, negara boleh dijual jika sogokan setanding dengan ketamakan.
15. Dalam pilihanraya kecil baru-baru ini ramai pengundi menerima wang dan alatan elektrik untuk dapur. Mereka anggap ini adalah rezeki mereka.
16. Sebenarnya ini bukan rezeki. Pemberian ini ialah sogokan untuk mendapat undi mereka. Penerimaan oleh mereka ialah berdosa. Samada mereka beri atau tidak beri undi menerima, sogokan masih berdosa.
17. Dalam PRU 14 duit haram ini akan ditabur dengan lebih banyak. Tabung untuk sogokan ini sudah pun diadakan oleh pihak tertentu dari punca yang haram. Penerima harus tahu duit ini duit haram dan menerima sogokan juga berdosa.
18. Jika ingin beri duit kepada yang daif, buat sedekah dari sekarang. Tetapi sedekah patut dibuat dengan duit yang halal. Ada Kerajaan Negeri yang meringankan tanggungjawab mereka yang miskin dengan duit halal. Alhamdulillah. Inilah cara yang terabit.
19. Tetapi menyembah wang tunai sebagai Raja yang boleh menjayakan apa sahaja yang dikejar, menyembah wang sehingga sanggup berdosa dengan melakukan jenayah rasuah bukan perbuatan yang sejajar dengan ajaran Islam atau pun agama-agama lain.