As posted by Dr. Mahathir Mohamad at Che Det on October 28, 2016
1. Keadaan politik dan pemerintahan di Malaysia agak pelik dan ganjil.
2. Di lain-lain negara di dunia, pemimpin besar diturunkan jika melaku perbuatan yang salah atau dituduh salah. Jika tidak diturunkan, pemimpin digantung jawatan sementara siasatan dibuat.
3. Tetapi di Malaysia walaupun terdapat bertimbun-timbun bukti salahlaku Najib berkenaan pinjaman yang dibuat oleh 1MDB yang dipengerusi olehnya, kehilangan berbillion Ringgit oleh 1MDB, kegagalan membayar faedah hutang, kesalahan pelaburan, terdapat 2.6 billion Ringgit dalam akaun peribadi Najib dalam Arab Malaysian Bank, kenyataan yang tidak munasabah tanpa bukti/dokumen akan punca wang itu yang dibuat oleh Najib, kenyataan oleh akhbar asing tentang punca wang itu, dakwaan laporan oleh Jabatan Keadilan Amerika Syarikat bahawa wang itu dari 1MDB, kemasukan RM42 million dari SRC International (milik Kementerian Kewangan diperbadankan) ke dalam akaun peribadi Najib, ia masih berada sebagai YAB Perdana Menteri Malaysia. Selain dari itu, Tan Sri Muhyiddin Yassin semasa masih Timbalan Perdana Menteri telah dimaklum oleh Tan Sri Gani Patail akan kemasukan ke dalam akaun Najib di AmBank berbillion Ringgit. Sekarang Husni Hanadzlah pula menyoal berkenaan 1MDB dan pengurusannya.
4. Penerimaan Najib ini adalah oleh kerana Ahli Dewan Rakyat termasuk Ahli Kabinet dan penyokong Najib dalam UMNO, MCA dan lain-lain parti dalam BN masih kononnya menanti sehingga Najib didapati bersalah sebelum mereka terima kebenaran tuduhan-tuduhan terhadapnya.
5. Pendirian ini cuma merupa alasan yang lemah terhadap pendirian mereka. Sebenarnya mereka tahu tuduhan terhadap Najib memang berasas dan benar.
6. Mereka tahu bahawa sebabnya Najib tidak didapati bersalah ialah kerana ia sendiri menyalahguna kuasanya dengan menyekat proses undang-undang dengan menukar Pendakwa Raya supaya penjawat yang baru menolak segala tuduhan terhadapnya.
7. Jika proses perundangan berjalan Pendakwa Raya akan membawa kesnya ke mahkamah dan perbicaraan boleh diadakan. Menurut tuduhan dan bukti yang diketahui umum Najib tetap akan didapati bersalah oleh mahkamah.
8. Tetapi Pendakwa Raya menyembunyi laporan-laporan ini supaya mahkamah tidak dapat mendengar kes Najib. Sebaliknya Pendakwa Raya berlagak sebagai hakim dan memutuskan bahawa tidak ada kesalahan dibuat oleh Najib dalam laporan-laporan yang diserah kepadanya.
9. Yang jelas ialah Najib bukan didapati oleh mahkamah tidak bersalah, tetapi perbicaraan tidak dapat diadakan kerana disekat oleh Pendakwa Raya.
10. Alasan mereka yang kononnya menerima Najib sebagai Perdana Menteri kerana ia tidak didapati bersalah, hanyalah alasan yang tidak berasas.
11. Mereka sebenarnya cuba menipu diri dan menipu masyarakat. Mereka bersikap hipokrit. Mereka tahu tindakan Pendakwa Raya menghalang proses perundangan adalah salah.
12. Amatlah malang Malaysia mempunyai wakil rakyat dan pemimpin masyarakat hipokrit yang turut bersama dengan Najib menjayakan penipuan olehnya.