As posted by Dr. Mahathir Mohamad at Che Det on September 29, 2014
1. Di Iraq satu gerakan Sunni sedang melanggar dan menawan sebahagian yang tidak kecil dari negara itu. Kita membaca berita bahawa pasukan ini berjaya merampas wilayah ini dengan menewas tentera Iraq.
2. Pasukan IS ini adalah begitu ganas sehingga sanggup menembak mati askar Iraq yang beragama Islam yang ditawan. Kita dapat lihat dalam media alternatif bagaimana tawanan mereka dipaksa duduk sederet dan satu demi satu ditembak dari belakang dan jatuh tersungkur.
3. Video yang dibuat oleh IS sendiri juga menunjuk seorang pemberita Amerika dipancung oleh seorang askar IS yang bertopeng yang dikatakan bercakap Inggeris loghat Timur London. Tuduhan dibuat yang pembunuh ini terdiri dari orang Islam rakyat Britain.
4. Sekarang kita dapat lapuran akhbar bahawa ramai rakyat Malaysia yang sudah ke Syria untuk menyokong pemberontak bagi menjatuhkan Bashar Asaad, Presiden Syria yang menganuti fahaman Islam Syiah (Alawait).
5. Dari Filipina, Indonesia bahkan dari Singapura juga ada orang Islam yang menyertai pemberontak di Syria dan ada yang mungkin terlibat dengan askar Sunni IS.
6. Mengikut laporan TV jumlah tentera IS sudah meningkat lebih dari 30,000. Tiap hari ramai dari pemuda Islam di Eropah dan negara-negara Asia yang meninggalkan negara mereka untuk menyertai IS.
7. Semua ini berlaku di Timur Tengah, jauh dari negara kita. Apakah kita selamat?
8. Tak lama dahulu sepasukan pengganas Filipina telah menceroboh Sabah dan berperang dengan askar Malaysia. Kita berjaya mematahkan serangan mereka. Tetapi kemudian berlaku penculikan dan peras ugut beberapa kali. Hingga kini masih ada yang tidak dapat ditebus.
9. Apakah tidak mungkin sekumpulan dari pemberontak negara jiran membuat serangan untuk mendiri “negara Islam” mereka di Malaysia? Seruan untuk mendiri “negara Islam” amat menarik bagi pemuda Islam di mana-mana sahaja kerana mereka keciwa tidak ada Kerajaan atau negara Islam yang sanggup menyelamat Islam, orang Islam dan negara Islam.
10. Ingatlah anggota IS yang bermazhab Sunni bukan sahaja membunuh tawanan Syiah, tetapi juga Sunni yang dianggap oleh mereka kurang Islam atau tidak Islam kerana tidak mengikuti fahaman mereka.
11. Di Malaysia sudah pun ada orang yang mendakwa kononnya sesetengah orang Islam di negara ini tidak cukup Islam bahkan kafir. Ramai juga dari kumpulan ini sudah ke Syria dan mungkin Iraq untuk berjuang bagi mendiri “negara Islam” dengan membunuh orang Islam lain. Jika terlintas dalam fikiran mereka untuk menjadikan Malaysia sebahagian dari “Islamic State”, apakah tidak mungkin mereka menyertai serangan dari luar yang melaungkan jihad untuk mendiri “negara Islam” di Malaysia.
12. Ingatlah serangan keatas Sabah sudah pun berlaku. Di Semenanjung ada gerakan Al Maunah.
13. Tidaklah begitu sukar bagi mereka bertindak ganas lagi jika ada seruan untuk mendiri negara Islam acuan mereka di negara ini.
14. Kerajaan sehingga kini tidak memandang serius terhadap serangan di Kota Belud. Penculikan masih berlaku. Sekarang pula ada tuntutan untuk pemisahan Sabah. Jika seruan pemisahan ini disamakan dengan perjuangan untuk mendiri Islamic State ramai juga anak muda yang akan terpengaruh.
15. Gerakan untuk mendiri negara Islam dan membaiah kepada seorang yang mendakwa dirinya sebagai khalifah pun sudah berlaku.
16. Jika Ashaari, Ayah Pin dan Tuhan Harun berjaya mendapat sokongan sesiapa yang menyeru untuk mendiri negara Islam tentu lebih mudah mendapat pengikut.
17. Tetapi Kerajaan Malaysia ternampak masih belum sedar. Tidak ada tindakan secara serius yang dibuat. ISA sudah tidak ada.
18. Ingatlah! Tidak siapa menjangka pengganas akan serang Sabah. Tetapi serangan ini sudah pun berlaku.