Monday, July 26, 2010

TATARSTAN


As posted by Dr. Mahathir Mohamad at Che Det on July 6, 2010 2:35 PM

1. Akhirnya sampai juga saya ke Tatarstan, negeri orang Tartar yang pada satu masa dahulu hampir tawan Moscow. Sekarang Tatarstan adalah sebuah negeri autonomi dalam Persekutuan Rusia. Seperti juga dengan negeri-negeri Melayu yang dilindungi oleh British dahulu, Rusia menguasai perkara-perkara hubungan luar dah pertahanan. Bezanya Tatarstan telah ditawan oleh Rusia semasa Czar Ivan the Terrible dalam abad ke-16.

2. Orang Tartar telah terima Islam pada abad ke-9 Masehi, iaitu 200 tahun selepas Nabi wafat.

3. Ivan the Terrible, Czar Rusia telah musnahkan semua masjid dan cuba mengembang agama Kristian Orthodox. Tetapi Catherine the Great telah benarkan Islam dianuti oleh rakyat Rusia yang Islam. Kemudian di zaman Komunis agama tidak dibenarkan sama sekali dan selama 70 tahun orang Tatarstan dilahirkan tanpa agama, dan tidak Islam.

4. Kemudian pada tahun 1990-an orang Russia dibenar beragama semula. Kata bekas Presiden Tatarstan semasa saya makan tengahari bersama beliau, Tatarstan yang hanya tinggal tiga bangunan masjid, tiba-tiba memperlihatkan 1,200 masjid dibangunkan. Seperkara yang menarik ialah masjid-masjid baru ini didirikan dengan duit rakyat, tanpa bantuan pemerintah.

5. Ibukota Tatarstan ialah Kazan, sebuah bandar dengan penduduk seramai lebih satu juta. Bandar ini cantik dengan bangunan-bangunan lama yang berbentuk arkitek Eropah kurun ke-19 hingga ke-20. Ia terletak di tebing Sungai Volga yang ditempat-tempat tertentu lebarnya 42-kilometer.

6. Saya melawat limbungan kapal yang hampir siap membina dua buah frigat untuk Vietnam. Limbungan juga boleh keluarkan bot feri dengan kelajuan 70km sejam.

7. Helikopter seperti yang dibeli oleh Malaysia juga dikeluarkan oleh "Kazan Helicopters". Berpuluh-puluh sedang dikeluarkan kerana jualan masih laris walaupun ekonomi dunia merosot. Bahagian dalam helikopter VVIP amatlah cantik, dihias dengan panel kayu dan siap dengan bilik air.

8. Walaupun Kazan Helicopters gagal memenangi tender Malaysia baru-baru ini, saya berpendapat jenis MI-17 yang telah di naik taraf amat sesuai untuk Bomba dan pengangkutan. Ia boleh memuat 36 askar berpakaian lengkap dan bersenjata. Dalam beberapa pertandingan antarabangsa MI-17 telah menang aabila semua askar dapat keluar dalam 14 saat.

9. Saya percaya kita boleh kuasai teknologi helikopter melalui Kazan Helicopters. Ini lebih bermakna daripada hanya menjadi pengguna.

10. Tatarstan boleh memberi banyak peluang bagi peniaga, pengusaha serta para akademik Malaysia. Sesuatu yang menarik ialah Lee Kwan Yew telah tiga kali ke Tatarstan sedangkan pemimpin Kerajaan Malaysia termasuk saya sendiri tidak pernah ke Tatarstan.