Friday, October 3, 2014

MENGEMBALIKAN KHALIFAH

7btc
As posted by Dr. Mahathir Mohamad at Che Det on September 30, 2014

1. Umat Islam sekarang sudah sampai ke peringkat cemas dan bahaya. Bahayanya bukan hanya kepada diri mereka tetapi kepada agama mereka. Ini adalah oleh kerana agama Islam sudah di hijack oleh pihak tertentu yang mengganti ajaran Islam sebenar dengan ajaran yang bertentangan dengan Islam. Apabila ajaran ini dikembangkan oleh pemimpin-pemimpin yang berkepentingan, ulama dan umarak enggan membantah, bahkan ada yang agak tertarik dengan ajaran-ajaran ini. Dengan sikap ini agama Islam akan menjadi lain daripada Islam yang diwahyukan kepada Nabi oleh Allah s.w.t.

2. Demikian, walaupun Al Quran dengan jelasnya melarang orang Islam membunuh, terutamanya membunuh orang yang seagama dengan mereka, tetapi kita lihat ramai orang Islam yang percaya dan sanggup secara sukarela menyertai gerakan membunuh sesama Islam sebagai jihad. Dan ramailah orang Islam yang telah dibunuh oleh orang Islam berbanding dengan yang dibunuh oleh Yahudi. Sesungguhnya mereka mengkhianati Islam dan memihak kepada Zionis.

3. Dari Malaysia juga sudah ada sukarelawan yang pergi ke Syria kerana ingin berperang, iaitu membunuh orang Islam lain. Mereka menghalalkan perbuatan mereka dengan mendakwa bahawa yang hendak dibunuh ialah orang Islam yang menganuti fahaman Syiah. Mereka berpendapat puak Syiah tidak Islam.

4. Kita tahu dalam acara pengislaman, yang diwajibkan ialah lafaz dua kalimah syahadah, iaitu “La illaha illallah Muhammadurasullallah”. Hanya dengan lafaz ini mencukupi untuk seseorang menjadi orang Islam.

5. Mereka yang dianggap bukan Islam ini bukan sahaja mengucap dua kalimah syahadah, tetapi mereka menerima dan membaca Al Quran yang sama, bersolat dengan menyebut nama Allah dan Rasulnya, menolak yang haram serta menerima yang halal, dan tidak menyekutu Allah atau menyembah berhala. Kafirkah mereka?

6. Islam mengutamakan keadilan. Untuk melaku adil pihak yang dituduh kafir perlu diberi peluang, jika tidak dibicara dengan tertib, sekurang-kurangnya untuk membela diri, untuk menentukan amalan dan kepercayaan mereka bertentangan dengan Islam atau tidak.

7. Tetapi tanpa diperiksa dan ditentukan kafir atau tidak mereka yang ditawan dibunuh dengan kejam.

8. Orang Syiah juga bersalah apabila membunuh orang Sunni tanpa diadili.

9. Hari ini ramai juga orang Islam Malaysia yang telah pergi ke Syria yang percaya mereka berjihad. Berjihadkah mereka apabila mereka melakukan kerja Yahudi dan Amerika?

10. Sekarang terdapat sekumpulan orang Sunni yang sedang berperang menawan wilayah Iraq dan Syria kononnya untuk mendiri negara Islam pimpinan Khalifah. Mereka ini melakukan tindakan ganas dengan menembak mati askar tawanan mereka dan juga untuk pancung leher seorang tawanan mereka rakyat Amerika. Kononnya mereka berjihad untuk Islam, untuk mendiri sebuah negara Islam yang diketuai oleh Khalifah. Sebenarnya apa yang dilakukan oleh mereka ialah melemahkan orang Islam supaya lebih mudah dikuasai oleh Yahudi dan Amerika.

11. Ulama dan umarak Islam di negara ini tidak dengan tegas menyatakan pendirian mereka, samada percaya tindakan ganas yang dilakukan oleh kumpulan ini adalah sebahagian dari ajaran Islam atau tidak. Ada yang dipercayai merestukan sukarelawan Malaysia pergi membunuh orang Islam yang dikatakan tidak Islam. Ada yang percaya mereka ini berjihad bila membunuh orang yang tidak sama tafsiran dan kepercayaan Islam dengan mereka walaupun orang ini menyembah Tuhan yang sama dan mengucap akan Allah yang satu dan Muhammad adalah RasulNya. Tidak ada usaha mengkaji dan membahas tuduhan kafir orang ini walaupun tuduhan ini amat berat. Tidak ada fatwa yang dibuat oleh ulama yang tidak beragenda atau berkepentingan, yang pegang hanya kepada Al Quran dan hadis yang sahih.

12. Jika fahaman seperti ini merebak di negara ini maka perpecahan di kalangan orang Islam akan jadi lebih luas daripada sekarang. Ia mungkin sampai tahap bermusuh dan bertindak ganas. Janganlah kita fikir ini tidak akan berlaku di negara bertuah ini. Ingatlah disatu masa dahulu ada diantara kita mengkafir sesama kita dan berlatih untuk mengguna senjata yang dicuri. Alhamdullilah mereka gagal. Jika kumpulan mereka ini lebih besar dan menunjuk sedikit kejayaan, akan ada yang lain yang akan menyertai puak ini.

13. Seruan berjihad mempunyai daya penarik yang amat kuat. Dalam keadaan ramai orang Islam yang cetek pengetahuan Islam, seruan ini mudah diterima. Mereka ini mudah percaya mereka mati syahid bila dibunuh.

14. Sebenarnya orang Islam yang berperang dengan orang Islam dan membunuh mereka, perbuatan mereka ini bertentangan dengan ajaran Islam bahawa orang Islam itu bersaudara. Bukankah Allah s.w.t telah berfirman dalam Al Quran bahawa jika orang Islam bermusuh dengan orang Islam, pihak lain hendaklah merelaikan mereka.

15. Samada Sunni atau Syiah, dalam pandangan orang Yahudi dan Eropah mereka semua Islam dan musuh mereka. Mereka gemar melihat kerja mereka membunuh orang Islam dipermudahkan oleh orang Islam sendiri.

16. Akan ke syurgakah orang yang ghairah membuat kerja Yahudi. Tanyalah ulama dan umarak di negara ini. Berilah kata putus kerana dalam kekecewaan dan kemarahan anak muda Islam kerana negara-negara Islam tidak bertindak menyelamatkan Islam, amat mudah mereka menyahut seruan yang boleh membawa mereka ke neraka dan tidak ke syurga.

17. Selamatkanlah agama suci Islam daripada mereka yang cuba mengubah ajarannya daripada yang mulia kepada yang hina.