Monday, October 20, 2014

KERETAPI TANAH MELAYU


As posted by Dr. Mahathir Mohamad at Che Det on October 17, 2014

1. Saya terbaca dalam akhbar bahawa KTM akan membangun landasan untuk mengurangkan kerugian sebanyak RM2.5billion. Kerugian tiap tahun adalah sebanyak RM185 juta. KTM merancang menaikkan tambang untuk mengurang kerugian. Walaubagaimanapun Dato Ahmad Maslan dalam Parlimen berkata KTM akan untung RM31 juta tahun depan. Alhamdullilah.

2. Tiap hari ramai datang berjumpa saya kerana kononnya saya boleh nasihat Kerajaan berkenaan masalah yang dihadapi oleh mereka. Sebenarnya saya bukan penasihat Kerajaan. Tetapi kadang-kadang saya tegur Kerajaan. Samada diterima atau tidak, wallahua’lam.

3. Memandang bahawa KTM sedang merancang untuk mengurang kerugiannya, teringat saya akan cadangan yang boleh memberi sedikit keuntungan kepada KTM.

4. Cadangannya ialah kebenaran untuk mengguna landasan milik KTM bagi keretapi membawa barangan dan kontena antara Bangkok dengan pelabuhan-pelabuhan Malaysia. Sekarang bisnes ini dibuat dengan kapal dari Bangkok ke Singapura.

5. Tahun depan landasan berkembar letrik dari Padang Besar ke pelabuhan Penang dan Kelang akan siap.

6. Penghantaran barangan antara Bangkok dan pelabuhan Malaysia boleh menambah pendapatan KTM sebanyak RM663,000,000-00 dalam masa 2013-2030.

7. Hari ini KTM sedang menyewa landasan dan kepala keretapi kepada YTL untuk Oriental Express dari Singapura (JB) ke Bangkok. Cadangan penggunaan landasan secara sewa bukanlah perkara baru.

8. Saya diberitahu Kerajaan Thai tidak ada halangan terhadap projek ini.

9. Saya harap Kerajaan dan KTM dapat menyetujui dengan projek ini. Juga diharap tidak ada siapa lain yang ‘hijack’ projek ini.