Wednesday, August 13, 2008

MAJLIS PEGUAM MALAYSIA


As posted by Dr. Mahathir Mohamad at www.chedet.com on August 13, 2008 12:41 PM

1. Sejak Barisan Nasional dibawah pimpinan Dato Seri Abdullah Ahmad Badawi, dan sejak Dato Zaid Ibrahim, sebagai de-facto Menteri Undang-Undang, cuba menawan hati Majlis Peguam dengan memberi kuasa kepada ahli majlis memilih hakim, dan memberi sagu hati kepada bekas-bekas hakim yang disingkir, Majlis Peguam Malaysia begitu garang sekali.

2. Selepas rusuhan kaum tahun 1969, pemimpin-pemimpin ketiga-tiga kaum di Malaysia telah bersetuju bahawa perkara-perkara sensitif seperti kedudukan Raja-Raja, bahasa rasmi, hak kaum-kaum, agama Islam sebagai agama rasmi, tidak akan dibincang atau dibahas secara terbuka. Sebabnya ialah kemungkinan perbincangan akan membakar hati pihak-pihak yang tersentuh yang boleh membawa kepada kestabilan negara terancam dan rusuhan kaum berlaku.

3. Semua kaum dan pemimpin-pemimpin mereka menghormati persefahaman ini semasa Tun Razak, Tun Hussein dan semasa saya menjadi Perdana Menteri. Ada juga cabaran-cabaran terhadap persefahaman ini tetapi tidak serius dan dapat ditangani.

4. Mungkin persefahaman ini menidakkan hak dalam demokrasi tetapi demokrasi adalah untuk kebaikan kita bukan kebaikan bagi diri kita harus dikorban untuk demokrasi. Kita tidak harus berasa malu kerana demokrasi kita kurang liberal dari demokrasi sesetengah negara maju. Apa yang baik bagi mereka tidak semestinya baik bagi kita.

5. Yang utama dalam demokrasi ialah hak mengundi bagi rakyat bagi menentukan siapa membentuk Kerajaan. Di Malaysia memang rakyat memiliki hak ini dan sehingga kini boleh menggunanya untuk tentukan siapa menjadi Kerajaan.

6. Jika kita ada sekatan tertentu untuk mententeram dan menjaga negara, kita harus terima.

7. Tetapi sekiranya ada yang melihat bahawa Kerajaan lemah dan tidak dapat pertahan persefahaman yang dipersetujui dahulu maka mereka mencabul persefahaman ini Negara akan hilang kestabilannya. Yang akan jadi mangsa ialah rakyat berbilang kaum negra ini. Di antara mereka ialah Majlis Peguam Malaysia.

8. Setelah diberi "muka" oleh Zaid Ibrahim, de-facto Menteri Undang-Undang, dan beranggapan yang Kerajaan sekarang takut pada mereka, Majlis Peguam Malaysia bukan main lagi; sanggup juarai semua isu yang sensitif.

9. Selain menuntut mereka pilih hakim, mereka bangkitkan perkara sensitif seperti kontrak sosial dan agama Islam.

10. Apabila hakim Ian Chin tuduh saya kononnya ugut hakim-hakim, Presiden Majlis Peguam Malaysia, Ambiga Sreenivasan, desak supaya Kerajaan siasat saya.

11. Saya salahkan Kerajaan kerana sikap angkuh Majlis Peguam dan membelakangkan persefahaman yang dibuat dahulu.

12. Sepatutnya Kerajaan melarang majlis berkenaan pengislaman anjuran Majlis Peguam Malaysia diadakan. Tetapi sebaliknya, Kerajaan biarkan rakyat protes. Protes boleh dihalang tetapi hati dan perasaan mereka yang memprotes dan lebih ramai lagi yang bersependapat dengan mereka terus meluap dan marah. Kemungkinan ialah perasaan marah ini akan meningkat kerana keangkuhan Majlis Peguam Malaysia yang masih ingin mengadakan majlis yang serupa pada masa terdekat.

13. Jika perkara sensitif perlu dibincang, bincanglah dalam keadaan tertutup dan melibat hanya beberapa pemimpin yang bertanggungjawab sahaja. Hasilnya tidak perlu diheboh tetapi diserah kepada Kerajaan. Kerajaan pula janganlah takut dan utamakan populariti peribadi sahaja tetapi hendaklah fikir berkenaan kepentingan negara.