Friday, August 29, 2008

MENGINGATI PEJUANG-PEJUANG KEMERDEKAAN

7btc
As posted by Dr. Mahathir Mohamad at www.chedet.com on August 28, 2008 6:28 PM

1. Jeff Hamaz menarik perhatian kepada pejuang-pejuang kemerdekaan Malaya sebelum UMNO. Saya bersetuju kita harus beri tempat kepada orang-orang seperti Ibrahim Yaacob, Ahmad Boestamam, Ishak Hj Mohammad, Dr Burhanuddin Helmi dalam perjuangan ini.

2. Tetapi saya tidak bersetuju bahawa UMNO adalah pro-British. Kelainan antara pejuang-pejuang KMM (Kesatuan Melayu Muda) dan MNP (Malay Nationalist Party) ialah tentang cara dan pendirian. KMM sanggup menyokong Jepun dan ramai yang menjadi Heiho, angkatan separuh tentera yang didirikan oleh Jepun sementara Malay Nationalist Party mirip kiri dan bersimpati dengan Komunis yang hampir semuanya terdiri daripada orang Cina yang telah bermusuh dengan orang-orang kampung selepas Jepun kalah.

3. Pemimpin UMNO pula tidak kiri dan tidak kanan. Mereka utamakan orang Melayu yang akan hilang tanahair mereka jika Malayan Union ditubuh. Tak dapat tidak UMNO terpaksa menentang British. Hanya yang tidak dilakukan oleh UMNO ialah perjuangan ganas melalui perang gerila.

4. UMNO tidak pilih perang gerila kerana kemungkinan mendapat kemenangan melawan tentera British yang kuat, amat tipis. Lagipun perang gerila bersahabat dengan gerila Komunis.

5. Ada pihak yang berasa kemerdekaan melalui rundingan tidak sama dengan kemerdekaan melalui peperangan. Parti Islam umpamanya menyifatkan Kemerdekaan Malaya sebagai kemerdekaan setengah masak. Kita tidak dapat berbangga dengan hero-hero yang terkorban dalam perjuangan. Kita tidak boleh puja mereka.

6. Tetapi tidak siapa boleh pertikaikan kemerdekaan kita. Bukan sahaja dapat kita bangunkan negara lebih baik daripada penjajah, tetapi kita bebas menegur dan mengkritik penjajah, bahkan bertindak memboikot penjajah dan kuasa-kuasa Barat apabila mereka bertindak secara tidak adil atau ganas di mana-mana sahaja. Kita punyai pendirian kita tersendiri dalam dunia antarabangsa.

7. UMNO mudah lupa jasa pejuang-pejuangnya. Bukan sahaja UMNO dan Kerajaan pimpinan UMNO tidak memberi penghargaan kepada tokoh-tokoh seperti Ibrahim Yaacob, Ahmad Boestamam, Ishak Hj Mohammad dan Dr Burhanuddin, tetapi jasa Dato Onn Jaafar pun tidak dihargai seperti pemimpin-pemimpin UMNO yang lain walhal Dato Onn bukan sahaja Yang Dipertua UMNO yang pertama tetapi dibawah pimpinannya UMNO dan orang Melayu berjaya menewas rancangan British, sebuah kuasa dunia yang baru sahaja menang perang, daripada merampas negeri-negeri Melayu untuk diberi kepada siapa sahaja yang ingin memilikinya.

8. Dato Onn memimpin orang Melayu yang miskin dan daif, yang berpecah kepada rakyat masing-masing negeri supaya bersatupadu dalam UMNO dan menentang British sehingga British terpaksa tunduk kepada tuntutan Melayu dan menggugurkan Malayan Union kurang dari dua tahun ianya ditubuh.

9. Jasa Dato Onn kepada orang Melayu, kepada UMNO amatlah besar dan jasanya harus dikenang dan diberi penghargaan yang tidak kurang dari jasa Tunku Abdul Rahman, pejuang kemerdekaan.

10. Sesungguhnya orang Melayu dan UMNO mudah lupa dan kurang mengenang budi.