As posted by Dr. Mahathir Mohamad at Che Det on December 08, 2016
Pada 10 haribulan 11, 2016, saya menerima jemputan dari Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja yang menjunjung titah perintah Majlis Raja-Raja untuk menghadiri Mesyuarat Majlis Raja-Raja Yang Ke-244 (Khas) di Istana Negara, Kuala Lumpur pada hari Selasa 13hb Disember 2016 bersamaan 13 Rabiulawal 1438H jam 11.00 pagi sempena Istiadat Melafaz dan menandatangani Sumpah Jawatan oleh Seri Paduka Baginda Sultan Muhammad V, Yang di-Pertuan Agong dan Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Sultan Nazrin Muizzuddin Shah ibni Almarhum Sultan Azlan Muhibbuddin Shah Al-Maghfur-Lah, Timbalan Yang di-Pertuan Agong.
Saya jawab bahawa saya akan hadir kerana saya anggap acara ini sebagai acara nasional yang tidak ada kaitan dengan mana-mana parti politik.
Pada 6hb Disember, 2016 saya terima surat dari Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja yang menyebut:
“Dengan hormat saya menyusuli undangan yang dihantar kepada YABhg Tun dan memaklumkan bahawa undangan tersebut adalah dibatalkan.
Surat ini bermaksud untuk mengelak sebarang kesipuan (embarrassment) jika YABhg Tun hadir pada hari dan ketika tersebut kerana Pejabat ini tiada menyediakan kerusi kepada YABhg Tun.”
Rupa-rupanya acara negara adalah sebahagian dari politik parti.
Saya minta maaf kerana membuat anggapan yang salah. Saya akan ambil ingatan bahawa Istana Negara adalah milik Najib dan Parti Barisan Nasional.
Sekian.
Terima Kasih.