Sunday, June 1, 2014

JUAL TANAH

7btc
As posted by Dr. Mahathir Mohamad at Che Det on May 30, 2014


Tidak seperti kebanyakan negara lain pemilik tanah di Malaysia bebas menjual tanah mereka kepada sesiapa sahaja, termasuk kepada orang asing. Di zaman British orang Melayu yang rata-rata miskin kerap menjual tanah milik mereka. Harga yang ditawarkan oleh pembeli begitu tinggi sehingga tidak mampu mereka menolak.

Setelah dijual, mereka akan pindah ke kawasan tanah murah, biasanya di luar bandar. Kemudian bandar berkembang sehingga sampai ke kawasan di mana penjual tanah mendirikan rumah. Dengan ini harga tanah pun naik lagi.

Sekali lagi pemilik tanah ditawar harga yang tinggi untuk tanahnya. Sekali lagi pemilik tidak dapat tahan hati dan lalu menjual tanahnya serta berpindah ke kawasan lebih jauh dari bandar untuk mendiri rumah. Akhirnya pemilik tinggal di pinggir hutan.

Oleh sebab ini maka diperkenalkan undang-undang Tanah Simpanan Melayu. Kawasan yang diisytihar Simpanan Melayu tidak boleh dijual kepada bukan Melayu. Maka terselamatlah orang Melayu daripada menjadi penumpang di negaranya sendiri.

Tetapi jual tanah ini tidak terhad kepada orang rakyat sahaja. Raja pun sering menjual tanah takluknya. Demikian Pulau Pinang dijual kepada British. Kemudian Seberang Prai. Dinding di Perak juga dijual. Dan Singapura.

Dinding tidak berguna kepada British dan dikembalikan kepada Perak. Apabila cadangan Malaya Union dibuat oleh British Pulau Pinang, Seberang Prai dan Melaka dirancang sebagai sebahagian dari Union tersebut. Singapura dikecualikan kerana ianya strategik bagi British. Apabila Malayan Union diganti dengan Persekutuan Tanah Melayu, Raja-Raja Melayu dan pejuang-pejuang anti Malayan Union dikalangan orang Melayu tidak menuntut Singapura sebagai Wilayah Persekutuan. Apa yang berlaku kemudian adalah sejarah.

Tetapi tabiat menjual tanah masih kekal. Ia tidak semestinya melibat kepingan tanah. Mengorek tanah untuk dijual kepada negara lain juga tidak banyak berbeza dari penjualan tanah.

Kerajaan melarang penjualan tanah seperti ini. Tetapi penjualan ini masih berlaku. Dengan digunanya tanah Negara ini untuk memperbesarkan wilayah negara lain,hasilnya tidak banyak berbeza dari penjualan wilayah kepada negara asing, seperti yang dilakukan dahulu.

Kita sudah merdeka lebih setengah abad. Tetapi kita sudah lupa akan kesalahan kita dahulu. Memang menjual tanah seperti dapat duit percuma. Tetapi duit yang didapati akan hangus dibelanja. Akhirnya duit pun hilang tanah pun hilang. Penjual akan jadi papa kedana.

Sebenarnya ada cara untuk mengekalkan pemilikan sementara mendapat nikmat berpanjangan dari nilai tanah yang meningkat sepanjang masa. Tetapi itu cerita lain.

Di zaman ini dengan teknologi dan modal yang banyak terusan seperti Selat Tebrau pun boleh ditebusguna sepenuhnya. Nilai tanah ini tentulah amat tinggi, lebih tinggi dari belanja menebusguna. Sedikit sebanyak usaha ini sudah dilakukan.

Setelah pihak kita menebusguna selat di sebelah kita, pihak lain pula akan menebusguna sebelah mereka. Terusan akan jadi parit. Jambatan tidak perlu lagi. Siapakah yang akan bangun tanah tebusan yang mahal ini. Siapakah yang akan tinggal di bandar-bandar baru. Tentulah mereka yang berada sahaja yang akan memiliki kondo-kondo mewah yang akan didirikan.

Tak mengapalah kita dapat duit banyak. Pinggir hutan amat selesa. Kalau kita ternampak sebagai penumpang di negara sediri, itu pun tak mengapa. Selagi boleh jual negara sendiri apa salahnya menjadi penumpang.