Sunday, June 29, 2014

DUNIA ISLAM SEKARANG


As posted by Dr. Mahathir Mohamad at Che Det on June 25, 2014

1. Sebuah TV Arab telah bertanya kepada saya apakah pendapat saya berkenaan dengan Arab Spring atau musim bunga negara-negara Arab. Saya tidak hendak komen terhadap masalah negara lain kerana negara sendiri pun banyak masalah. Tetapi kerana ditermuramah TV mereka saya terpaksa jawab.

2. Mereka menjatuhkan Kerajaan kuku besi untuk digantikan dengan demokrasi. Pemimpin-pemimpin mereka berpendapat demokrasi akan selesaikan semua masaalah dan kepincangan negara mereka.

3. Mereka percaya dengan hanya mengadakan pilihanraya maka pemerintah demokrasi akan tertubuh. Dengan harapan itu mereka membentuk parti-parti politik untuk menyertai pemilihan. Kerana ramai yang berminat untuk jadi Presiden maka banyaklah parti yang ditubuh. Masing-masing percaya merekalah yang akan menjadi permerintah.

4. Memang benar biasa terjadi satu daripada parti yang banyak mendapat lebih daripada setengah kerusi yang dipertandingkan dan dapat mendiri kerajaan. Tetapi biasanya apabila terdapat banyak parti, undi terbahagi antara mereka sehingga tidak ada satu pun yang melebihi 50 peratus.

5. Kerajaan minoriti didirikan. Tetapi kerajaan minoriti mudah dijatuhkan dengan undi tidak percaya.

6. Kerana kemungkinan ini parti-parti minoriti terpaksa bergantung sesama mereka untuk mendapatkan majoriti selepas pilihanraya. Tetapi gabungan seperti ini lemah kerana penarikan diri sebuah parti kecil pun boleh menjatuhkan kerajaan.

7. Cara yang terbaik ialah dengan mengadakan hanya dua buah parti. Mana-mana satu daripada mereka tetap mendapat lebih 50 peratus kerusi dan berhak mendirikan kerajaan terutama apabila jumlah kerusi yang dipertandingkan ganjil dan tidak genap.

8. Keputusan yang terbaik ialah apabila menang mendapat kelebihan yang tinggi. Jika kelebihan kerusi parti yang menang sedikit sahaja, kerajaan yang didirikan lemah dan mudah ditumbangkan. Pemerintahan negara tidak dapat dilaksanakan dengan mudah. Demokrasi tidak menjamin lebihan pemenang yang tinggi dan kerajaan yang berwibawa.

9. Di Malaysia kita cantumkan parti-parti ke dalam satu parti campuran. Hanya satu calon sahaja yang diletak bagi tiap kawasan dan ia akan disokong oleh semua parti dalam gabungan. Dengan ini, kemenangan lebih terjamin. Parti-parti lain bertanding dengan meletakkan masing-masing calonnya sendiri. Mereka sebenarnya bukan sahaja bersaing dengan parti campuran tetapi juga sesama mereka. Calon parti yang mendapat sokongan hanya dari partinya sahaja sukar untuk melebihi parti campuran yang mendapat undi dari semua parti anggota. Dengan itu parti campuran mudah mendapat kemenangan besar.

10. Selepas ditubuhkan parti Semangat 46 yang ahlinya terdiri dari bekas ahli UMNO, pemimpin Semangat 46 berjaya menggabungkan parti-parti yang melawan parti campuran, supaya mereka juga menjadi parti campuran dan tidak berlawan sesama mereka. Mereka juga meletak satu calon bagi satu kawasan dan calon ini mendapat sokongan dari semua parti dalam kumpulan mereka. Tindakan mereka secara tidak langsung menghasilkan sistem dua parti di Malaysia. Dengan ini parti campuran yang menang mendapat cukup bilangan untuk mendiri Kerajaan.

11. Di negara Arab, semua pihak bersetuju berdemonstrasi untuk menjatuhkan Kerajaan kuku besi. Tetapi apabila jatuh Kerajaan, perpaduan antara pemberontak tamat dengan ditubuhnya parti-parti untuk bertanding dalam pilihanraya. Kemungkinan mana-mana parti mendapat majorit yang besar tipis.

12. Masalah kedua ialah masing-masing tidak sanggup menerima kekalahan, sedangkan dalam pertandingan tetap akan ada yang kalah. Tak mungkin semua menang. Apabila kalah, tuduhan dibuat bahawa parti yang menang menipu. Dengan itu, demonstrasi diadakan semula untuk menjatuhkan Kerajaan parti yang menang.

13. Demonstrasi besar-besaran dan lain-lain tindakan ganas menghalang pemerintah negara sehingga akhirnya Kerajaan jatuh, dan Kerajaan tentera kembali. Segala pengorbanan dan tidak stabilnya negara dan ekonomi kerana menjatuhkan Kerajaan kuku besi menjadi sia-sia.

14. Kesanggupan menerima kekalahan dalam pilihanraya adalah penting jika demokrasi hendak dijayakan. Inilah yang dilihat di negara maju dan demokratik. Yang kalah terima kekalahan dan terima kedudukan sebagai parti pembangkang. Mereka menunggu pilihanraya yang akan datang untuk bertanding sekali lagi. Mereka mungkin berjaya, mungkin tidak. Tetapi keputusan pilihanraya dihormati.

15. Yang menjadi masalah di negara-negara Arab ialah yang kalah tidak sanggup menerima kekalahan. Mereka tidak sanggup menunggu pilihanraya akan datang. Mereka menuduh pihak yang menang akan menipu lagi jika pilihanraya baru diadakan.

16. Memang ada kemungkinan penipuan berlaku dalam pilihanraya. Untuk mengelak dari ini, pasukan pemerhati dari negara asing yang tidak berkepentingan boleh ditugaskan untuk memerhati proses pilihanraya. Jika pemerhati berpuas hati, keputusan hendaklah diterima oleh semua pihak.

17. Sesungguhnya menjatuhkan Kerajaan pilihanraya rakyat adalah tidak demokratik. Jika negara Arab ingin menjadi demokratik, pilihan rakyat melalui undi mestilah dihormati.

18. Negara-negara Arab tidak pernah diperintah secara demokratik. Sistem mereka ialah raja atau pemimpin yang berkuasa penuh. Sebab itu sukar bagi mereka menerima hasil pilihanraya demokratik. Selagi mereka tidak sanggup kalah dalam pilihanraya selama itulah demokrasi tidak akan berjaya di negara mereka.

19. Demokrasi bukanlah cara yang mudah untuk diamalkan. Banyak lagi syarat yang perlu dilaksana sebelum demokasi berjaya. Syarat yang terbesar ialah institusi pentadbiran yang ada mestilah terima pemerintahan parti yang menang.

20. Diwaktu pilihanraya anggota pemerintahan bebas untuk mengundi sesiapa sahaja. Tetapi setelah Kerajaan didirikan oleh parti yang menang, anggota pemerintahan hendaklah setia kepada Kerajaan pilihan rakyat.

21. Syarat ini dikenakan juga kepada pasukan polis dan tentera. Sebagai badan professional dalam menjalankan tugas, kesetiaan mereka adalah kepada kerajaan pilihan rakyat.

22. Perebutan kuasa oleh pasukan bersenjata kerana apapun akan menjadi negara bukan sahaja tidak demokratik tetapi juga tidak stabil. Pemerintahan ketenteraan tetap akan menjadi pemerintahan kukubesi. Rakyat tetap akan menderita.

23. Dalam dunia Islam sekarang tidak ada negara yang stabil yang diperintah secara demokrasi. Selagi tidak ada kesanggupan menerima kekalahan dalam pilihanraya selama itulah demokrasi tidak akan berjaya dalam dunia Islam.