Tuesday, August 25, 2009

MENYAMBUT MERDEKA


As posted by Dr. Mahathir Mohamad at Che Det on August 24, 2009 3:05 PM

1. Tahun ini kita akan sambut Hari Merdeka dengan menyebat seorang wanita Melayu kerana minum beer.

2. Cerita hukum sebat telah disebar luas di seluruh dunia. Saya tak tahu apakah ini akan memberi imej baik atau tidak baik kepada agama Islam. Sebagai orang Islam kita tidak harus ambil berat pandangan orang lain terhadap Islam dalam melakukan suruhan agama.

3. Tetapi benarkah hukuman ini tepat bagi jenayah minum arak? Apakah hukuman ini terdapat dalam undang-undang syariah di Malaysia.

4. Bagi undang-undang biasa jenayah ditentukan bersama dengan hukuman kepada pesalah yang didapati bersalah. Jika Kerajaan tidak mengkanunkan undang-undang syariah melalui proses perbahasan dan kelulusan oleh dewan-dewan undangan, atau melalui fatwa oleh ulama-ulama, bolehkah tulisan-tulisan ulama tertentu dijadikan asas hukum mengikut pendapat hakim?

5. Apakah ada larangan dalam Islam untuk mengkanunkan undang-undang syariah?

6. Saya tanya soalan ini kerana terdapat perbezaan pendapat terhadap hukuman yang telah dijatuhkan keatas wanita ini. Janganlah kata saya tak Islam dan akan masuk neraka. Saya cuma tanya.

7. Dalam Al-Quran terdapat 43 ayat yang menegaskan; "Apabila kamu hukum, hukumlah dengan adil". Apakah mungkin seorang hakim itu tidak adil ataupun tersilap dalam pertimbangannya? Apakah tidak ada dalam Islam belas kasihan bagi yang bersalah buat kali pertama?

8. Keadilan dan timbang rasa jelas menjadi ajaran yang utama dalam Islam. Mereka yang tidak adil dan tidak bertimbang rasa tidak mengikuti semangat keIslaman.

9. Mereka yang ahli dalam ilmu fiqah memanglah berhak menulis kitab berkenaan undang-undang Islam. Tetapi sebagai manusia biasa kemungkinan membuat tafsiran yang salah memang ada.

10. Islam mendesak supaya kita rujuk kepada Al-Quran apabila kekeliruan berlaku atau menemui jalan buntu.

11. Sudahkah kita rujuk kepada Al-Quran berkenaan dengan minum beer (arak) dan hukuman yang perlu dikenakan supaya keadilan tercapai? Tak perlu kita ambil berat pandangan orang tetapi umat manusia perlu tahu bahawa agama Islam menjunjung tinggi keadilan.

12. Saya harap pihak-pihak yang pakar dalam perkara ini dapat menunjuk ayat-ayat Al-Quran dan kitab-kitab yang dirujuk oleh hakim apabila hukuman ini dijatuhkan.