Tuesday, June 20, 2017

KOS MARUAH BANGSA

As posted by Dr. Mahathir Mohamad at Che Det on June 15, 2017

1. Bangsa yang tidak hargai maruah bangsa tidak akan dihormati oleh masyarakat dunia. Lebih dari itu bangsa itu tidak akan berjaya, akan dihina dan dipermain oleh bangsa-bangsa lain di dunia.

2. Kita berjuang untuk dapat kemerdekaan kerana hasrat menebus maruah, dan menebus kuasa yang boleh menentukan maruah kita terpelihara.

3. Sebenarnya jalan yang termudah dan tidak ada kos ialah dengan menerima penjajahan dan menjadi hamba kepada orang lain. Tetapi banyak negara yang penduduknya sanggup bermati-matian untuk mencapai kemerdekaan, menebus maruah.

4. Kita di Malaysia tidak perang walaupun terpaksa melawan pengganas yang ingin mendiri pemerintahan komunis di Semenanjung Tanah Melayu. Kita menang dan kita dapat memerintah negara kita. Kita pilih demokrasi sebagai cara untuk memulih maruah kita. Saya fikir buat beberapa dekad kita berjaya. Nama Malaysia terserlah dikenali di dunia dan dihormati.

5. Walaupun demikian itu belum mencukupi. Kita ingin menjadi negara maju menjelang 2020. Untuk ini kita bukan sahaja perlu tingkatkan pendapatan kita. Kita perlu miliki kebolehan dalam pelbagai bidang yang terdapat dalam negara maju. Di antaranya ialah bidang industri. Belum ada negara pertanian atau negara yang kaya dengan sumber alam yang ditakrif sebagai negara maju.

6. Kita pilih industri kereta bermotor sebagai catalyst (umpan) untuk tingkatkan kebolehan dan kemajuan kita dalam industri pembuatan. Industri kereta memerlukan komponen engineering sebanyak 4000. Sedikit demi sedikit kita akan menguasai bidang industri pembuatan kerana membekal komponen.

7. Dengan menjual Proton kita mengaku kita gagal dan kemajuan ke arah menjadi Malaysia sebagai negara maju terencat.

8. Ya. Maruah mempunyai kos. Kita mampu jika Kerajaan tidak menggunakan cukai ke atas rakyat untuk membeli sokongan melalui rasuah. Duit sebanyak 1.7 billion Ringgit yang kononnya diberi kepada Proton tidak sampai kepada Proton, setakat yang dapat diketahui.

9. Penjualan Proton dipaksa kerana dendam kesumat. Maruah tidak penting. Membalas dendam lebih penting.

10. Jika diteliti keuntungan perniagaan Malaysia hari ini, cukai yang dikutip tetap lebih tinggi dari zaman Proton laris dijual. Tetapi hutang Kerajaan membukit. Di mana pergi dana Kerajaan ini. Apakah ia telah masuk poket orang itu dan orang ini?

Thursday, June 8, 2017

MELAWAT GEELY

As posted by Dr. Mahathir Mohamad at Che Det on June 06, 2017

1. Saya mengaku saya lawat Geely di negara China. Saya juga melawat Volvo di Sweden, Jaguar di Britain, Nissan dan Toyota di Jepun dan Volkswagen di Jerman.

2. Saya melawat banyak syarikat automotif di dunia untuk menjual Syarikat Proton. Tetapi saya gagal. Ternampak orang lain lebih berjaya, Syabas dan tahniah, saya ucapkan kepada mereka.

3. Mungkin saya gagal kerana bercakap berkenaan pembelian enjin dari Geely. Geely memiliki Volvo dan saya dapati enjin design Volvo cukup baik. Proton tidak ada enjin yang boleh diterima oleh Eropah. Jika dipasang enjin Geely/Volvo mungkin kita akan menepati spec Euro 6. Dahulu pasaran luar yang terbesar bagi Proton ialah Britain. Sekarang kita tak dapat jual barang sebiji pun kereta Proton di Britain dan di Eropah kerana tidak menepati Euro 5.

4. Saya cuba upgrade enjin Proton. Tetapi Proton tolak. Saya juga buat pick-up truck. Proton bukan sahaja tolak, tetapi tidak bersetuju jual 1000 Proton Preve yang pembeli sanggup mengalih dari sedan kepada pick-up.

5. Oleh kerana Honda tidak benar Perdana dengan enjin Accord dieksport, usaha dibuat untuk pasang enjin Campro Proton 1600cc dengan turbo charger yang mempunyai kuasa sama dengan Perdana 2000cc. Kereta ini didapati sama kuat dengan Perdana 2000cc dan mampu naik Genting Highlands tanpa sedikit pun masalah. Lagipun kos enjin Proton Campro RM8,000 lebih murah. Upgrade kepada 2400cc pun boleh. Tetapi Proton tolak.

6. Untuk cash-flow Proton perlu jual lebih dari 8000 biji tiap bulan. Tetapi Proton menjual kurang dari 8000 sebulan. Tidak dapat pendapatan yang cukup untuk bayar vendors dan overhead.

7. Vendors tidak membekal parts kerana tidak dibayar. Kereta tak dapat dipasang kerana tak cukup komponen. Keluaran rendah dari permintaan. Penjualan tidak dapat ditingkatkan. Demand ada. Bekalan kurang. Proton rugi.

8. Sejak saya tinggal Proton, pegawai dan kakitangan Proton tidak dibenar bercakap dengan saya, jauh sekali bertemu.

9. Ramai pembekal berjumpa saya untuk saya tolong dapat duit yang dihutang oleh Proton. Tetapi saya tidak boleh buat apa-apa.

10. Sebenarnya kereta Proton tidak kurang baiknya dari kereta import yang sama harganya. Tingkap automatik berjalan baik. Masalah ini diatasi 10 tahun dahulu tetapi masih disebut. Ramai yang membeli kereta Proton puas hati. Yang tidak puas hati tidak mengguna Proton, tidak tahu kualiti Proton. Mereka masih percaya cermin tingkap tidak naik.

11. Saya masih ingat zaman kereta Jepun dijadi objek ketawa kerana kononnya jika cat dikikis akan terlihat label Milo. Industri otomotif Jepun dan Korea berjaya kerana Kerajaan mereka tidak benar kereta asing diimport sehinggalah kualiti kereta mereka sudah boleh bersaing dengan kereta import. Sehingga kini pun tak banyak kereta buatan asing di negara mereka.

12. Kita terbuka. Siapa sahaja boleh pasar kereta mereka di Malaysia. Kereta kita tidak boleh masuk negara mereka kerana berbagai sebab. Dan kita akur.

13. Tak usahlah pertahan bahawa kita masih ada kereta nasional. Kereta milik orang lain, dikeluar dan dijayakan oleh orang lain, tidak boleh diiktiraf sebagai nasional. Apakah dengan pegangan melebihi 0.1% maka pihak yang memiliki 49.9% tidak punyai apa-apa kuasa langsung.

14. Ya. Memang terdapat kos yang tinggi mempertahan maruah. Lebih mudah jual sahajalah maruah.