Tuesday, June 20, 2017

KOS MARUAH BANGSA

7btc
As posted by Dr. Mahathir Mohamad at Che Det on June 15, 2017

1. Bangsa yang tidak hargai maruah bangsa tidak akan dihormati oleh masyarakat dunia. Lebih dari itu bangsa itu tidak akan berjaya, akan dihina dan dipermain oleh bangsa-bangsa lain di dunia.

2. Kita berjuang untuk dapat kemerdekaan kerana hasrat menebus maruah, dan menebus kuasa yang boleh menentukan maruah kita terpelihara.

3. Sebenarnya jalan yang termudah dan tidak ada kos ialah dengan menerima penjajahan dan menjadi hamba kepada orang lain. Tetapi banyak negara yang penduduknya sanggup bermati-matian untuk mencapai kemerdekaan, menebus maruah.

4. Kita di Malaysia tidak perang walaupun terpaksa melawan pengganas yang ingin mendiri pemerintahan komunis di Semenanjung Tanah Melayu. Kita menang dan kita dapat memerintah negara kita. Kita pilih demokrasi sebagai cara untuk memulih maruah kita. Saya fikir buat beberapa dekad kita berjaya. Nama Malaysia terserlah dikenali di dunia dan dihormati.

5. Walaupun demikian itu belum mencukupi. Kita ingin menjadi negara maju menjelang 2020. Untuk ini kita bukan sahaja perlu tingkatkan pendapatan kita. Kita perlu miliki kebolehan dalam pelbagai bidang yang terdapat dalam negara maju. Di antaranya ialah bidang industri. Belum ada negara pertanian atau negara yang kaya dengan sumber alam yang ditakrif sebagai negara maju.

6. Kita pilih industri kereta bermotor sebagai catalyst (umpan) untuk tingkatkan kebolehan dan kemajuan kita dalam industri pembuatan. Industri kereta memerlukan komponen engineering sebanyak 4000. Sedikit demi sedikit kita akan menguasai bidang industri pembuatan kerana membekal komponen.

7. Dengan menjual Proton kita mengaku kita gagal dan kemajuan ke arah menjadi Malaysia sebagai negara maju terencat.

8. Ya. Maruah mempunyai kos. Kita mampu jika Kerajaan tidak menggunakan cukai ke atas rakyat untuk membeli sokongan melalui rasuah. Duit sebanyak 1.7 billion Ringgit yang kononnya diberi kepada Proton tidak sampai kepada Proton, setakat yang dapat diketahui.

9. Penjualan Proton dipaksa kerana dendam kesumat. Maruah tidak penting. Membalas dendam lebih penting.

10. Jika diteliti keuntungan perniagaan Malaysia hari ini, cukai yang dikutip tetap lebih tinggi dari zaman Proton laris dijual. Tetapi hutang Kerajaan membukit. Di mana pergi dana Kerajaan ini. Apakah ia telah masuk poket orang itu dan orang ini?