Saturday, October 21, 2017

SNIPPETS – PILIHANRAYA, ESTET INDUSTRI & CEO MAS

7btc
As posted by Dr. Mahathir Mohamad at Che Det on October 20 2017

1. Najib sedang meningkat usaha untuk menipu Pilihanraya.

2. Kali ini Najib mengarah SPRM menangkap pemimpin-pemimpin Parti lawan (Warisan) di Sabah. Matlamatnya ialah untuk melumpuh Warisan dengan menangkap Datuk Seri Shafie Apdal dan menakutkan penyokongnya.

3. Pegawai SPRM diugut untuk melaksana arahan Najib. Jika mereka tidak patuh kepada arahan Najib maka tindakan tertentu akan diambil terhadap mereka. Mereka mungkin diturun pangkat, ditukar ke jawatan lain yang lebih rendah, dimansuh hak pencen dan bermacam lagi.

4. Pegawai Tinggi Polis, pegawai di Jabatan Pendakwa Raya, Pengarah Syarikat dalam Khazanah semua ditakutkan supaya menyokong perbuatan salah oleh Najib untuk menang PRU.

5. Demikian juga pegawai-pegawai dari berbagai pejabat yang akan dilantik mengurus PRU. Mereka akan disuruh tipu untuk memberi kemenangan kepada Najib dalam PRU 14.

6. Kami dalam Pakatan Harapan sedar kami akan menang jika tidak ada penipuan dalam PRU. 90% dari pengundi yang berdaftar sudah pun nyatakan mereka tolak Najib.

7. Kami berjanji jika kakitangan Kerajaan yang akan mengurus PRU diugut dan didera oleh Najib dan kehilangan gaji, atau pangkat atau jawatan kami akan pulih balik mereka dan pendapatan mereka. Mereka akan kembali pegang jawatan yang telah dilucut dari mereka. Demikian juga mereka yang memberi maklumat kepada kami akan salah cara dan penipuan Najib. Kami akan selamatkan mereka.

8. Ini janji kami. Walaupun penipuan dilakukan oleh Najib kami tetap menang. Dan kami akan tunaikan janji kami.

9. Jangan takut untuk menolak arahan salah dari Najib dan konco-konconya.


ESTET INDUSTRI

1. Saya baru ke Kuantan. Ternampak saya sebuah estet industri yang amat besar yang dikelilingi tembok simen 8 kaki tinggi dan 9 kilometer panjang.

2. Terdapat tembok tanda yang diperbuat dari simen sebesar lima buah kedai biasa. Tulisan atas tembok gergasi ini hanya dalam bahasa Inggeris dan bahasa asing. Tidak ada bahasa Kebangsaan dalam nama estet industri ini. Ini memang perkara remeh yang boleh diterima oleh Dewan Bahasa sekarang.

3. Luasnya kawasan industri ini dikatakan 3000 ekar. Bukit bukan termasuk dalam estet ini.

4. Dalam kawasan ini terdapat banyak bangunan yang berbentuk kilang.

5. Orang Malaysia tidak dibenar masuk estet industri ini. Dikatakan semua pekerja datang dari negara yang memiliki estet ini. Katanya juga jumlah pekerja lebih kurang 3000 – wallahu waalam.

6. Konon ada kedai dan restoran yang membekal segala-gala yang diperlukan oleh pekerja dan pegawai. Penghuni tidak perlu keluar ke Kuantan untuk membeli apa-apa keperluan.

7. Ada yang berkata wang diguna dalam estet ini bukan Ringgit Malaysia. Mereka mengguna wang negara lain.

8. Saya tertanya-tanya apakah Undang-Undang yang diguna Undang-Undang Malaysia? Apakah pejabat-pejabat Malaysia meluluskan pembangunan dalam kawasan ini? Apakah mereka bayar cukai Malaysia?

9. Bahan binaan semuanya diimport dari negara asing. Tentulah mereka dapat AP dan kebenaran-kebenaran lain.

10. Saya kagum dengan Industrial Park ini. Kenapa diadakan di Pahang sahaja. Kenapa tidak di Kedah, di Perlis dan di lain-lain Negeri. Kenapa hanya 3000 ekar. Kenapa tidak lebih besar. Sesungguhnya kita akan capai Wawasan 2020 sebelum 2020.

11. Dengan adanya Industrial Park seperti ini, Malaysia akan jadi negara maju. Tak usahlah tanya akan peluang pekerjaan bagi pekerja Malaysia, peluang kontrak, peluang berniaga oleh rakyat Malaysia. Kita perlu korbankan diri kita untuk mendiri negara maju milik orang asing.

12. Syabas Najib. Awak cukup bijak. Tidak ada cara yang lebih baik untuk bangunkan negara daripada menjualnya.

13. Lihat Singapura? Lihat betapa majunya Singapura.


CEO MAS BERHENTI

1. Tak usahlah nak bohong. Bellew berhenti kerana Najib campur tangan dalam urusan MAS tanpa rujuk kepada Pengarah dan Pengurus Syarikat.

2. Pesawat yang Najib nak beli, bukanlah pesawat yang diperlukan oleh MAS untuk penerbangan ke destinasi tertentu.

3. Saya yakin Najib tidak pun tanya MAS. Najib tidak peduli perancangan CEO atau pemilihan MAS. Biarlah MAS lingkup asalkan Najib dapat ambil gambar dengan Trump.

4. Jika boleh Najib ingin serah wang tunai sebanyak 20 Billion dollar (90 billion Ringgit) terus kepada Trump. Alangkah berkesannya jika dapat gambar Najib serah dua lori wang tunai dollar kepada Trump. Malangnya Trump tak mungkin terima dengan cara ini. Tetapi kalau kata nak beli kapal terbang ini lebih diplomatik.

5. Apa kata Bellew. Dia cuba hendak tunjuk bahawa ia bersetuju. Kononnya dakwaan saya tidak tepat. Tetapi ini tidak kurangkan perasaan malu dan kecewa kerana Najib tidak sedikit endah CEO MAS ini.

6. Apa nak buat. Kononnya perasaan patriotiknya tiba-tiba menyedar dirinya akan pentingnya ia kembali ke Ireland.

7. Syabas dan Tahniah kepada Najib. Belilah kapal terbang untuk perhiasan negara.