Tuesday, October 10, 2017

DAP

7btc
As posted by Dr. Mahathir Mohamad at Che Det on October 05, 2017

1. Ramai orang Melayu percaya jika UMNO (BN) kalah maka DAP akan memerintah Malaysia. Lebih dari itu Kit Siang akan jadi Perdana Menteri.

2. Ada di antara mereka yang anggap saya sudah mengkhianati Melayu dengan bekerjasama dengan Kit Siang dan DAP. Mereka tidak boleh terima DAP sama sekali kerana DAP ini anti Melayu.

3. Sebenarnya sayalah orangnya yang mempersetankan DAP. Dalam politik jika kita nak kalahkan musuh, kita terpaksa memburukan imej musuh. DAP adalah musuh parti saya dan saya sendiri.

4. Pendekatan saya amat berkesan walaupun saya juga dipersetankan oleh DAP.

5. Demikian kesannya usaha saya dan rakan-rakan saya dalam mempersetankan DAP sehingga orang Melayu tidak boleh terima DAP dan sesiapa yang mendampingi DAP sama sekali.

6. Hari ini saya sendiri yang mendampingi DAP. Maka pada ramai orang UMNO terutamanya, saya sudah khianati mereka.

7. Saya tidak akan berbuat demikian jika DAP benar-benar syaitan. Sebelum saya ramai juga pemimpin tertinggi Melayu yang bekerjasama, bahkan menyokong DAP. Di antara mereka ialah Tunku Abdul Rahman, (Bapa Kemerdekaan) dan Tengku Razaleigh Hamzah. Anwar Ibrahim juga bekerjasama dengan Kit Siang dan DAP.

8. Pemimpin PAS, Hadi Awang biasa berpeluk Kit Siang dan berada dalam Barisan Alternatif dan Pakatan Rakyat pada PRU 12 dan 13. PAS menang besar apabila disokong oleh orang Cina DAP.

9. Saya mula bekerjasama dengan Kit Siang apabila beliau menyokong Deklarasi Rakyat yang bertujuan menjatuhkan Kerajaan BN pimpinan Najib. Pada ketika itulah perjuangan politik kami menjadi sama. Kedua-dua kami berpendapat menjatuhkan Najib lebih penting dari sengketa antara kami.

10. Hakikatnya ialah di Malaysia yang berbilang kaum, tidak ada satu parti atau satu kaum yang boleh menang dalam PRU sehingga menubuh Kerajaan Malaysia. Hanya parti campuran sahaja yang boleh kuasai cukup bilang untuk mendiri Kerajaan.

11. UMNO dengan sendirinya tidak mungkin menang dan tubuh Kerajaan. Hari ini pun UMNO hanya mempunyai 88 wakil rakyat dalam Dewan Rakyat yang mempunyai 220 kerusi. UMNO perlu sokongan MCA, MIC dan banyak parti-parti lain (13 buah parti).

12. Demikian juga dalam parti-parti yang menentang BN. Tidak ada satu parti yang boleh diri Kerajaan dengan sendirinya. Hanya parti campuran yang boleh menewas BN.

13. Pengundi Cina kurang dari pengundi Melayu. Tetapi Melayu berpecah kepada empat buah parti iaitu UMNO, PKR, AMANAH dan PPBM. Apabila UMNO berlawan dengan parti lain samada dua penjuru atau tiga atau lebih, undi pengundi Cina yang akan menentukan UMNO menang atau tidak. Demikian juga dengan parti lawan.

14. Menyedari hakikat ini maka parti lawan juga perlu mendapat sokongan pengundi Cina. Sebab itulah Pakatan Harapan bekerjasama dengan DAP. DAP juga sedar untuk menang lawan dengan MCA atau Gerakan, pengundi Melayu diperlukan.

15. Setelah menyetujui DAP menjadi rakan dalam Pakatan Harapan, gabungan ini dapati DAP bukanlah seburuk seperti dikatakan oleh saya dahulu.

16. DAP bukan parti Cina. Tidak seperti MCA, DAP terbuka kepada semua kaum. Kepimpinannya, bahkan wakil rakyatnya bukan semuanya Cina seperti MCA. Ada wakil rakyat Melayu dan India dalam DAP.

17. Sebagai parti berbilang kaum DAP tidak boleh guna hanya bahasa Cina sahaja seperti MCA. DAP mengguna bahasa Kebangsaan dalam mesyuaratnya. Wakil rakyat Cina dari DAP boleh bertutur dalam bahasa Kebangsaan lebih baik dari wakil MCA.

18. DAP tidak dapat memiliki lebih dari 50 wakil rakyat dalam Dewan Rakyat kerana jumlah kawasan parlimen Cina terhad. (Sekarang DAP hanya mempunyai 35 wakil rakyat) Bukan semua wakil rakyat DAP terdiri dari orang Cina.

19. Jika Pakatan Harapan menang DAP tidak boleh tuntut jawatan Perdana Menteri untuk partinya. Dan Kit Siang tidak mungkin jadi Perdana Menteri. Dakwaan bahawa Kit Siang akan jadi Perdana Menteri ini diguna oleh Najib untuk menakutkan UMNO dan orang Melayu.

20. Majoriti dari wakil rakyat, jika Pakatan Harapan menang akan terdiri dari orang Melayu. Ramai dari mereka berminat untuk menjadi Perdana Menteri. Mereka tidak akan serah keputusan kepada DAP untuk pemilihan Perdana Menteri.

21. DAP sendiri dan Kit Siang juga telah mengatakan DAP tidak akan tuntut jawatan Perdana Menteri.

22. Sebaliknya sila teliti dasar-dasar Najib. Ia percaya orang Melayu boleh ditakutkan dengan cerita Kit Siang menjadi Perdana Menteri. Pendapat Najib ialah orang Melayu lebih mudah disuap dengan wang. Kerajaan Najib yang ada sekarang berharap wang yang dicuri dari 1MDB boleh beli orang Melayu.

23. Percayalah jika Najib menang orang Melayu akan menderita kerana dasar-dasar Najib hanya untuk mengekal dirinya sebagai Perdana Menteri. Hari ini pun orang Melayu merasai tekanan.

24. Pakatan Harapan bukan milik DAP atau Kit Siang. Pakatan Harapan adalah untuk Malaysia yang berjaya dan dihormati seluruh dunia.