Saturday, July 22, 2017

ATTORNEY-GENERAL YANG BERANI

7btc
As posted by Dr. Mahathir Mohamad at Che Det on July 19, 2017

1. Ya, A.G. (Pendakwa Raya) tidak perlu takut kepada saya. Ia perlu takut kepada Allah S.W.T.

2. Tetapi yang jelas ia tidak takut kepada Allah. Jika benar tidak ada apa-apa kesalahan yang telah dilakukan oleh Najib, apa sebabnya laporan-laporan oleh Bank Negara, MACC dan Auditor General disembunyi dari orang ramai. Menyembunyi laporan dari orang ramai tentulah kerana kenyataan yang dibuat oleh Apandi tidak benar. Ini bermakna Apandi membohong dan Allah S.W.T tahu Apandi bohong. Tuhan tahu Apandi cuba lindungi Najib daripada dihadapkan ke mahkamah setelah melakukan jenayah. Ini adalah suatu penipuan dan pemecahan amanah oleh seorang Pendakwa Raya. Perbuatan pecah amanah berdosa.

3. Tetapi Apandi tidak takut buat dosa; iaitu tidak takut Allah S.W.T. Pengakuan bahawa ianya hanya takut kepada Allah Ta’ala tidak benar. Ini juga berdosa.

4. Apandi membuat banyak dosa dalam kes ini; dosa kerana membohong, dosa kerana melindungi perlakuan jenayah oleh Najib, dosa kerana menyatakan hanya takut kepada Allah sedangkan perbuatan, kenyataan dan pembohongannya menunjuk yang ia tidak takut buat dosa, tidak takut Allah.

5. Tetapi Apandi boleh bersihkan dirinya dengan mengambil wuduk, menjunjung Al-Quran dan bersumpah dalam masjid bahawa tidak ada apa-apa dalam laporan-laporan yang diterima olehnya dari Bank Negara, MACC dan Auditor General yang menyatakan Najib bersalah berkenaan wang sebanyak RM2.6 billion Ringgit dalam akaun banknya datang dari 1MDB dan penyerahan balik 2.3 billion kepada seorang Arab Saudi adalah tidak benar.

6. Semasa bersumpah Apandi perlu disertai dengan beberapa imam masjid dan saksi lain supaya sumpahnya dan pengakuan niatnya tidak berbeza antara mulut yang menyebut dan hatinya.

7. Dan dianya mengaku bahawa akan berdosalah ia jika sumpah yang dilafaz itu adalah pembohongan kepada makhluk dan dia akan terima balasan di akhirat dalam api neraka.