As posted by Dr. Mahathir Mohamad at Che Det on May 18, 2017
1. Malu adalah perasaan manusia bertamadun apabila melakukan sesuatu yang tidak harus dilakukan mengikut budaya hidup masyarakat berkenaan.
2. Demikian orang Jepun sanggup membunuh diri kerana malu apabila gagal menjalan tugasnya atau tidak sebaik yang diharapkan atau melakukan sesuatu yang tidak baik dalam pandangan masyarakatnya.
3. Dalam masyarakat Melayu perasaan malu berbeza dengan orang Jepun. Mereka berasa malu jika kain terlondeh di hadapan orang. Jika gagal menjalan tugas yang diberi atau diamanah, perasaan malu tidak mengganggu fikiran mereka. Jika mereka mengambil atau melesapkan duit yang diamanahkan kepada mereka juga mereka tidak berasa malu. Jika terjadi padanya sesuatu yang diketawa masyarakat atau dianggap tidak mengikut budaya mesyarakat Melayu perasaan malu tidak melandanya dengan kuat. Sedikit sangat perasaan malu di kalangan orang Melayu.
4. Hari ini perasaan malu dikalangan orang Melayu sudah terhakis lagi. Walaupun sudah ada pendapatan yang mencukupi, tetapi jika terdapat peluang untuk melesapkan wang yang diamanah kepadanya perasaan malu tidak menghalang perbuatan yang salah ini. Kebanyakan bersedia menerima apa yang diberi percuma tanpa segan-segan. Punca pemberian ini tidak disoal.
5. Satu dari perlakuan yang tidak baik dan sepatutnya memalukan, ialah amalan membodek. Adakalanya pembodek sanggup memterbalikan perbuatan kerana ingin dipuji oleh tuannya. Tidak ada perasaan malu barang sedikit pun apabila dikesan dan diperkatakan tentang perbuatan yang tidak baik olehnya. Menyalahguna hak membuat keputusan kerana ingin membodek tuannya tidak memalukan orang tertentu ini.
6. Ada yang apabila dituduh mencuri, orang yang tidak tahu malu akan hanya senyum.
7. Sepatutnya perasaan malu akan menyerang masyarakat jika ada dikalangannya seseorang atau kumpulan terlibat dengan perbuatan jenayah. Tetapi hari ini ada orang Melayu tidak sedikit pun berasa malu jika dipimpin oleh pemimpin yang diketahui telah mencuri dan melakukan pelbagai jenayah.
8. Jauh dari menjauhkan diri dari pemimpin seperti ini, ramai juga yang sanggup berkongsi hasil pencurian ini. Ada yang menolong menutup jenayah ini dan mendakwa pemimpin tidak tahu dan telah ditipu. Apabila pengawai yang ditugas menguatkuasa undang-undang atau aturan peraturan, disoal, tanpa segan-segan tanpa malu, mereka menyalahtafsir undang-undang.
9. Masyarakat yang memiliki ramai yang tidak tahu malu tetap akan rosak dan mundur. Anggotanya dan bangsanya akan dipandang hina. Inilah yang sudah terjadi pada bangsa Melayu sekarang.