As posted by Dr. Mahathir Mohamad at Che Det on March 19, 2016
1. Diwaktu UMNO ditubuh, pemimpin dan ahli UMNO pada ketika itu pilih demokrasi sebagai sistem pentadbiran parti dan juga negara.
2. Diantara sebab demokrasi dipilih ialah kerana demokrasi mempermudahkan pemilihan pemimpin dan penukaran pemimpin dalam parti dan negara.
3. Hanya dengan undi ahli sahaja pemimpin boleh dijatuhkan atau dinaikkan.
4. Demikian apabila Dato Onn mencadang membuka parti kepada semua rakyat Malaya, UMNO tolak. Dengan itu Dato Onn letak jawatan dan Tunku dipilih untuk menggantinya. Tidak ada percubaan oleh Dato Onn sebagai Yang Dipertua UMNO memaksa UMNO mengekalkan dirinya.
5. Kemudian selepas mencapai prestasi yang kurang baik dalam PRU 1969, Tunku, apabila sedar dianya tidak popular lagi menyerah kepimpinan UMNO kepada timbalannya Tun Razak walaupun Tunku khuatir akan kesetiaan Tun. Tunku letak jawatan dan peralihan kepimpinan UMNO berlaku tanpa masalah.
6. Pada tahun 1987 Tengku Razaleigh dan Musa Hitam mencabar saya sebagai Presiden parti. Kempen bebas dilakukan oleh kedua-dua pihak. Tidak ada siapa yang dipecat. Ada menteri yang memihak kepada Team B. Mereka bebas berkempen diseluruh negara. Tidak ada arahan menyekat pemimpin Team B berjumpa dengan bahagian, cawangan atau ahli UMNO. Tidak ada apa-apa ugutan untuk dibuang dari parti. Tiada siapa yang dibuang dari parti atau disoal oleh polis.
7. Pengundian dibuat secara bebas semasa mesyuarat agung parti. Semua pemimpin dan ahli mengundi secara sulit.
8. Hasilnya saya menang hanya 43 undi dan Encik Ghaffar Baba 41 undi walaupun 80% dari bahagian-bahagian mencalonkan kami berdua.
9. Selepas itu kabinet disusun semula dan beberapa menteri dari Team B diterima masuk kabinet.
10. Tengku Razaleigh membawa kes ke mahkamah dan UMNO hilang kesahihannya dan didakwa haram.
11. Dalam menyusun semula ahli-ahli UMNO bebas untuk kembali kepada UMNO atau menyertai Parti Semangat 46.
12. Demikian juga apabila prestasi Tun Abdullah kurang baik, Najib dapat mempengaruhi Abdullah supaya bersara dan menyerah jawatan Presiden kepadanya. Peralihan berlaku tanpa sesiapa digugur daripada UMNO atau letak jawatan.
13. Semua peralihan kepimpinan UMNO berjalan dengan licin dan demokratik. Sepatutnya Najib juga harus guna cara ini dan membenar suara ahli didengari, perbahasan diadakan secara bebas berkenaan prestasinya.
14. Tetapi tidak.
15. Najib bertindak keras dan mengguna kuasa sebagai Presiden parti dan Perdana Menteri untuk menghalang sesiapa yang cuba mempengaruhi kedudukannya.
16. Sesiapa yang menegurnya disingkir dari UMNO. Ada yang disoal oleh polis, dimasuk dalam tahanan, dihadapkan ke mahkamah atas tuduhan yang tidak berasas, kononnya mereka ‘terrorist’, pengganas.
17. Dalam Mesyuarat Agung UMNO pada bulan Disember 2015 jumlah pemerhati dihadkan. Wakil tidak dibenar bercakap berkenaan 1MDB dan wang sebanyak 2.6 billion Ringgit dalam akaun peribadi Najib.
18. Sepatutnya Timbalan Presiden menyampaikan ucapan pembukaan bagi persidangan pemuda, wanita dan puteri. Tetapi Timbalan Presiden, Tan Sri Muhyiddin, tidak dibenar.
19. Hanya Najib seorang sahaja yang berucap dalam pembukaan dan penutupan.
20. Tidak ada perbahasan yang serius sepanjang persidangan.
21. Dengan tindakan-tindakan ini ahli dan pemimpin UMNO hilang suara kerana takut. Timbalan Presiden dilucutkan jawatan tanpa melalui proses pemecatan dari parti.
22. Ketua-ketua bahagian diarah oleh Najib supaya tidak bincang berkenaan 1MDB dan Ringgit 2.6 billion dalam akaun peribadinya. Hanya penjelasan Najib bahawa duit itu adalah derma dari orang Arab yang ketua bahagian mesti terima.
23. Diperingkat Kerajaan pula perpisahan kuasa antara badan perundangan, pentadbiran dan badan kehakiman sudah diketepikan oleh Najib. Semua kuasa dirampas oleh Najib. Dengan ini pentadbiran termasuk polis dan institusi kehakiman tidak lagi bebas untuk menjalankan tanggungjawab mereka. Najib mengarah semua gerak-geri mereka. Mereka terpaksa ikut arahannya supaya menolak sebarang siasatan terhadap dirinya.
24. Yang jelas ialah jentera parti dan jentera Kerajaan sudah lumpuh dan tidak berfungsi lagi. Rakyat dan ahli parti sudah hilang hak untuk mendapat perlindungan dari parti atau Kerajaan, hak untuk menaik dan menurun pemimpin. Majoriti ahli parti berada dalam ketakutan atau terlalu selesa dengan layanan yang diberi oleh Najib.
25. Sebab itulah tindakan diluar parti terpaksa diadakan.
26. Jika ramai ahli-ahli UMNO berani menolak Najib melalui suara ramai, kerjasama dengan parti lawan semata-mata untuk penyingkiran Najib dan tidak untuk lain, tidak perlu dibuat.
27. Parti lawan juga ingin menyingkir Najib bukan kerana mereka bersetuju dengan pendirian bekas-bekas pemimpin parti Kerajaan tetapi kerana mereka sedar akan kerosakan kepada negara dan jentera pentadbiran yang sedang dilakukan oleh Najib yang juga mempunyai kesan buruk kepada mereka.
28. Oleh kerana ini mereka juga berpendapat Najib perlu disingkir. Pendapat mereka adalah sama dengan pendapat bekas pemimpin UMNO dan kebanyakan rakyat.
29. Oleh kerana kongkongan UMNO dan ahli-ahlinya oleh Najib dan mereka sendiri tidak mampu membuat apa-apa, maka suara rakyat, diluar UMNO, termasuk suara parti lawan perlulah digabung untuk memberi kekuatan dan kejayaan kepada usaha menyingkir Najib.
30. Najib akan main isu Kit Siang dengan saya supaya ahli UMNO terpesong dari tujuan Deklarasi Rakyat sepertimana ia memesong demonstrasi Bersih yang bertujuan menjatuhkannya kepada kononnya demonstrasi Bersih adalah percubaan orang Cina untuk menjatuh Kerajaan Melayu dan baju merah pun berdemonstrasi melawan Cina.