Wednesday, January 29, 2014

POLIS ISLAM

7btc
As posted by Dr. Mahathir Mohamad at Che Det on January 28, 2014

1. Cadangan untuk mengadakan polis Islam untuk menguatkuasakan undang-undang Islam perlu dikaji dengan mendalam.

2. Undang-undang Islam di negeri-negeri Malaysia tidak sama. Pelaksanaannya juga tidak sama. Pelawat ke negeri-negeri yang berbeza undang-undang Islam akan terjebak dengan amalan-amalan yang berbeza dengan amalan di negerinya.

3. Persepsi berkenaan dengan amalan-amalan oleh orang Islam juga tidak sama. Penguatkuasa akan lebih terpengaruh dengan persepsi ini, bahkan oleh persepsinya sendiri. Anggota polis tidak mungkin terdiri daripada yang arif dalam agama Islam. Diantara ulama pun terdapat perbezaan pendapat.

4. Di sebuah negeri wanita dengan lelaki perlu diasingkan di pasar umpamanya. Akan ada wanita yang membeli-belah bersama suami. Apakah mereka mesti diasingkan bila membeli-belah?

5. Di negeri lain tudung mungkin diwajibkan. Seluar mungkin terlalu ketat. Soalnya setakat mana longgar yang dibenar oleh polis?

6. Kita akan dapati anggota polis Islam mempunyai pandangan yang tersendiri. Yang ortodoks mungkin lebih keras daripada yang lain. Tindakan yang diambil bergantung kepada pandangan mereka. Bagi sesetengah, pelanggaran undang-undang Islam sudah berlaku dan tangkapan perlu dibuat. Bagi yang lain, mungkin tidak. Semakin lama semakin ketat tafsiran berkenaan undang-undang Islam. Sesiapa yang tidak bersetuju dengan kerasnya sesuatu tafsiran tidak akan berani menyuarakan pendapat kerana takut dituduh tidak Islam.

7. Negara kita menerima ramai pelancong dari luar negeri. Pakaian mereka berbeza-beza. Polis akan tahan pelancong untuk bertanya mereka Islam atau tidak. Jika Islam mereka akan ditangkap atau diheret ke Jabatan Polis Islam. Pelancong bukan Islam tidak akan senang dengan disoal oleh polis.

8. Ada yang akan berkata pedulikan. Ini Negara Islam. Tetapi kekurangan pelancong akan mempunyai kesan buruk kepada ramai, termasuk yang bekerja.

9. Pelancong pula akan ke negeri-negeri Melayu yang berbeza bukan sahaja undang-undang Islam mereka, tetapi akan pandangan, amalan dan tafsiran akan undang-undang ini.

10. Kita mempunyai penduduk pelbagai agama. Pakaian dan tingkah-laku mereka tidak sama. Tentulah aneh jika mereka boleh buat apa sahaja tanpa sebarang tindakan.

11. Tentu akan ada desakan yang bukan Islam juga perlu dipengaruhi dengan piawaian Islam. Maka akan berlakulah ketegangan antara orang Islam dan bukan Islam.

12. Kita sudah lihat di sebuah negara jiran yang mempunyai polis Islam dan masalah yang dihadapi oleh mereka.

13. Yang harus diperlakukan ialah didikan tentang sifat-sifat yang perlu ada pada orang Islam di Malaysia. Kita lihat jenayah seperti rogol, buang bayi, penagihan dadah dan bermacam lagi jenayah lebih melibatkan orang Islam. Yang perlu ditangani ialah masalah-masalah ini. Kenapakah orang Islam yang terlibat dan kurang benar orang bukan Islam yang terlibat? Undang-undang sama tetapi perlakuan jenayah tidak sama. Tentu ada sebab.

14. Saya berpendapat sementara orang Islam diajar untuk mengamalkan ibadah-ibadah tertentu, mereka tidak disemai dengan nilai hidup, kewajiban dan larangan Islam seperti tidak mengambil benda yang bukan kepunyaan kita, mengawal nafsu, menghormati ibubapa dan keluarga dan bermacam lagi.

15. Ibubapa sekarang tidak berupaya mendidik anak. Sekolah yang perlu ambilalih tugas ini.

16. Mengadakan polis Islam tidak akan menyelesaikan masalah-masalah orang Islam. Secara terus-terang saya menyatakan saya tidak bersetuju dengan cadangan ini. Saya sembahyang, puasa, keluar zakat dan buat kerja haji bukan kerana polis akan tangkap saya jika saya tidak. Saya mengucap dua kalimah syahadah juga bukan kerana takut ditangkap. Saya tunaikan apa yang diwajibkan keatas saya kerana saya beragama Islam, kerana kepercayaan dan iman.

17. Tidak ada paksaan dalam Islam. Janganlah kita jadikan agama Islam agama “Police State”.