Wednesday, November 1, 2017

HADI PERLU BERTAUBAT

As posted by Dr. Mahathir Mohamad at Che Det on October 31 2017

1. Hadi suruh saya bertaubat.

2. Sebenarnya yang mesti bertaubat ialah Hadi sendiri.

3. Allah melarang dalam Al Quran umat Islam berpecah-belah dan berpuak-puak. (Ayat 159 Surah Al An’am, Ayat 103 Surah Ali Imran, Ayat 107 Surah Al Anfal, Ayat 32 Surah Ar Rum, Ayat 94 Surah An Nisaa)

4. Hadi mengkafirkan orang Islam di Malaysia. Allah SWT melarang perbuatan mengkafir dan berjanji sesiapa yang mengkafirkan orang Islam, kafir itu akan kembali kepada mereka. Inilah yang terjadi kepada Hadi dan PAS apabila bekerjasama dengan DAP.

5. Kerana Hadi kafirkan pemerintahan Malaysia dalam Amanatnya, maka empat orang anggota polis dibunuh oleh pengikut Ibrahim Libya kerana percaya mereka sedang berjihad dan mati mereka apabila diserang balas oleh polis adalah mati syahid.

6. Apa hak Hadi dan apa hak PAS mengkafirkan orang yang tidak menyertai parti mereka. Di mana dalam Quran atau hadith yang berkata hanya dengan menjadi ahli PAS sahaja barulah seseorang itu beragama Islam. Apakah 1.7 billion orang Islam diseluruh dunia bukan Islam kerana mereka tidak masuk parti PAS.

7. Perpecahan yang berlaku dikalangan orang Melayu Islam di Malaysia amat mendalam. Ada yang menafi keIslaman ibubapa mereka. Ada di antara orang PAS yang menidakkan keIslaman isteri, yang berkahwin sekali lagi.

8. Ada yang sembahyang berasingan, dengan imam lain; yang tidak sanggup dikebumi di kubur biasa kerana kononnya kubur itu kubur orang kafir.

9. Ada yang bangun masjid berasingan sehingga sekarang ini pun.

10. Inilah hasil Amanat Hadi. Ia adalah satu dosa besar. Kerana ini sahaja pun ia perlu bertaubat.

11. Allah tegah perbuatan kerosakkan.

12. (Surah Al Baqarah Ayat 11, Ayat 60, Ayat 205, Surah Al A’raaf Ayat 59, 85, 86)

13. Sesunguhnya Hadi melakukan banyak kerosakan terhadap agama Islam dan orang Islam di Malaysia. Perpecahan yang disebabkan Hadi telah melemahkan orang Islam.

14. Saya sedar ramai pengikut Hadi telah bai’ah kepadanya. Mereka taksub kepadanya sehingga ajaran Al Quran dan hadith yang sahih pun diketepikan. Mereka sudah jadi puak assabiah yang terima sahaja apa yang didakwa oleh Hadi tanpa soal.

15. Sekarang Hadi sedang mempertahankan rasuah dan seleweng wang oleh Najib. Sekaligus Hadi berusaha untuk memberi kemenangan kepada Najib dan UMNO walaupun dimasa yang sama PAS akan kalah.

16. PAS bersendirian tidak pernah menang selain dari peringkat negeri. Diperingkat pusat PAS hanya mampu jadi rakan kecil di antara pembangkang.

17. Tetapi PAS akan terus peralatkan Islam. Tuntutan terhadap hudud PAS sudah digugur. Sekarang kononnya PAS akan bawa usul RUU 355. Berkali-kali usul ini ditangguh. Tetapi PAS masih mengguna usul ini untuk menarik sokongan politik bagi dirinya.

18. Inilah PAS. Sebelum adanya PAS orang Melayu bersatu dan bersaudara sebagai dituntut oleh agama mereka – agama Islam.

19. Perpecahan dan permusuhan sesama orang Islam di Malaysia bermula dengan penubuhan parti PAS. Dianya tidaklah begitu buruk sehingga Hadi keluar Amanatnya.

20. Sesungguhnya Hadi berdosa besar dan Hadi perlu bertaubat dan batalkan Amanatnya.

PAHLAWAN BUGIS

As posted by Dr. Mahathir Mohamad at Che Det on October 26 2017

1. Saya tidak pernah kata orang Bugis semuanya lanun. Yang saya kata ialah Najib mungkin berasal dari lanun Bugis.

2. Sedutan dari ucapan itu berbunyi, “Ya lah, mungkin kerana dia yang berasal dari lanun Bugis.” (lihat di sini)

3. Ucapan saya dituju kepada Najib yang sering mendakwa ia adalah pahlawan Bugis. Pahlawan Bugis tidak mencuri. Najib pencuri besar dan dikenali sebagai penyamun oleh seluruh dunia.

4. Apakah orang Bugis dapat menyambut baik bahawa penyamun ini seorang pahlawan berketurunan Bugis.

5. Di Malaysia ada raja yang berketurunan Bugis. Ada Melayu yang berketurunan lanun. Tetapi tidak ada Melayu yang merompak duit berbillion yang dakwa mereka adalah pahlawan Melayu.

6. Yang kita lihat sekarang ialah seorang perompak Melayu yang mendakwa dirinya pahlawan Bugis.

7. Saya tidak fikir orang Bugis boleh berbangga dengan seorang penyangak mendakwa ia adalah pahlawan Bugis.

DARUL PENYANGAK

As posted by Dr. Mahathir Mohamad at Che Det on October 24 2017

1. Kita sekarang berada dalam negara penyangak atau kleptokrasi. Dalam Darul Penyangak pemerintah mencuri. Cara mencuri ini berbeza tetapi matlamatnya sama. Matlamatnya ialah mencuri duit rakyat dengan cara halal dan lebih kerap dengan cara haram.

2. Demikian 1MDB. Syarikat ini ditubuh khusus untuk mengadakan wang untuk dicuri. Prosesnya mudah. Syarikat pinjam berbillion Ringgit dengan jaminan Kerajaan. Duit itu dilabur dalam syarikat yang tidak wujud yang memiliki telaga minyak hanya dalam kertas. Sebenarnya duit itu dimasuk ke dalam akaun orang tertentu, dipindah dari sebuah bank ke sebuah bank, di negara-negara yang berlainan. Akhirnya duit itu terdapat dalam akaun MO1.

3. Apabila MO1 ditanya dari mana datangnya duit berbillion itu, jawapannya mudah sahaja. Arab derma.

4. Dan AG pun mengesahkan. Tidak ada apa-apa salahlaku. Dan ini disahkan pula oleh MO1 iaitu oleh pencuri sendiri. Kes tutup.

5. Dalam cara yang halal, cukai GST diadakan, subsidi dihapus dan lain-lain. Halal dari segi undang-undang. Tetapi bagi rakyat, kesan tidak berbeza dari curi.

6. Dalam negara Darul Penyangak pula, jabatan-jabatan sibuk mencari duit. Jabatan Cukai menyerang syarikat kerana kononnya tidak bayar cukai. Syarikat jelas bahawa semua cukai sudah dibayar. Resit dan buku akaun ditunjuk.

7. Tetapi jabatan cukai dakwa ada cukai yang belum dibayar selama 10 tahun ke belakang. Jumlahnya ialah 50 million Ringgit. Bayar 50 million atau tindakan akan diambil.

8. Jika bantah, atau dakwa di mahkamah, sementara itu semua duit dalam bank dibekukan. Syarikat tidak dapat berniaga. Nak bayar gaji pun tak boleh. Sudah tentu tak dapat bantu parti lawan. Yang akhir ini ialah tujuan utama.

9. Jabatan pencegah rasuah pula menuduh seteru pemerintah terlibat dengan rasuah. Sementara bukti dicari tertuduh ditangkap dan dihadiah baju oren bertulis “lokap”. Pemberita dijemput untuk ambil gambar. Masyarakat dapat lihat penjenayah yang belum terbukti salah.

10. Sekali lagi beku akaun bank. Duit beku tidak boleh diguna untuk politik. Terselamatlah penyangak Darul Penyangak.

11. Banyak lagi cara yang diguna untuk samun duit rakyat sama ada dalam syarikat, peribadi atau dengan cukai atau bayaran ciptaan. Bekalan elektrik boleh dipotong kerana kononnya pengguna merosakkan meter. Bekalan boleh disambung jika ratusan ribu dibayar kerana kononnya mencuri tenaga elektrik.

12. Sementara itu jika penyangak yang menguasai Darul Penyangak diketahui jelas melesapkan berbillion wang pemerintah, badan-badan tertentu tidak berbuat apa-apa. Walaupun dunia tahu penyangak yang memimpin mencuri, walaupun laporan dibuat oleh Bank Negara, BPR dan PAC yang jelas membukti siapa yang mencuri tidak ada apa tindakan diambil.

13. Maka hidup mewahlah kepala penyangak dan anak penyangak dan konco-konco.

14. Malangnya duit yang disauk adalah duit yang dipinjam. Dan pinjaman mesti dibayar. Tak mengapa. Jual bond. Cukup laku kerana banyak dana simpanan rakyat dikuasai oleh penyangak. Maka dana seperti KWSP, Tabung Haji dan lain-lain pun beli dan pemerintah Darul Penyangak pun dapat bayar hutang lama dengan hutang baru. Dengan itu Darul Penyangak masih menanggung hutang.

15. Jika duit yang dari hutang baru tidak mencukupi, tak mengapa. Negara boleh dijual. Sekeping demi sekeping boleh dijual. Hasil jualan diguna untuk bayar hutang dan sebahagian lagi disapu oleh penyangak.

16. Dengan itu selesailah hutang. Tetapi Darul Penyangak sudah dimiliki orang. Dan rakyat pun jadi hamba kepada pemilik negara yang baru.