Wednesday, November 1, 2017

HADI PERLU BERTAUBAT

7btc
As posted by Dr. Mahathir Mohamad at Che Det on October 31 2017

1. Hadi suruh saya bertaubat.

2. Sebenarnya yang mesti bertaubat ialah Hadi sendiri.

3. Allah melarang dalam Al Quran umat Islam berpecah-belah dan berpuak-puak. (Ayat 159 Surah Al An’am, Ayat 103 Surah Ali Imran, Ayat 107 Surah Al Anfal, Ayat 32 Surah Ar Rum, Ayat 94 Surah An Nisaa)

4. Hadi mengkafirkan orang Islam di Malaysia. Allah SWT melarang perbuatan mengkafir dan berjanji sesiapa yang mengkafirkan orang Islam, kafir itu akan kembali kepada mereka. Inilah yang terjadi kepada Hadi dan PAS apabila bekerjasama dengan DAP.

5. Kerana Hadi kafirkan pemerintahan Malaysia dalam Amanatnya, maka empat orang anggota polis dibunuh oleh pengikut Ibrahim Libya kerana percaya mereka sedang berjihad dan mati mereka apabila diserang balas oleh polis adalah mati syahid.

6. Apa hak Hadi dan apa hak PAS mengkafirkan orang yang tidak menyertai parti mereka. Di mana dalam Quran atau hadith yang berkata hanya dengan menjadi ahli PAS sahaja barulah seseorang itu beragama Islam. Apakah 1.7 billion orang Islam diseluruh dunia bukan Islam kerana mereka tidak masuk parti PAS.

7. Perpecahan yang berlaku dikalangan orang Melayu Islam di Malaysia amat mendalam. Ada yang menafi keIslaman ibubapa mereka. Ada di antara orang PAS yang menidakkan keIslaman isteri, yang berkahwin sekali lagi.

8. Ada yang sembahyang berasingan, dengan imam lain; yang tidak sanggup dikebumi di kubur biasa kerana kononnya kubur itu kubur orang kafir.

9. Ada yang bangun masjid berasingan sehingga sekarang ini pun.

10. Inilah hasil Amanat Hadi. Ia adalah satu dosa besar. Kerana ini sahaja pun ia perlu bertaubat.

11. Allah tegah perbuatan kerosakkan.

12. (Surah Al Baqarah Ayat 11, Ayat 60, Ayat 205, Surah Al A’raaf Ayat 59, 85, 86)

13. Sesunguhnya Hadi melakukan banyak kerosakan terhadap agama Islam dan orang Islam di Malaysia. Perpecahan yang disebabkan Hadi telah melemahkan orang Islam.

14. Saya sedar ramai pengikut Hadi telah bai’ah kepadanya. Mereka taksub kepadanya sehingga ajaran Al Quran dan hadith yang sahih pun diketepikan. Mereka sudah jadi puak assabiah yang terima sahaja apa yang didakwa oleh Hadi tanpa soal.

15. Sekarang Hadi sedang mempertahankan rasuah dan seleweng wang oleh Najib. Sekaligus Hadi berusaha untuk memberi kemenangan kepada Najib dan UMNO walaupun dimasa yang sama PAS akan kalah.

16. PAS bersendirian tidak pernah menang selain dari peringkat negeri. Diperingkat pusat PAS hanya mampu jadi rakan kecil di antara pembangkang.

17. Tetapi PAS akan terus peralatkan Islam. Tuntutan terhadap hudud PAS sudah digugur. Sekarang kononnya PAS akan bawa usul RUU 355. Berkali-kali usul ini ditangguh. Tetapi PAS masih mengguna usul ini untuk menarik sokongan politik bagi dirinya.

18. Inilah PAS. Sebelum adanya PAS orang Melayu bersatu dan bersaudara sebagai dituntut oleh agama mereka – agama Islam.

19. Perpecahan dan permusuhan sesama orang Islam di Malaysia bermula dengan penubuhan parti PAS. Dianya tidaklah begitu buruk sehingga Hadi keluar Amanatnya.

20. Sesungguhnya Hadi berdosa besar dan Hadi perlu bertaubat dan batalkan Amanatnya.