As posted by Dr. Mahathir Mohamad at Che Det on August 01, 2017
1. Kita boleh tahu kaum seseorang di Malaysia dengan nama mereka.
2. Bagi orang keturunan India yang beragama Hindu, masalah yang timbul ialah ramai mereka mempunyai nama yang sama. Di zaman British pekerja keturunan India dengan nama yang sama diberi nombor. Demikian “Maniam 1”, “Maniam 2” dan seterusnya.
3. Apabila Malaysia merdeka cara nombor ini dianggap menghina. Dengan itu nama bapa ditambah dan perkataan anak lelaki (a/l) atau anak perempuan (a/p) mengganti perkataan “bin” dan “binti” yang diguna dalam nama Melayu.
4. Orang India Muslim tidak perlu guna “a/l” atau “a/p” kerana nama mereka biasanya mempunyai dua perkataan dan jarang sama antara mereka.
5. Tidak ada orang keturunan India Muslim yang bernama “Sipolan a/l Sipolan”.
6. Nama seperti yang disebut oleh Zahid Hamidi tidak ada. Jika kad pengenalan lama itu menyebut nama yang dikatakan ialah nama saya dahulu, sila tunjuk kad itu untuk diperiksa oleh pakar akan kesahihan dakwaan Zahid.
7. Sebenarnya kad lama tidak pernah saya serah balik kepada pendaftar apabila kad baru dikeluar.
8. Berkenaan dengan Melayu mudah lupa, walaupun Zahid bukan keturunan Melayu, sudahkah Zahid lupa deklarasi harta yang dibuat olehnya kepada saya sebagai Perdana Menteri apabila ia dilantik Ketua Pemuda UMNO.
9. Apabila saya tanya dari mana ia perolehi 230 juta Ringgit yang ada dalam akaunnya, jawapannya kurang jelas.
10. Jikalau ia boleh ingat, jelaslah dari mana ia perolehi wang yang begitu banyak.