Tuesday, August 8, 2017

TAK MALU

7btc
As posted by Dr. Mahathir Mohamad at Che Det on August 08, 2017

1. Perasaan malu sudah tidak ada lagi di kalangan ramai anggota Kerajaan hari ini. Mereka tak tahu malu walau apa pun kesalahan yang dilakukan oleh mereka, walau apa pun kebiadaban mereka.

2. Mereka didapati mencuri tetapi mereka tidak sedikit pun berasa malu. Didakwa mencuri, dibukti mencuri – tak mengapa.

3. Dunia panggil mereka pencuri, perasuah, penyangak – tak apa. Senyum sahaja.

4. Kerana perbuatan mereka, negara dihina, dinyatakan sebagai antara sepuluh buah negara yang tertinggi tahap rasuahnya – pun tak mengapa.

5. Negara dipanggil kleptokrasi, negara yang dipimpin oleh pencuri yang mencuri duit Kerajaan – negara yang tidak lagi demokratik – tak mengapa.

6. Perdana Menteri, isteri, anak, kawan, didakwa selewengkan duit negara – okay.


7. Menteri, pegawai tinggi dituduh mencuri duit – tak apa. Tak ada sedikit pun malu walaupun tak dapat bertindak dengan saman malu ke atas yang menuduh. Ugut untuk ambil tindakan undang-undang tetapi tidak buat apa-apa, tak malu.

8. Ada pegawai yang naik pangkat atau dapat jawatan walaupun tidak layak, tidak mengikut aturan peraturan, bercanggah dengan undang-undang – tak malu.

9. Menerima duit yang dicuri, apa salahnya? Terima kasih. Cium tangan pemberi durian runtuh.

10. Diketahui mendapat pangkat atau jawatan kerana cekap membodek, sanggup melaksanakan arahan yang salah oleh boss, pun tak malu.

11. Maruah sudah tidak dijunjung lagi. Biarlah dihina, biarlah dipandang rendah, asalkan dapat duit, dapat tempat, dapat pangkat. Pedulikan maruah.

12. Masyarakat pandang jijik, menyampah – pedulikan. Sesungguhnya kerana mereka ini, bangsa menjadi bangsat di negara sendiri. Tak lama lagi bangsa bangsat ini kehilangan negara, menjadi penumpang di negara sendiri, anak cucu jadi kuli.

13. Ini pun tak mengapa kerana yang tak tahu malu tidak akan berasa malu menjadi pengemis, kuli di negara sendiri.