As posted by Dr. Mahathir Mohamad at Che Det on September 22, 2016
1. Saya percaya semua rakyat Malaysia tahu dan sedar bahawa keadaan dalam Negara amat tidak baik.
2. Khususnya mereka tentu tahu bahawa Perdana Menteri telah dituduh melesapkan beribu juta Ringgit duit Kerajaan (rakyat). Berita ini tidak boleh dilapor dalam media Malaysia tetapi melalui media sosial hampir semua rakyat dapat ikuti perkembangan.
3. Sekarang bukan sahaja media asing melapor berkenaan lebih 3.5 bilion Dolar Amerika sudah dilesapkan oleh Najib, Jabatan Keadilan Amerika Syarikat juga mengeluarkan laporan rasmi bahawa “Malaysian Official 1” (yang diakui oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Abdul Rahman Dahlan ialah Dato Sri Najib) terlibat dalam melesapkan wang 1MDB sebanyak lebih dari 3.5 bilion Dolar Amerika.
4. Jika semua laporan media dan Jabatan Keadilan Amerika Syarikat tidak benar, kenapakah tidak ada sama sekali sebarang usaha oleh Najib membuat saman malu terhadap mereka.
5. Rakyat Malaysia tahu. Sudah tentu para intelek Malaysia tahu. Sudah tentu wakil rakyat dan pemimpin-pemimpin bahagian parti Kerajaan tahu akan kebenaran tuduhan terhadap Najib.
6. Tetapi apabila diadakan kritik atau tindakan untuk memulih Negara bertuah ini kebanyakan dari mereka yang tahu kerosakan yang dilakukan oleh Dato Sri Najib, membisu, tidak sanggup membuat apa-apa, tidak sanggup pun untuk menyokong usaha yang sedang dibuat bagi memulih keadaan.
7. Sebaliknya ada yang cuba mempertahankan Najib kerana kononnya semasa saya jadi Perdana Menteri, saya juga buat perkara yang sama. Oleh itu saya tidak berhak mengkritik, jauh sekali dari menjatuhkan Najib.
8. Saya ingin tanya bilakah semasa saya jadi Perdana Menteri saya dituduh di dalam dan di luar negeri yang saya curi duit Kerajaan (duit rakyat) berbilion Ringgit.
9. Saya biasa dituduh juga sebagai perasuah, korup, mempunyai kroni dan lain-lain. Semasa saya Perdana Menteri saya anggap sebagai orang politik tuduhan ini adalah perkara biasa.
10. Tetapi hakikatnya tuduhan seperti yang dilempar kepada Najib tidak pernah dilempar kepada saya semasa saya jadi Perdana Menteri. Bahkan selepas saya letak jawatan usaha selidik terhadap salahlaku oleh saya yang dibuat oleh kepimpinan yang menyusuli tidak berjaya mengenal pasti salahlaku saya berkenaan pengurusan kewangan Negara. Jika ada saya yakin sudah lama saya diheret ke mahkamah.
11. Sebenarnya saya menolak hadiah tanah di Putrajaya di waktu saya letak jawatan. Hadiah-hadiah lain juga saya serah kepada Kerajaan termasuk 24 biji kereta. Saya tidak perlu kekayaan kewangan.
12. Saya berpendapat gaji saya sebagai Menteri, Timbalan Perdana Menteri dan Perdana Menteri lebih dari mencukupi. Saya tidak perlu belanja gaji saya untuk sara hidup kerana segala-galanya, rumah, api dan air, kenderaan, pesawat terbang, perjalanan ke merata dunia dibiayai oleh Kerajaan. Gaji saya selama 29 tahun dalam Kerajaan saya simpan. Itulah wang yang saya guna untuk modal kedai roti, ternakan kuda, lembu dan kerbau. Saya tidak pinjam barang satu sen pun dari bank. Saya tidak membeli saham dalam pasaran saham. Tetapi satu rumah saya dibangun dengan pinjaman duit Kerajaan. Saya sudah lama bayar hutang ini.
13. Saya akui ada kala Kerajaan mengalami kerugian kerana tindakan yang diambil oleh saya.
14. Untuk pertahan harga bijih timah, saya arah supaya membeli bijih timah yang dijual oleh pedagang. Saya tahu mereka tidak ada stok bijih yang mereka jual. Mereka berharap apabila harga jatuh, mereka akan beli dengan harga murah untuk dibekalkan kepada pembeli yang telah membeli diwaktu harga tinggi.
15. Apabila sampai masa untuk mereka bekal kepada pembeli mereka akan terpaksa membeli dari kita. Kita akan kena harga yang tinggi supaya mereka akan rugi.
16. Tetapi London Metal Exchange mendakwa kononnya kerana kita membeli berturut-turut di waktu harga rendah, kita telah cuba “corner the market”. Oleh itu penjual tidak perlu bekal bijih timah yang mereka telah jual. Kita rugi.
17. Kilang besi juga rugi kerana kurang pengetahuan berkenaan pengurusan kilang oleh pengurus kita.
18. Kerajaan rugi kerana arahan yang dibuat oleh saya. Tetapi kerugian itu bukan disebabkan saya lesapkan duit Kerajaan. Kerugian itu adalah kerugian perniagaan.
19. Apakah kerugian ini sama seperti wang yang dihilangkan oleh 1MDB? Apakah ada bukti yang kerugian Kerajaan disebabkan saya masukkan duit Kerajaan dalam akaun peribadi saya?
20. Najib nafi melesap wang 1MDB. Kononnya raja Arab bagi 2.6 bilion Ringgit untuk dimasukkan dalam akaun peribadinya untuk dibelanja sesuka hatinya. Dalam sejarah dunia ini tidak pernah berlaku.
21. Oleh kerana dakwaan bahawa saya lakukan apa yang dilakukan oleh Najib tidak berasas sama sekali, maka saya berhak bukan sahaja mengkritik Najib tetapi mengecam salahlakunya dengan berusaha untuk menyingkirnya.
22. Jika Najib benar tidak bersalah, apa sebabnya yang dia merahsiakan laporan Bank Negara, laporan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia dan laporan Ketua Audit Negara.
23. Apakah sebabnya yang laporan polis terhadapnya tidak disiasat oleh polis, tetapi pembuat laporan dan peguamnya disoal, ditahan dan dihadapkan ke mahkamah dengan tuduhan yang tidak masuk akal.
24. Apakah sebabnya yang Gani Patail, Peguam Negara, diberhentikan dan diganti dengan pelawak Apandi.
25. Kenapakah undang-undang Negara tidak dipatuhi? Sekarang tidak ada Rule of Law. Kenapakah rakyat diugut dengan Akta Keselamatan baru yang memberi kuasa untuk tangkapan tanpa dibicara.
26. Jika Najib benar tidak bersalah, jangan tukar sempadan pilihanraya, jangan halang pendaftaran pengundi, jangan sogok wang kepada penyokong dan pegawai. Jangan guna Jabatan Kerajaan untuk ugut, untuk mencipta kesalahan cukai, untuk mendera sesiapa yang menyoal salahlaku Najib seperti dilapor oleh akhbar asing dan Jabatan Keadilan Amerika Syarikat. Kenapa halang laporan berkenaan 1MDB dan wang dalam akaun Najib dari dilapor, dibincang, dipertikai atau diakui dalam media tempatan.
27. Jika ingin pertahan Najib, adakan saman malu terhadap semua mereka termasuk saya yang menuduh Najib lesapkan wang rakyat.
28. Jangan beri alasan kononnya saya pun buat apa yang Najib buat. Sebaliknya benarkanlah proses perundangan dilaksana dan Najib dihadap perbicaraan mahkamah keadilan.