Sunday, August 14, 2016

CAMPUR TANGAN ASING

7btc
As posted by Dr. Mahathir Mohamad at Che Det on August 14, 2016

1. Seperti biasa Najib gelabah apabila kenyataan benar berkenaan salahlaku olehnya didedah.

2. Demikian pendedahan yang dibuat oleh Department of Justice (DOJ) Amerika Syarikat berkenaan salahguna wang oleh keluarga dan kawannya dan oleh “Malaysian Official 1” yang semua tahu ialah Perdana Menteri Najib sendiri.

3. Najib dan konco-konconya memikir akan cara memutarbelit fakta yang didedah supaya rakyat Malaysia tertipu.

4. Kali ini kenyataan oleh DOJ dituduh sebagai usaha campur tangan dalam urusan negara Malaysia.

5. Apakah Amerika Syarikat yang begitu menghargai dasar Najib terhadapnya dan persahabatan Najib dengan Presiden Obama, berhasrat untuk menjatuhkan Najib. Mereka perlukan Najib menandatangani TPPA (Perjanjian Perkongsian Trans Pasifik). Untuk menjatuh banyak cara yang boleh diguna seperti yang kita lihat di Timur Tengah.

6. Yang sebenar berlaku ialah pencabulan undang-undang Negara Amerika oleh keluarga Najib, kawannya dan Malaysian Official 1.

7. Money laundering (pembersihan wang haram) sudah ditakrif sebagi jenayah dikebanyakan negara. Ini disebabkan pendapatan daripada mencuri dan dagangan dadah sering dibawa ke negara lain untuk dibelanja.

8. Kemasukan wang kemana-mana negara (termasuk Malaysia) akan diperiksa untuk menentukan punca wang itu. Jika wang itu halal sekalipun cukai pendapatan perlu dibayar.

9. Jika punca wang berkenaan tidak dapat disahkan halal, iaitu ia mungkin dicuri atau berpunca daripada dagangan haram ia akan dirampas oleh pegawai negara berkenaan.

10. Duit berbilion dolar yang dibelanja oleh Riza Aziz, Jho Low mengguna wang dari bank Amerika, membiaya pembelian hartanah dan lukisan di Amerika, membayar hutang judi dan pengeluaran filem lucah Wolf of Wall Street. Oleh kerana wang haram dibawa masuk ke Amerika mengguna bank Amerika dan dibelanja di sana maka ia melanggar undang-undang Amerika.

11. Negara itu berhak mengambil tindakan undang-undang negaranya seperti Malaysia juga berhak mengambil tindakan undang-undang terhadap orang asing yang melakukan jenayah di Malaysia. Jenayah oleh orang asing tidak dikecualikan dari undang-undang mana-mana negara.

12. Untuk elak dari barangan yang dibeli dengan duit haram dihilangkan, DOJ mengambil tindakan sivil bagi merampas barangan yang dibeli oleh Riza dan Jho Low. Kemudian baru mereka akan dituduh bawah undang-undang jenayah.

13. Di Amerika kebebasan media tidak boleh disekat seperti di Malaysia. Tuntutan media supaya didedah segala urusan pemerintah tidak boleh diketepikan. Dalam kes yang diketahui seluruh dunia seperti penyelewengan 1MDB oleh Najib, tidak ada kemungkinan DOJ rahsiakan maklumat yang ada padanya. Namun nama Najib tidak disebut.

14. Jenayah Najib di Malaysia boleh dirahsiakan secara haram. Tetapi janganlah harap negara asing akan rahsiakan jenayah yang dilakukan di negara mereka oleh kita.

15. Jika pendedahan ini boleh mempengaruhi sikap rakyat terhadap Kerajaan Najib, yang salah ialah Najib. Kenapa cuba guna duit haram di Amerika.

16. Duit haram yang banyak tidak boleh disembunyi. Duit sebegitu banyak tidak boleh diurus tanpa diketahui oleh orang, tanpa catitan dalam buku dan dokumen. Jika disimpan di Malaysia pun, akhirnya akan diketahui orang juga. Yang haram tetap haram.

17. Wang tunai (cash) mungkin Raja. Tetapi ia juga satu belenggu yang boleh meruntun turun pemiliknya sehingga jatuh tersungkur.