As posted by Dr. Mahathir Mohamad at Che Det on June 24, 2016
1. Saya ucap terima kasih kepada Khairul Azwan Harun, Naib Ketua Pemuda, yang mengsyor supaya Kerajaan menghentikan segala bantuan kewangan dan harta kepada Yayasan Kepimpinan Perdana, termasuk penggajian kakitangan.
2. Memanglah menjadi hak Kerajaan mengguna kuasa yang diberi oleh rakyat dengan apa cara sekalipun. Ini saya terima. Rampaslah.
3. Yang saya sedih ialah cadangan ini datang dari pemuda yang akan mewarisi negara dan kepimpinannya di masa hadapan. Sebelum pun mendapat kuasa, kebengisan dan corruption of power sudah ditunjuk.
4. Tujuannya sama dengan rasuah. Pemberian (suapan) rasuah bertujuan mendapat sokongan, atau mengurang kritikan terhadap pemberi. Perampasan hak mempunyai tujuan yang sama. Tidak ada perbezaan antara pemberian dan perampasan – kedua-duanya adalah rasuah.
5. Negara sekarang tahu apabila Khairul Azwan dengan konco-konconya mendapat kuasa (melalui rasuah) negara akan melihat suapan dan rampasan oleh Kerajaan sebagai cara mengekalkan kuasa.
6. Ini jelas kerana hari ini pemuda dan pewaris menyokong segala perbuatan Najib yang dunia pandang jijik, yang menjatuhkan maruah negara bangsa.
7. Tidaklah salah jika diramal bahawa ini juga akan dilakukan oleh mereka yang menyusul.
8. Saya tidak akan merasa kehilangan apabila rampasan dibuat.
9. Saya biasa dan faham dengan kehidupan tanpa keistimewaan . Hanya saya sedih memikir masa depan negara tercinta ini.
10. Apakah akan jadi kepadanya setelah budaya rasuah dipandang tinggi dan dipertahan oleh yang akan berkuasa dan memerintah.