Tuesday, June 29, 2010

MELAYU KEMANA


As posted by Dr. Mahathir Mohamad at Che Det on June 17, 2010 8:08 AM

1. Melayu menentang Malayan Union kerana rancangan British ini akan memberi hak kepada sesiapa sahaja menjadi rakyatnya.

2. Melayu pada masa itu takut jumlah rakyat bukan Melayu yang rata-rata lebih kaya dan lebih terpelajar akan menguasai bukan sahaja ekonomi tetapi juga politik Malayan Union. Dengan ini akan terlucutlah kuasa Melayu ke atas negeri-negeri Melayu.

3. Sebab itu apabila mereka tewaskan Malayan Union, persekutuan yang menggantinya secara rasmi dinamakan Pesekutuan Tanah Melayu. Dalam Persekutuan ini 80 peratus lebih rakyatnya terdiri daripada orang Melayu. Kelebihan yang tinggi ini meyakinkan mereka yang nasib mereka akan ditentukan oleh mereka.

4. Dalam Pilihanraya 1955 mereka bersedia untuk memberi kawasan-kawasan yang majoriti pengundinya Melayu kepada calon kaum-kaum lain daripada parti-parti rakan dalam Perikatan. Dengan undi yang ada pada mereka, mereka tentukan calon-calon bukan Melayu ini mendapat kemenangan. Tujuan korban ini ialah untuk meyakinkan penjajah British yang orang Melayu tidak akan menindas kaum lain apabila berkuasa.

5. Dengan ini British pun memberi kemerdekaan pada tahun 1957, iaitu hanya dua tahun selepas korban yang dibuat oleh orang Melayu.

6. Atas tuntutan Sir Tan Cheng Lok supaya ditambah rakyat bukan Melayu, Kerajaan pimpinan Tunku Abdul Rahman bersetuju untuk mengurangkan peratusan rakyat Melayu daripada 80 peratus kepada 60 peratus dengan memberi kerakyatan tanpa syarat kepada penduduk bukan Melayu. Satu kontrak sosial dibuat supaya pengurangan ini diimbangkan dengan agihan kekayaan yang lebih saksama kepada orang Melayu. Bagaimana ini hendak dicapai tidak pula dijelaskan.

7. Pemimpin Melayu berpendapat dengan 60 peratus daripada warga negara terdiri daripada Melayu, mereka masih menjadi majoriti dan masa depan mereka terjamin. Angka ini tidak banyak berubah apabila terbentuknya Malaysia.

8. Dalam sistem demokrasi memanglah majoriti akan berkuasa. Tetapi yang tidak diambilkira oleh kepimpinan Melayu ialah Melayu akan berpecah dan bermusuh sesama sendiri. Apabila ini berlaku kelebihan jumlah mereka tidak lagi akan menjadi mereka kaum majoriti dalam negara.

9. Perpecahan bermula apabila ulama-ulama UMNO memisahkan diri mereka untuk menubuh Parti PMIP (Pan-Malayan Islamic Party). Pada mulanya PMIP tidak berjaya menghakiskan sokongan kepada pertubuhan utama orang melayu iaitu UMNO.

10. Kemudian kerana rebutan kepimpinan dalam UMNO, parti serpihan Semangat 46 ditubuh.

11. Walaupun Semangat 46 dibubar dan diserap semula kedalam UMNO tetapi ramai yang tidak dapat terima percantuman semula ini. Dengan itu sedikit sebanyak UMNO Kehilangan penyokong.

12. Kemudian Timbalan Presiden UMNO terpaksa disingkir daripada UMNO dan ianya berjaya dengan cara-cara tertentu mengheret keluar ahli UMNO untuk menyertai satu lagi parti Melayu. Perbuatan ini berjaya membahagikan orang Melayu kepada tiga buah parti, iaitu UMNO, PAS dan PKR.

13. Dengan adanya tiga buah parti, orang Melayu yang dahulu menjadi majoriti warga negara dengan jumlah 60 peratus daripada seluruh rakyat Malaysia sudah berpecah dan terbahagi kepada tiga kumpulan. Tidak ada satu pun daripada kumpulan ini yang disokong oleh majoriti rakyat. Ketiga-tiga mendapat sokongan tidak lebih daripada 30 peratus rakyat negara. Dengan perkataan lain orang Melayu sudah jadi puak minoriti dalam negara.

14. Sebagai puak minoriti mereka tidak mungkin lagi menjadi kuasa utama dalam parti-parti campuran yang disertai oleh mereka.

15. Mungkin mereka diletak sebagai pemimpin tertinggi dalam Kerajaan-Kerajaan Pusat dan Negeri. Tetapi mereka terpaksa mengikut telunjuk rakan-rakan mereka.

16. Kita lihat di Perak umpamanya apabila Kerajaan yang diketuai oleh Melayu dijatuhkan, kaum tertentu menganggap bahawa sebuah Kerajaan milik kaum itu yang dijatuhkan.

17. Mungkin di peringkat pusat juga akan ada ketua kepimpinan yang terdiri daripada Melayu tetapi duduk dibawah telunjuk orang lain.

18. Dengan ini besar kemungkinan Melayu secara sebenar sudah menjadi puak minoriti yang tidak berkuasa di negara sendiri. Kalau mereka berpendapat mereka akan diberi layanan yang baik apabila sudah tidak sebenar berkuasa, lihatlah sahaja nasib kaum mereka yang sudah menjadi kaum minoriti di negara jiran.

19. Masa sudah tiba untuk orang Melayu memikir dengan mendalam akan nasib masa depan mereka. Bersatu teguh, bercerai roboh. Pilihlah yang mana satu.

20. Saya akan dituduh "chanuvinist" dan "racist" kerana menyuarakan pendapat saya ini. Saya sanggup dilabel dengan apa sahaja label. Niat saya ialah untuk memperingati kita semua sebelum nasi jadi bubur. Berpecah dan berebutlah. Akhirnya yang dikendong akan berciciran dan yang dikejar tidak tercapai.

Wahai Melayu,

Kemana kamu?