Tuesday, March 10, 2009

SOUND BITES (SNIPPETS)


As posted by Dr. Mahathir Mohamad at Che Det on March 9, 2009 2:25 PM

1. Saya berada di Argentina baru-baru ini. Negara ini mendapat namanya daripada "argent" atau perak. Jika pengembara Melayu yang sampai ke wilayah ini sebelum orang Sepanyol, mungkin Argentina mendapat nama "Perak" kerana negara ini benar-benar mempunyai banyak logam perak. Terdapat banyak barang kraf mereka yang diperbuat daripada perak.

2. Argentina sembilan kali lebih besar daripada Malaysia. Pada satu masa dahulu Argentina menjadi Negara yang ke-enam terkaya di dunia. Kawasan tanah rata "pampas" beratus ribu kilometer persegi. Rumput tumbuh dengan sendirinya di kawasan ini.

3. Orang Argentina hanya perlu lepas lembu di kawasan ini dan lembu akan membiak dan membesar tanpa perlu diberi makanan selain daripada rumput yang sedia ada. Apabila tiba masanya penternak hanya dikehendaki tangkap lembu dan jual. Inilah punca kekayaan orang Argentina dahulu.

4. Tetapi sekarang Eropah dan Amerika Syarikat yang menjadi pasar lembu Argentina, sudah ternak lembu sendiri. Pasar sudah hilang dan Argentina tidak kaya lagi.

5. Saya difahamkan bahawa petani Argentina dikenakan cukai yang amat tinggi, 35 peratus daripada keluaran ladang diambil oleh Kerajaan. Selepas itu cukai 30 peratus dikenakan ke atas keuntungan.

6. Jika cukai seperti ini dikenakan kepada peladang Malaysia, apakah reaksi yang akan kita lihat?

7. Tetapi tak mengapa. Jika Kerajaan kita umumkan cukai setinggi ini, besok ia boleh dikaji semula. Alhamdulillah. Inilah kelebihan kita.