Wednesday, March 11, 2009

RASUAH UMNO 2

7btc
As posted by Dr. Mahathir Mohamad at Che Det on March 10, 2009 4:19 PM

1. Di waktu mesyuarat bahagian-bahagian UMNO diadakan untuk mencalon calon-calon bagi Majlis Tertinggi UMNO, pengerusi Lembaga Disiplin (Tengku Ahmad Rithaudeen) telah menyatakan yang beliau telah terima lebih 900 aduan berkenaan rasuah dalam pencalonan.

2. Orang ramai tertunggu-tunggu untuk mendengar tentang siasatan dan tindakan yang diambil terhadap mereka yang terlibat.

3. Sekarang Mesyuarat Agong yang akan memilih ahli-ahli Majlis Tertinggi akan diadakan tidak lama lagi. Tetapi tidak ada apa-apa pun kedengaran berkenaan 900 aduan tersebut.

4. Apakah semua 900 aduan ini sudah didapati tidak berasas dan tidak ada salahlaku oleh sesiapa? Apakah pemilihan calon Majlis Tertinggi bersih seperti kain putih?

5. Sekarang kita dengar pula tentang sogokan kepada perwakilan yang akan hadir di Mesyuarat Agong yang akan undi dan tentukan siapa yang akan pegang jawatan apa di dalam parti. Katanya ratusan ribu diberi kepada perwakilan. Benarkah?

6. Takkanlah semua cerita yang didengar tidak berasas?

7. Wakil-wakil boleh disogok dan mereka boleh beri kemenangan kepada orang yang sogok mereka.

8. Tetapi ingat. Rakyat sedang memerhati tingkahlaku UMNO dan pemilihan yang akan dilakukan.

9. Jika pada Mac 2008 ramai rakyat termasuk juga ahli-ahli UMNO yang kecewa telah undi parti lawan, jika mereka lihat UMNO sudah diambil-alih oleh perasuah, dalam Pilihanraya Umum ke-13 mereka ini akan sekali lagi undi parti lawan.

10. Ingatlah undi ahli-ahli UMNO atau BN sahaja tidak mencukupi. Undi orang yang bukan ahli, walaupun sedikit boleh menentukan siapa menang dan siapa kalah.

11. Kali ini perwakilan terima wang sogokan. Tetapi apabila UMNO dan Barisan Nasional kalah, tidak jadi Kerajaan, bukan sahaja tidak ada lagi peluang tetapi apa yang ada pada perwakilan pun akan tercicir.

12. Saya sinis dan tidak percaya barang seorang pun akan didapati bersalah.