Friday, December 5, 2008

Cuit sedikit untuk rasuah

7btc
As posted by Dr. Mahathir Mohamad at www.chedet.com on December 5, 2008 2:12 PM

1. Nampaknya ada orang yang tidak senang kerana saya kecam amalan sogokan wang dalam pencalonan jawatan-jawatan UMNO.

2. Yang jelas daripada teguran terhadap saya oleh orang ini ialah baginya sogokan wang tidak salah bahkan ianya adalah amalan biasa dalam demokrasi.

3. Secara tidak langsung orang ini mendedahkan nama calon-calon yang terlibat dengan sogokan wang. Kononnya teguran saya ialah untuk menjejaskan peluang mereka ini untuk dapat kemenangan. Orang ini sendiri nampak terlibat dengan kegiatan ini. Jika tidak kenapakah dia beria-ia mempertahankan sogokan wang oleh calon tertentu. Jika semua calon terlibat dengan politik wang, apa perlunya mempertahankan calon tertentu dan menuduh tulisan saya sebagai sokongan kepada calon yang bertanding dengan mereka ini. Sekali lagi secara tidak langsung orang ini ternampak percaya calon yang saya dituduh menyokong tidak memberi sogokan. Jika mereka ini juga terlibat maka kecaman saya tentulah terkena kepada mereka juga.

4. Kononnya pengkritik ini penyokong kuat saya. Sokongan kepada siapa pun tidak boleh secara buta-tuli. Saya tak minta saya disokong secara buta-tuli.

5. Tetapi pengakuan bahawa pengkritik adalah penyokong kuat saya bermakna selain daripada kecaman saya terhadap politik wang pengkritik sokong penglibatan saya dalam "Mencatur UMNO". Kenapa penglibatan saya dalam percaturan politik UMNO dahulu tidak dikecam oleh pengkritik, bahkan disokong?

6. Saya belum pernah dengar sesiapa menyokong dan menghalalkan rasuah. Walaupun mereka terlibat dengan rasuah biasanya mereka anggap rasuah sebagai satu jenayah, satu perbuatan haram yang berdosa.

7. Inilah kali pertama saya dapati ada orang yang menghalalkan rasuah. Bagi orang ini asalkan dapat duit apa peduli jika akhirnya bangsa dan negara dijual oleh perasuah yang dipilih memerintah negara melalui sogokan.

8. Na'uzubillah. Barang dijauhi Allah daripada bencana ini.