Tuesday, February 5, 2013

KONTROVERSI “ALLAH”


As posted by Dr. Mahathir Mohamad at Che Det on February 04, 2013

This is a translation of the original article that appeared in this Blog on Jan 31st.

1. Malaysia adalah sebuah negara berbilang agama dan rakyat boleh mengamalkan agama masing-masing walaupun Islam agama resmi. Secara keseluruhan penduduk yang berlainan agama hidup bersama dengan aman. Kita tidak melihat keganasan antara pengikut yang berlainan agama seperti yang terjadi di Ireland Utara, Lebanon dan benua kecil India.

2. Rakyat Malaysia menghormati agama yang berlainan dan hak mengamal upacara keagamaan masing-masing oleh pengikutnya. Kita mengelak membuat komen mengenai agama orang lain walaupun kita berdebat hebat sesama kita yang menganut agama yang sama.

3. Malangnya sekarang ini kita sedang menghadapi kontroversi berkaitan penggunaan nama Tuhan, “Allah”. Beberapa tahun yang lalu, kontroversi ini diselesaikan apabila diterima bahawa penganut Kristian di Sabah dan Sarawak boleh terus mengguna kalimah Allah di dalam Kitab Injil dan pengajaran mereka tetapi ini tidak boleh dilakukan di negeri-negeri lain dalam Negara.

4. Malangnya, beberapa ahli politik yang mahu sokongan dari penganut Kristian di Malaysia, mendesak supaya Kitab Injil berbahasa Melayu dibenar mengguna kalimah Allah di seluruh Negara. Seperti yang dijangka, kontroversi ini muncul kembali.

5. Penganut Kristian dan orang Yahudi amat sedar di dalam Kitab Injil, Kitab Lama (Old Testament) dan Kitab Baru (New Testament), Kitab Injil versi King James dan lain-lain versi, kalimah “Allah” tidak pernah diguna sebagai nama Tuhan. Hanya selepas datangnya Islam dan Al Quran barulah dunia mengenali kalimah “Allah” sebagai nama Tuhan.

6. Di dalam usaha mengembang agama Kristian ke dunia yang berbahasa Melayu, paderi-paderi Kristian mengguna kalimah “Allah” dan hanya mereka mengetahui tujuannya. Namun, kalimah “Allah” mengganti nama Tuhan mereka bukan dari sumber-sumber Yahudi atau Kristian.

7. Dikalangan penganut Kristian di Malaysia, kecuali pribumi Sabah dan Sarawak, kalimah “Allah” mengganti perkataan Tuhan tidak pernah diguna. Di dalam banyak keadaan, perkara ini tidak berbangkit kerana khutbah mereka bukan di dalam bahasa Melayu. Jika pun di dalam bahasa Melayu, kalimah “Allah” sepanjang pengetahuan saya, tidak pernah diguna.

8. Konfrontasi agama membawa akibat yang amat mendalam. Ia boleh membawa kepada keganasan malahan pembunuhan. Negara yang aman ini tidak akan aman jika berlaku keganasan agama.

9. Amat malang Ibrahim Ali mencadang pembakaran Kitab Injil (berbahasa Melayu) yang baru dicetak. Ini mungkin cara menghapus penerbitan yang tidak dikehendaki. Tetapi ia tidak boleh di guna untuk Kitab Injil sebagaimana tidak boleh dilaku ke atas Al Quran.

10. Tetapi apa yang dinyata oleh Ibrahim tidak mewakili UMNO. Malang sekali ada ahli politik yang mengaitkan keduanya untuk meraih keuntungan politik.

11.  Walaupun UMNO percaya kalimah “Allah” hak eksklusif Islam, ia tidak pernah saran pembakaran Kitab Injil berbahasa Melayu yang mengguna kalimah tersebut. Saya menganggap mengait sokongan Ibrahim kepada UMNO bermakna apa yang ia perkatakan disokong oleh UMNO adalah berniat jahat. Ibrahim bukan ahli UMNO. Ia mungkin menyokong UMNO tetapi ia bukan jurucakap UMNO.

12. Umumnya, kita sudah bertahun-tahun hidup aman damai. Negara kita berupaya maju dengan pantas kerana ini. Walaupun kita ada perbezaan politik, kita tidak harus guna perbezaan beragama untuk menang pilihanraya. Ia senjata yang berbahaya dan sesiapa yang menggunanya mungkin akan jadi mangsa senjata berkenaan.

13. Biarlah kontroversi ini diselesai secara tertutup dikalangan orang yang ada sikap bertanggungjawab. Jangan biar kumpulan pelampau mengambil peluang dan mengguna isu-isu agama.

14. Ia mungkin sekatan ke atas kebebasan bersuara tetapi kebebasan, di dalam demokrasi yang liberal pun, ada hadnya jika kita mahu demokrasi diamalkan.

15. Saya merayu kepada semua pihak supaya berhenti menyalah-guna isu ini.

AGAMA POLITIK


As posted by Dr. Mahathir Mohamad at Che Det on February 04, 2013

Artikel ini telah disiarkan di dalam Mingguan Malaysia Februari 3, 2013

1. Apabila agama dijadikan isu politik, tak dapat tidak ia akan tercemar. Politik kerap kotor. Apabila yang bersih dicampur dengan yang kotor, yang bersih akan jadi kotor, bukan sebaliknya.

2. Kita sedang menyaksi pencemaran ini berlaku kepada agama Islam bukan sahaja oleh musuh Islam tetapi oleh orang Islam sendiri. Kehormatan terhadap agama, Nabi bahkan Allah sudah berkurangan.

3. Sudah ada pemuda Melayu yang sanggup berkata, “Kenapa kita perlu lindungi Nabi, Nabilah yang patut lindungi kita”.

4. Seorang lagi pemuda Melayu dalam surat kepada seorang VVIP Melayu berkata, “Allah bukan ada ‘patent rights’. Siapa pun boleh guna Allah.

5. Semasa lawatan Ratu Elizabeth ke Malaysia untuk Sidang Komanwel pada tahun 1989, baginda tidak dibenar melawat masjid Shah Alam. Alasannya ialah kerana pihak berkuasa masjid tidak dapat menentukan beliau datang bulan atau tidak. Ratu Elizabeth pada masa itu berumur 64 tahun, kerana seperti saya, baginda lahir pada 1925.

6. Sekarang kerana politik, perempuan bukan Islam yang masih boleh hamil dibenar masuk dalam masjid untuk bersyarah, untuk berjumpa Tok Guru. Wanita Islam tahu bila boleh masuk masjid. Apakah pegawai masjid sudah tentukan keadaan pemimpin wanita bukan Islam ini sebelum membenar dianya masuk masjid. Atau apakah demi undi, yang tidak bersih pun boleh dianggap bersih.

7. Tetapi yang menyedihkan sangat ialah kenyataan Nik Aziz bahawa Nabi adalah orang biasa. Ia menjadi Nabi hanya setelah meningkat umur 40 tahun. Oleh itu kenapa perlu kita sambut hari Nabi diperanakan (Maulud Nabi)?

8. Dan Kelantan pun tidak merayakan Maulud Nabi tahun ini.

9. Tetapi saya baca dan lihat gambar Nik Aziz merayakan hari beranaknya di rumah Karpal Singh dengan bersalam dengannya, untuk merayakan hari Thaipusam.

10. Jelaslah bahawa bagi Nik Aziz, Murshidul Am PAS, hari beranaknya boleh dirayakan bersama Karpal Singh. Maulud Nabi bukanlah sesuatu yang perlu kita rayakan.

11. Kalimah Allah sudah diguna untuk pancing undi. Kerana ingin dapat undi pihak tertentu dalam pilihanraya, dinyatakan kalimah Allah boleh digunakan oleh siapa sahaja.

12. Kemudian apabila takut tak dapat undi pihak yang lain dengan mudah dinyatakan kalimah Allah tidak boleh diguna selain dari dalam agama Islam. Bila ditanya kenapa dahulu kata boleh, jawabnya itu karut. Murshidul Am PAS mengaku ia mengarut.

13. Soalnya ialah apabila kenyataan-kenyataan ini dibuat, apakah ia kerana Allah S.W.T atau kerana ingin memenangi pilihanraya, ingin jadi Perdana Menteri, ingin pancing undi. Apakah kalimah Allah dijual untuk undi duniawi.

14. Di Malaysia ada hanya Sunni. Tidak ada Syiah. Kita tahu apabila ada Sunnni dan Syiah dalam sesuatu negara maka permusuhan yang ketat akan berlaku sepanjang masa sehingga ramai bunuh-membunuh berlaku antara mereka.

15. Malaysia tidak ada Syiah. Sebelum adanya pilihanraya tidak ada perpecahan di kalangan orang Islam di Malaysia kerana tafsiran Islam yang berbeza. Apabila pilihanraya memberi peluang untuk mendapat jawatan, elaun dan bermacam keuntungan, barulah perpecahan berlaku. Untuk mendapat nikmat duniawi maka agama diperalatkan. Maka mulalah tuduhan bahawa orang UMNO kononya kafir supaya mendapat sokongan orang Melayu lain dalam pilihanraya. Maka berpecahlah orang Islam di Malaysia seperti yang terdapat di negara Islam yang mempunyai Sunni dan Syiah. Maka berlakulah sembahyang dua imam, kubur berasingan dan lain-lain. Maka diheretlah kalimah Allah, Maulud Nabi, sembelihan orang tertentu haram dimakan dan bermacam lagi.

16. Saya percaya dimasa hadapan akan berlaku lebih dari ini. Agama Islam akan lebih dicemar oleh orang Islam sendiri. Jika ini disertai oleh orang bukan islam maka akan berlakulah ketegangan hubungan antara kaum dan rusuhan di Malaysia. Negara yang aman ini akan menjadi seperti negara-negara yang mana penduduk terbahagi kepada Syiah dan Sunni dan lain-lain agama.

17. Sesungguhnya tidak ada sesuatu yang lebih bahaya dari permusuhan kerana agama.

18. Mungkin mereka yang memperalatkan agama akan dimakan oleh agama, Wallahualam.