Monday, September 25, 2017

NAJIB DAN TRUMP

7btc
As posted by Dr. Mahathir Mohamad at Che Det on September 21, 2017

1. Sekembalinya Najib ke tanahair, bermacam-macam tohmah dan fitnah dilempar olehnya terhadap pengkritik lawatannya ke Amerika Syarikat. Saya diberi tempat utama dalam kempen fitnah ini.

2. Kononnya sambutan Trump kepadanya lebih baik dari sambutan kepada lawatan saya. Sebenarnya layanan terhadap Najib adalah yang terburuk sekali berbanding dengan layanan terhadap diri saya dan pemimpin-pemimpin lain semasa lawatan rasmi pertama kali pemimpin baru ke Amerika. Mengikut laporan akhbar dan media Amerika layanan terhadap Najib adalah seperti layanan terhadap “pariah”.

3. Saya melawat Amerika Syarikat secara rasmi selepas saya melawat Canada tiga tahun selepas menjadi PM. Pemerintahan Amerika Syarikat hantar pesawat khas Presiden ke La Guardia airport New York untuk penerbangan saya dan isteri ke Washington. Dari Pangkalan Udara Andrews saya diterbangkan dengan helikopter Presiden ke bandar Washington. Saya disambut oleh pegawai tinggi Amerika Syarikat dan bermotor ke hotel Willard Washington DC. Pada masa itu Blair House, tempat penginapan tetamu Kerajaan Amerika sedang diperbaiki.

4. Dua buah kereta “stretched” disediakan untuk saya ke White House yang dihias dengan bendera Malaysia dan Amerika Syarikat. Cermin gelap ditingkap kereta menghalang orang ramai daripada mengetahui kereta yang mana yang saya guna.

5. Bendera Amerika ternampak hampir semacam dengan bendera Malaysia. Dengan itu ramailah penduduk Washington terkeliru dan memikir kereta-kereta ini membawa Presiden AS. Mereka melambai tangan sepanjang jalan.

6. Saya bertemu dengan Presiden Reagan seperti biasa di hadapan “fireplace” dan mengadakan “small-talk” dengannya, Vice Presiden Bush (Senior) ada bersama.

7. Kemudian baru diadakan mesyuarat dua delegasi di bilik mesyuarat khas. Ini disusuli dengan makan tengahari dan press conference. Seluruh lawatan saya ke White House dirakam oleh jabatan Presiden Amerika Syarikat dan disimpan dalam Library Ronald Reagan. Video ini boleh dilihat dalam media sosial (KLIK DI SINI).

8. Saya juga mengadakan perjumpaan tidak rasmi dengan Presiden Bush (Senior) Presiden Bush (Junior), Presiden Clinton di Washington dan di lain-lain tempat. Biasanya saya membangkitkan soal minyak kelapa sawit dan sikap AS terhadap negara Islam.

9. Sebaliknya Najib disambut di Lapangan Terbang Washington oleh Duta Malaysia, tinggal di Hotel milik Trump yang terkenal amat mahal. Najib mengguna kereta Mercedes. Tidak ternampak kereta panjang yang diberi untuk lawatan Najib dan pertemuan dengan Trump hanya selama 30 minit. Tidak ada makan tengahari dan Press Conference.

10. Memandang bahawa masa perjumpaan begitu terhad iaitu hanya 30 minit, dan tawaran Najib kepada Trump begitu tinggi, berjumlah hampir 100 billion Ringgit, kos yang ditanggung oleh Malaysia ialah sebanyak 3.3 billion Ringgit (3.300,000,000 Ringgit) satu minit. Ini boleh jadi satu rekod dunia.

11. Anak Megat Junid, Megat Fairouz kata saya bayar bermillion kepada pelobi untuk berjumpa dengan Presiden Amerika. Ini kononnya diberitahu oleh bapanya Megat Junid.

12. Saya tidak tahu benar atau tidak kenyataan ini. Mungkin pegawai Wisma yang mengurus perkara lawatan saya yang tahu. Yang saya tahu tidak ada arahan dari saya untuk lobi. Tak apalah Fairouz, anak sahabat saya nak cari makan.

13. Sebenarnya apabila sahaja saya menjadi PM duta besar Amerika Syarikat di Malaysia percaya, seperti dengan kebanyakan pemimpin negara yang baru dilantik, saya akan pergi mengadap Presiden Amerika Syarikat.

14. Duta itu datang ke pejabat saya untuk minta maaf kerana Presiden terlalu sibuk dan tidak dapat berjumpa saya dalam masa yang terdekat.

15. Saya tidak kata apa-apa kepadanya. Tetapi petang itu juga saya beritahu Wisma Putra saya tidak berhajat pergi ke Washington jumpa Presiden. Oleh itu tidak perlu sesiapa bersusah payah mendapat slot untuk saya. Duta Amerika pun berhenti usahanya.

16. Sebenarnya Wisma Putra sudah dimaklumkan lebih awal lagi akan priority lawatan saya ke luar negara apabila sahaja saya jadi PM pada 1981. Saya utamakan lawatan ke negara-negara jiran anggota ASEAN, kemudian negara-negara kecil di lautan Pacific, kemudian ke negara-negara Islam OIC dan akhirnya ke negara-negara Komanwel.

17. Jadual saya tidak termasuk United States of America. Mengikut jadual ini saya berkelapangan ke Amerika Syarikat selepas lawatan ke negara-negara dalam senarai saya.

18. Sebab itulah saya membuat lawatan ke Amerika Syarikat selepas tiga tahun (1984) jadi PM. Itu pun hanya secara sambilan semasa saya berada di Amerika Utara.

19. Saya yakin semua tarikh-tarikh lawatan saya ke luar negara direkod oleh Wisma Putra.

20. Tidak pernah saya tawar untuk membeli apa-apa dari Amerika Syarikat semasa lawatan saya. Dasar Malaysia pada ketika itu ialah berbaik-baik dengan semua negara tanpa mengira ideologi. Kita bersikap berkecuali dalam sebarang permusuhan antara negara asing.

21. Diantara yang memalukan kita berkenaan lawatan Najib ke Amerika Syarikat ialah laporan Newsweek yang berbunyi “Trump’s meeting with Malaysian Crook Najib reeks of the Swamp”. Demikianlah buruknya lawatan Najib ke Amerika. Tak usahlah bohong kononnya dia dapat layanan lebih baik dari saya.

22. Najib tidak berani jumpa press. Tujuan sebenar lawatan ke Amerika Syarikat dan U.K. ialah untuk ambil gambar Najib bersama Presiden Amerika Syarikat dan PM U.K.

23. Rakyat Malaysia bukan boleh diperbodoh dengan gambar-gambar ini. Mereka tidak gembira duit mereka berbillion dibelanja untuk dapat gambar.