As posted by Dr. Mahathir Mohamad at Che Det on June 30, 2014
1. Kerajaan bercadang untuk menghapuskan Akta Hasutan dan menggantinya dengan Akta Harmoni dan Akta Uniti.
2. Kita sudah pun mansuh ISA dan Akta bagi membuang daerah penjenayah bersiri. Kita lihat kesan dari pemansuhan kedua-dua Akta ini ialah peningkatan berbagai jenis jenayah. Tetapi hasutan walaupun ada dilakukan tetapi tidak melampaui batas.
3. Apabila Akta Hasutan digugur maka rakyat Malaysia akan bebas menghasut. Kedua-dua akta baru berkenaan dengan harmoni dan uniti tidak akan menghalang hasutan yang akan berlaku.
4. Rakyat akan menerima berbagai-bagai hasutan, termasuk hasutan untuk meminda perlembagaan Malaysia. Tidaklah mustahil mereka akan menghasut supaya institusi raja juga dihapuskan.
5. Di Thailand ada undang-undang “Les Mejeste” yang melarang sebarang cemuhan terhadap raja dan institusi raja. Tetapi di Malaysia undang-undang ini tidak ada.
6. Pelampau di kalangan rakyat bebas mengkritik raja dan sistem beraja secara terbuka dan akhirnya membuat desakan supaya institusi raja dihapuskan. Tidak ada undang-undang yang boleh menahan mereka setelah ISA dan Akta Hasutan dimansuh.
7. Ramai mungkin yang akan marah terhadap hasutan untuk menghapuskan sistem beraja. Tetapi kerana hasutan dibenar mereka yang berminat untuk mendiri Republik Malaysia berhak dan bebas untuk meneruskan kempen mereka.
8. Kemungkinan ialah huru-hara akan berlaku dalam negara. Inilah kesan dari sikap liberal yang kita agungkan sekarang.