Friday, September 7, 2012

TAK AKAN MELAYU HILANG DI DUNIA

7btc
As posted by Dr. Mahathir Mohamad at Che Det on September 04, 2012

1. Kata Hang Tuah “Tak akan Melayu hilang di dunia.” Dapatkah kata-kata keramat ini menentu yang Melayu tak akan hilang di dunia?

2. Di Singapura kerana tidak ada lagi sekolah Melayu dan bahasa penghantar di sekolah-sekolah di Republik itu ialah Inggeris dan China; segala urusan rasmi dan tidak rasmi menggunakan Bahasa Ingggeris atau China, maka orang Melayu sudah pun tidak menggunakan Bahasa Melayu. Mereka menggunakan Bahasa Inggeris walaupun semasa bercakap dengan anak pinak, keluarga dan kawan-kawan Melayu.

3. Budaya, adat istiadat Melayu juga terhakis. Yang tinggal hanyalah agama Islam mereka.

4. KeMelayuan mereka sudah tinggal separuh. Kita boleh ramal yang hakisan keMelayuan mereka akan berterusan sehingga akan hilanglah Melayu di Singapura.

5. Di sebelah utara pula kita dapati orang keturunan Melayu yang tidak dapat bertutur kata dalam Bahasa Melayu. Mereka Islam dan bangsa rasmi mereka ialah Thai. Maka hilanglah juga Melayu disitu.

6. Tetapi di Malaysia juga kehilangan Melayu sedang berlaku. Ada anak muda Melayu yang tidak lagi ingin dikenali sebagai orang Melayu. Mereka orang Malaysia. Ada pula yang hanya akui mereka orang Islam dan tidak perlu dikaitkan diri mereka dengan kaum Melayu.

7. Tetapi yang akan menghilangkan Melayu di dunia ialah dakwaan bahawa sesiapa yang bercakap berkenaan dengan bangsa Melayu, mereka akan dituduh “racist”. Oleh itu orang Melayu sudah tidak lagi berani menyebut perkataan Melayu kerana tidak mahu dituduh “racist”.

8. Kasihan Hang Tuah. Besar kemungkinan kata-katanya tidak lagi akan menjadi kenyataan. Demikianlah apabila kita bergantung kepada kata-kata hikmat untuk nasib kita, akhirnya akan hilang hikmatnya.