Friday, September 25, 2009

KUOTA HAPUS

7btc
As posted by Dr. Mahathir Mohamad at Che Det on September 17, 2009 8:22 AM

1. Tidaklah penting kita tahu asal-usul kuota dalam pemilihan pemimpin UMNO. Namun demikian izinkan saya cerita sedikit berkenaan latar belakangnya.

2. Pada tahun 1986 Dato (Tun) Musa Hitam, musuh ketat Tengku Razaleigh Hamzah telah berjaya pujuk Tengku bertanding jawatan Presiden UMNO. Beliau sendiri sanggup jadi timbalannya.

3. Seperti biasa bahagian-bahagian (UMNO), dalam mesyuarat telah namakan calon mereka. Hanya 20 peratus menamakan Tengku Razaleigh.

4. Tetapi dalam Mesyuarat Agong Tengku Razaleigh mendapat hampir 50 peratus daripada undi wakil-wakil yang hadir.

5. Tentang bagaimana terdapat kelainan ketara antara bahagian-bahagian dengan wakil-wakil mereka, wallahua'alam.

6. Selepas itu mahkamah telah putuskan bahawa UMNO adalah parti haram. Walaupun UMNO dapat dipulih, sebilangan ahli dan pemimpin UMNO telah berpisah daripada parti untuk menubuh parti serpihan. Ternampak jelas pertandingan untuk jawatan tertinggi boleh memecah dan melemahkan parti.

7. Majlis Tertinggi UMNO, telah bincang kemungkinan perkara ini berlaku lagi dan memutuskan bagi mengelak perwakilan menidakkan keputusan Bahagian, sesiapa yang dicalon oleh Bahagian akan dapat 10 undi bonus.

8. Malangnya apabila Dato Seri Anwar mencabar Tun Ghaffar, entah bagaimana jumlah bahagian yang mencalonkan Anwar begitu tinggi sehingga undi bonus shaja pun boleh kalahkan Ghaffar. Tun Ghaffar terpaksa tarik diri dan Anwar pun naik jadi Timbalan Presiden dan Timbalan Perdana Menteri.

9. Ada sesuatu yang tidak kena yang telah berlaku kerana undi bonus. Nampaknya ada cara untuk menguasai bahagian sehingga perwakilan kehilangan hak mengundi sama sekali. Jelas sistem bonus boleh disalahgunakan.

10. Untuk meringkaskan cerita Majlis Tertinggi UMNO memutuskan untuk mengganti bonus dengan kuota. Jika seseorang calon betul-betul layak maka dia tentu mampu mendapat pencalonan secukupnya dari Bahagian. Bagi jawatan presiden tokoh yang layak perlu mendapat 60 pencalonan oleh Bahagian. Dengan cara ini hanya calon yang buruk, termasuk Presiden yang tidak akan dapat pencalonan yang mencukupi.

11. Malangnya penguasaan parti oleh Presiden yang juga Perdana Menteri amatlah kuat. Dengan cara-cara tertentu Presiden boleh memaksa supaya hanya dia sahaja yang dicalon. Pencabarnya bukan sahaja tidak akan dapat 60 bahagian tetapi dilihat hanya bahagiannya sendiri sahaja yang mencalonnya.

12. Sekali lagi sistem ini gagal untuk membebaskan bahagian dan ahli untuk bertindak mengikut kehendak mereka yang sebenar. Justeru itu memanglah baik sistem kuota ini dihapuskan.

13. Saya berdoa selepas ini penyalahgunaan kuasa oleh Presiden akan dihapuskan dan pencabarnya akan dapat bertanding. Tetapi setakat ini belum ada keputusan tentang cara mana seseorang dapat dicalonkan.

14. Sebenarnya tidak ada sistem yang tidak cacat. Samada sesuatu sistem berkesan atau tidak bergantung kepada pengamalnya. Apabila pengamal dipelbagai peringkat mudah di suap, sistem apa pun tidak akan menghasilkan yang terbaik.