Monday, September 25, 2017

TALAM DUA MUKA

As posted by Dr. Mahathir Mohamad at Che Det on September 19, 2017

1. Selama puluhan tahun Barat bersyarah dan mengkritik negara-negara membangun berkenaan korupsi di negara mereka.

2. Banyaklah laporan dibuat berkenaan betapa buruknya amalan rasuah oleh Kerajaan-Kerajaan dan pemimpin negara membangun. Kegagalan pembangunan negara-negara ini, kata Barat, disebabkan rasuah dalam seluruh jentera pentadbiran. Sudah tentu pemimpin tertinggi negara membangun semuanya perasuah.

3. Rupa-rupanya hidung tinggi mereka terhadap negara membangun menyembunyi sikap sebenar mereka terhadap rasuah. Penolakan rasuah oleh mereka terhad kepada nilai rasuah. Jika nilai cukup tinggi, prinsip penolakan rasuah terbang keluar tingkap.

4. Inilah yang sedang kita lihat sekarang.

5. Rasuah Najib diketahui di seluruh dunia. Demikian juga kecurian yang dilakukan olehnya. Walaupun di Malaysia akhbar dan TV tidak lapor apa-apa berkenaan jenayah yang dilakukan oleh Najib tetapi media sosial melapor dengan panjang lebar berkenaan Najib, Kerajaannya dan segala insiden rasuah dan salahguna kuasa olehnya.

6. Tetapi media Barat lebih lantang melapor berkenaan salah laku dan jenayah oleh Najib. Tidak ada yang disembunyi.

7. Dengan ini dunia tahu segala-galanya akan amalan rasuah oleh Najib.

8. Rakyat Malaysia percaya Kerajaan Barat yang begitu menentang perasuah-perasuah di dunia akan pulau Najib sekurang-kurangnya.

9. Amatlah mengecewa dan mengejutkan apabila dilihat jaguh-jaguh anti rasuah Barat sanggup menjemput Najib untuk melawat negara mereka dan mengadakan perbincangan dengannya.

10. Sebabnya ialah kerana Najib menawar untuk membeli pesawat komersial dan senjata mereka. Yang mengabur mata mereka ialah duit berbillion yang dikipas depan mata mereka.

11. Bahawa ini adalah sejenis rasuah tidak dipedulikan. Segala rasuah dan jenayah Najib diketepikan kerana wang tunai atau cash lebih utama dari kemuliaan maruah dan prinsip. Maka dilakukan apa sahaja yang disyaratkan oleh Najib asalkan duit didapati. Demikian jikalau Najib tidak suka press, maka press diketepikan. Di mana perginya kebebasan akhbar? Ke dalam tong sampah. Ke mana pergi kebebasan bersuara? Photo-opportunity untuk Najib tipu rakyat Malaysia dipersetujui kerana bayaran USD 20 billion duit orang miskin di Malaysia.

12. Jika orang Malaysia berharap Barat dengan hidung tingginya akan bertindak ke atas jenayah yang sebenarnya dilakukan di negara mereka, di bawah undang-undang mereka, harapan ini harapan kosong. Kata Mat Salleh “if the price is right, corruption is okay. It’s not okay only if it is done by someone else”.

13. Kita tak tahu apakah yang ditawar oleh Najib untuk dibeli dari Britain. Boleh jadi pesawat – pesawat pejuang Typhoon – mungkin satu atau dua squadron. Itu boleh jadi harga untuk photo opportunity di depan No. 10 Downing Street, London.

14. Jika Malaysia boleh, Britain juga boleh, iaitu boleh pejam mata. Bukankah Malaysia negara membangun bekas tanah jajahan Britain. Bukankah kepercayaan Britain ialah apabila Malaysia merdeka ia akan merosot dan hancur. Lihat, ramalan Britain tepat. Pemimpin-pemimpin Malaysia jelas perasuah dan pencuri. Jika tidak pada mulanya, itu satu keganjilan. Sekarang ia pemimpin Malaysia, setelah merdeka sudah tunjuk warna mereka sebenarnya (true colours).

15. Kata Trump dan May. Kami hanya melakukan perniagaan. Kalau Malaysia menjadi bankrap kerana membeli barangan yang tidak diperlukan, itu masalah Malaysia. Kami perlu utamakan kekayaan kami.

KAFIRKAH SAYA?

As posted by Dr. Mahathir Mohamad at Che Det on September 18, 2017

1. Saya berasa sedih membaca rencana jawapan oleh Tuan Ibrahim Tuan Man terhadap ulasan saya berkenaan Parti PAS. Saya hormati Tuan Ibrahim sebagai satu-satunya pemimpin PAS yang rasional. Tetapi jawapannya tidak sedikit pun menyentuh perkara utama yang dibangkitkan dalam rencana saya.

2. Sesungguhnya saya tidak marah jika saya dipanggil penyangak, penyamun, diktator dan sebagainya. Saya tidak harap musuh politik saya memanggil saya dengan nama baik. Jika mereka membuat demikian tentulah sukar bagi mereka menentang saya.

3. Tetapi yang saya sedih dan marah ialah apabila PAS mengkafirkan saya dan semua orang Melayu yang tidak sokong PAS. Perbuatan ini dilarang oleh agama Islam. Dan mereka yang dikafir marah dan kecewa didakwa mereka tidak Islam.

4. Tuan Ibrahim tidak menyentuh perkara ini sama sekali. Sebaliknya Tuan Ibrahim hanya melempar berbagai kata kesat kepada saya. Ini bermakna Tuan Ibrahim bersetuju dengan dakwaan PAS bahawa saya dan lain-lain orang Melayu yang tidak menyertai PAS adalah kafir. Yang tidak menyertai PAS ini ramai. Raja-raja kita pun tidak menyertai PAS. Sudah tentu orang Islam yang seramai 1.7 bilion diseluruh dunia, mengikut dakwaan PAS adalah kafir.

5. Pengkafiran inilah yang memecahbelah orang Melayu Islam yang semua percaya dan mengikut amalan agama Islam yang sama dan mengucap dua kalimah syahadah dan berada dalam mazhab Ahlul Sunnah Wal Jamaah, berimam kepada Imam Shafei.

6. Yang saya katakan ialah sebelum adanya PAS tidak ada perpecahan disebabkan kelainan agama di kalangan orang Melayu Islam. Hanya apabila PAS ditubuh dan mengkafirkan orang yang tidak menyertai parti politik PAS, barulah orang Melayu Islam berpecah sehingga tidak terima nikah ibu bapa, bersembahyang dua imam, berkuburan berasingan dan bermusuh ketat antara orang PAS dengan orang bukan PAS.

7. Kenyataan saya ini tidak boleh dipertikai oleh sesiapa. Bolehkah Tuan Ibrahim nafi perpecahan ini berlaku, dan ianya berlaku kerana PAS menidakkan Islamnya orang UMNO dan juga orang lain yang tidak menyertai PAS.

8. Saya berada di zaman sebelum PAS ditubuh. Ada kaum muda dan kaum tua. Tetapi tidak ada perpecahan antara orang Melayu kerana agama. Sudah tentu tidak ada sembahyang dua imam, perkuburan berasingan dan lain-lain.

9. Soal mengkafir ini hanya berlaku apabila PAS ditubuh dan PAS kafirkan orang UMNO terutamanya kerana UMNO bekerjasama politik dengan orang bukan Islam.

10. Kemudian PAS bekerjasama dengan DAP. Tetapi PAS dakwa ini tidak menjadikan PAS kafir. Kerjasama PAS diberi nama “tahaluf siyasi” perkataan Arab yang bermakna “kerjasama politik”. Hanya dengan mengguna Bahasa Arab tidak menjadikan perbuatan PAS itu Islam.

11. Oleh kerana Tuan Ibrahim tidak sentuh soal mengkafir orang yang bukan ahli PAS, dibawah ini saya kemukakan soalan-soalan berkenaan perkara ini supaya Yang Berbahagia Tuan Ibrahim dapat faham kandungan utama rencana saya.

i) Apakah Tuan Ibrahim percaya bahawa sesiapa yang tidak menyertai PAS tidak Islam.

ii) Apakah orang Melayu kafir sebelum adanya PAS.

iii) Apakah ibubapa orang PAS kafir kerana dilahir sebelum adanya PAS.

iv) Apakah PAS tidak kafir apabila bekerjasama politik dengan DAP.

v) Mengikut PAS, UMNO kafir. Jika PAS bekerjasama dengan UMNO apakah PAS menjadi kafir.

vi) Amanat Hadi dakwa pemerintahan Malaysia kafir dan melawan dengannya adalah jihad dan kematian dalam perlawanan ini menjadikan si mati syahid. Apakah Tuan Ibrahim terima dakwaan dalam amanat Hadi?

vii) Jika pemerintahan yang didirikan oleh UMNO dahulu kafir, apakah pegawai-pegawainya, termasuk mufti dan orang-orang yang dipimpin dan dinasihat oleh mereka kafir.

viii) Apakah Tuan Ibrahim percaya 14 pengikut Ibrahim Libya mati syahid dan 4 orang polis mati sebagai orang kafir yang bekerja dengan Kerajaan kafir?

12. Soal saya dalam rencana ini jelas. Memaki saya, iaitu saya ini perompak dan penyamun, mencerita berkenaan kezaliman saya dan bermacam lagi tidak sedikitpun menimbul kemarahan saya. Memanglah musuh saya tidak akan puji saya. Membuat tuduhan yang tidak berasas memang cara musuh untuk menang dalam pilihanraya.

13. Tetapi mengkafirkan saya tidak boleh saya terima. Ia dilarang oleh Islam, dilarang dalam Al-Quran. Ia berdosa dan orang yang mengkafirkan orang Islam, akan dapati dakwaan mereka akan kembali kepada mereka. Ini yang dijanji dalam Al-Quran.

14. Tidak perlu dakwa saya tidak berbahasa Arab. Tidak perlu kata saya bukan orang agama, tidak berijazah dalam agama Islam.

15. Tetapi soalnya apakah orang yang terpelajar dalam agama Islam seperti Tuan Ibrahim, orang yang mendakwa diri mereka ulama, apakah mereka terima dakwaan PAS bahawa orang yang tidak menyertai PAS menjadi kafir. Jika mereka terima maka bukan sahaja orang UMNO, dan sekarang ini orang Parti Pribumi Bersatu Malaysia, yang kafir, mufti-mufti Kerajaan dan Raja-raja Melayu turut jadi kafir. Jika tidak PAS, Tuan Ibrahim sendiri boleh buat kenyataan bahawa dalam dunia ini hanya mereka yang menyertai PAS sahaja yang beragama Islam. Apabila seseorang memasuki agama Islam, maka ia mesti sebut keahlian dalam PAS sebelum ia diterima memeluk agama Islam.

16. Tak usah lari dari soal pengkafiran ini. Jelaskan dengan tegas benar atau tidak orang yang tidak menyertai PAS kafir.