Saturday, June 11, 2011

KEJATUHAN NEGARA ISLAM PAS

As posted by Dr. Mahathir Mohamad at Che Det on June 10, 2011 2:40 PM

1. Saya tertarik dengan penjelasan Nik Aziz kenapa selepas 30 tahun mengguna "perjuangan untuk Negara Islam ala PAS" untuk mendapat sokongan orang Melayu, sekarang PAS menggugurkan Negara Islam dan hukum Hudud. Kononnya Nik Aziz berpandukan Al-Quran dan Hadith.

2. Apakah Nik Aziz baru saja baca Surah Al-Baqarah dan sedar yang Negara Islam PAS menimbul salah faham dan menakutkan pihak tertentu? Jikalau kerana kesedaran ini akan menakutkan pihak tertentu (orang bukan Islam - Karpal Singh) maka PAS menggugur Negara Islam PAS, maka benarlah yang pengguguran ini bertujuan untuk menghapuskan ketakutan mereka ini, supaya mereka akan sokong PAS dalam pilihanraya, dan bukan kerana agama membenarkan atau tidak.

3. Kerana UMNO tidak menyokong Negara Islam PAS dan hukum Hudud PAS, Nik Aziz tidak terima UMNO.

4. Tetapi bila DAP dan Karpal Singh tidak bersetuju dengan pendirian PAS, Nik Aziz semak semula Surah Al-Baqarah dan tiba-tiba selepas 30 tahun, mendapati bahawa Negara Islam dan hukum Hudud boleh dibelakangkan dan diganti dengan Negara kebaijikan PAS.

5. Demikianlah Nik Aziz lebih bersedia akur kepada pendapat DAP dan Karpal kerana ingin mendapat undi bukan Islam. Penyokong PAS akan turut dimana sahaja pemimpin PAS bawa mereka. Gugur Islam pun mereka akan undi PAS.

6. Untuk perpaduan Melayu dan Islam Nik Aziz tidak sanggup berganjak walau sedikit pun. Biarlah orang Melayu Islam berpecah dan hancur kononnya kerana bagi Nik Aziz perjuangan PAS untuk Negara Islam dan hukum Hudud tidak boleh dibelakangkan atau digugur. Jika ada usaha untuk merapatkan hubungan dan kerjasama politik antara PAS dengan UMNO, Nik Aziz dengan tegas menolak kerana UMNO tidak Islam.

7. Tetapi kita sekarang dapat lihat bagaimana mudahnya PAS dan Nik Aziz menolak Negara Islam PAS dan hukum Hudud PAS kerana ingin bersekongkol dengan DAP untuk mendapat undi bukan Islam.

8. Wahai orang Melayu yang semuanya beragama Islam. Bukalah mata kamu dan lihatlah bagaimana PAS mempermainkan Islam. Bukan Surah Al-Baqarah yang mendorong PAS menggugurkan Negara Islamnya. Nik Aziz sendiri berkata yang mendorong PAS ialah ketakutan orang bukan Islam kepada Negara Islam. Untuk kemenangan pilihanraya ketakutan orang bukan Islam mesti dihilangkan dengan menggugurkan perjuangan Islam PAS.

Tuesday, June 7, 2011

SIAPA MENANG SIAPA KALAH

As posted by Dr. Mahathir Mohamad at Che Det on June 7, 2011 8:41 AM

1. Dalam pertandingan tentu ada yang menang dan yang kalah. Pertandingan jarang menghasil keputusan "Menang Menang", dengan semua yang bertanding berjaya. Demikianlah juga Muktamar PAS yang baru lepas - terdapat yang menang dan yang kalah.

2. Katanya yang kalah ialah puak ulama. Yang menang ialah puak kopiah hitam, penyokong Anwar. Syabas.

3. Tetapi yang menang besar ialah tokoh yang tidak hadir dan bukan pun ahli PAS. Ianya ialah Karpal Singh. Perjuangannya supaya PAS gugurkan matlamat untuk mendiri negara Islam PAS yang akan kuatkuasakan hukum hudud sudah pun tercapai. Karpal tidak perlu mati untuk PAS langkah mayatnya. Belum pun ia mati PAS sekarang sudah menjadikan perjuangan untuk negara Islam dan hukum hudud tidak lagi perkara utama. Sekarang PAS akan berjuang untuk negara kebajikan.

4. Tidak ada banyak laporan berkenaan perbincangan atau perbahasan berkenaan dengan pengenepian asas penubuhan parti PAS - iaitu mendiri negara Islam. Dengan begitu mudah asas ini digugurkan.

5. Kenapa? Kerana ingin menghalalkan kerjasama DAP, khusus Karpal. Lebih tepat lagi ialah kerana PAS tidak sanggup berhujah dengan Karpal Singh.

6. Syabas dan tahniah kepada Karpal. Akhirnya perjuangan mu menentang negara Islam PAS sudah berjaya.