Monday, July 26, 2010

JUDI

As posted by Dr. Mahathir Mohamad at Che Det on July 1, 2010 4:45 PM

1. Saya gembira kerana majority orang Melayu sepakat untuk menolak judi bagi orang yang bukan Islam. Samada mereka dari parti lawan atau parti Kerajaan, mereka bersetuju judi itu haram bagi bukan Islam juga.

2. Mereka juga sepakat mengutuk keganasan dan ketidak berperikemanusiaan Israel terhadap Gaza dan Palestine.

3. Malangnya, berkenaan dengan kepentingan masa depan Melayu mereka tidak sepakat.

4. Bagi mereka pada zaman akan datang majoriti Melayu tak mungkin dikurangkan. Kita sekarang 60%. Kita akan terus 60 peratus selama-lamanya. Mungkin peratusan akan naik.

5. Tetapi masa depan macam-macam boleh jadi. Hanya yang diperlukan ialah membuka pintu imigresen untuk peratusan berubah. Di zaman British iaitu sebelum 1930 peratusan Melayu kurang daripada kaum lain. Tidak ada jaminan yang Kerajaan Malaysia yang akan datang mengekalkan dasar imigresen selama-lamanya. Melihat gelagat pemimpin Melayu yang begitu sekali gila untuk jadi Perdana Menteri sehingga sanggup buat dan janji apa sahaja, melihat betapa mudahnya pemimpin jenis perasuah mendapat kemenangan, melihat akan betapa murahnya membeli undi, apakah tidak mungkin pintu imigresen dibuka oleh pemimpin yang mendapat tempat kerana rasuah.

6. Jika Melayu sudah berdaya saing apabila banjir ini berlaku tidak mengapa. Tetapi saya khuatir majoriti mereka yang belum berdayasaing akan jadi buruh kasar dan pemandu kereta.

7. Tak apa lah. Buruk sangatkah menjadi buruh kasar dan pemandu kereta?

JAMBATAN

As posted by Dr. Mahathir Mohamad at Che Det on June 30, 2010 8:00 AM

1. Di laporkan bahawa Duli Yang Maha Mulia Sultan Ibrahim Iskandar, Sultan Johor telah bertitah bahawa baginda suka untuk melihat jambatan menggantikan tambak Johor.

2. Demikian juga dititah oleh Al-Marhum Sultan Iskandar bahawa baginda hendak tambak Johor diganti dengan jambatan.

3. Saya tidak pernah dengar rakyat Johor kecuali seorang yang bersetuju kekalkan tambak dan kesesakan lalulintas di Johor Bahru kerananya. Demikian juga saya tidak dengar bantahan oleh rakyat Malaysia terhadap projek jambatan mengganti tambak Johor ini.

4. Terdapat juga surat daripada Perdana Menteri Singapura yang dahulu - Goh Chok Tong yang disiarkan oleh Kerajaan Singapura dalam buku "Water Talks - If Only It Could" bahawa beliau tidak membantah pembinaan jambatan di perairan Malaysia jika itu dikehendaki oleh Kerajaan Malaysia.

5. Yang menolak pembinaan jambatan ini hanyalah Perdana Menteri Malaysia yang ke-5 yang mendakwa rakyat Johor tidak mahu jambatan ini walaupun 3 hari sebelum kenyataan ini dibuat Timbalan Perdana Menteri ketika itu, iaitu Perdana Menteri ketika ini, telah mengesahkan bahawa Jambatan berkenaan tetap akan dibina.

6. Soal yang ditanya oleh ramai kepada saya, dan saya yakin yang tertanya-tanya oleh majoriti rakyat ialah kenapakah Dato Seri Najib sebagai Perdana Menteri yang penuh berkuasa tidak sanggup meneruskan pembinaan jambatan ini? Apakah beliau terikat janji dengan PM ke-5? Apakah status janji ini?

7. Dengan itu banyaklah tuduhan-tuduhan di buat yang mungkin akan memedihkan telinga pihak yang berkenaan.

8. Walaupun pemimpin UMNO Johor telah ikrar mereka akan terus sokong BN tetapi di kalangan pengundi berbilang kaum ramai yang kurang percaya akan kewibawaan Kerajaan dan belum membuat keputusan berkenaan siapa pilihan mereka. Dan NGO-NGO Melayu di seluruh negara juga berpendirian yang sama.

9. Saya tulis berkenaan jambatan untuk ganti tambak Johor kerana saya percaya rakyat ingin tahu dan berhak diberitahu.